Thursday, July 12, 2007

Salman Al-Farasi- Bhgn Akhir

Bangsa Salman al-Farisi dari konteks keunikan dan kedinamikan:

Dari segi keunikan dan kedinamikan bangsa atau keturunan Parsi [ابناء فارس] berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad (s.a.w), penelitian dan tumpuan akan diberikan kepada beberapa aspek berikut sebagai landasan untuk memahami kejayaan dan kegemilangan bangsa Salman al-Farisi dalam dunia kini, di antaranya:

  • Keislaman:
  • Keilmuan:
  • Kepimpinan:
  • Ketaatan:
  • Keberanian:
  • Ketamadunan:

· Bangsa Salman al-Farisi dan signifikannya kepada Dunia Islam kini:

Keislaman:

Bangsa Salman al-Farisi selepas menganuti Islam, menghayati dan mengamali Islam dalam kehidupan mereka dengan sepenuhnya. Mereka membentuk jati diri, kekuatan fizikal, mental dan spiritual berasaskan Islam. Mereka tertarik kepada Islam kerana sikap Rasulullah (s.a.w) terhadap Salman al-Farisi itu sendiri, membebaskan Salman al-Farisi daripada perhambaan, meletakkan bangsa Salman al-Farisi [yang merupakan salah satu bangsa Ajam (bukan Arab)] setaraf dengan bangsa-bangsa lain khususnya bangsa Arab yang begitu fanatik kepada bangsa mereka pada zaman itu.

Bangsa Salman al-Farisi gemar bertanya dan mempersoalkan sesuatu, yang apabila diyakini sesuatu kebenaran agama itu, mereka akan menerimanya dengan sukarela dan bukan secara paksaan walaupun mereka pada asalnya mengikut agama Zoroaster [Majusi].

Bangsa Salman al-Farisi datang ke Madinah, memeluk Islam sama ada pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w) mahupun selepasnya dengan penuh ketaatan kepada Nabi Muhammad (s.a.w). Mereka tertarik kepada Islam juga disebabkan sikap dan sifat Ali bin Abi Talib (k.w):

· Bangsa yang sejak dari zaman Nabi Muhammad (s.a.w) lagi telah memilih untuk mengikuti Ali bin Abi Talib dengan penuh keyakinan menerusi kebenaran Ali bin Abi Talib (k.w) berdasarkan perintah dan sikap Nabi Muhammad (s.a.w) sendiri terhadap Ali bin Abi Talib (k.w).

· Bangsa yang mengikuti Salman al-Farisi, yang menjejaki setiap langkah Ali bin Abi Talib dan tidak pernah bertukar arah sepanjang hayatnya.

· Bangsa yang mendokong kekuatan hujah yang mantap dan keyakinan yang tinggi bahawa Ali bin Abi Talib (k.w) merupakan tokoh yang paling layak untuk diikuti dan ditaati [selepas Nabi Muhammad (s.a.w)].

· Bangsa yang takjub dengan layanan yang ditunjukkan Ali bin Abi Talib (k.w) kepada kedua-dua orang puteri Kerajaan Parsi semasa mereka menjadi tawanan perang, dan selepas memperolehi segala jawapannya, mereka memenuhkan hati mereka dengan kecintaan dan penghormatan terhadap Ali bin Abi Talib (k.w) dan kaum kerabatnya.

· Sejarah memperlihatkan bahawa ketika para tawanan Mada’in (Tisfun) dibawa ke Madinah, Khalifah kedua, ’Umar ibn al-Khattab memerintahkan semua tawanan wanita [termasuk dua orang puteri Maharaja Parsi, Yazdjard] dijadikan hamba kaum muslim. Bagaimanapun, Ali bin Abi Talib (k.w) tidak membenarkannya dan meminta kedua-dua orang puteri [Maharaja Parsi] itu dikecualikan dan dimuliakan. Kedua-duanya merupakan puteri Maharaja Yazdjard Iran, dan tidak boleh dijadikan hamba. Khalifah bertanya langkah yang perlu diambil, Ali bin Abi Talib (k.w) mencadangkan setiap seorang puteri itu dibenarkan secara bebas memilih calon suami dari kalangan kaum muslim. Justeru, mereka membuat pilihan sendiri. Shahr Zanan memilih Muhammad bin Abu Bakr (r.a) sementara Shahr Banu memilih Husayn bin Ali (r.a), cucu Nabi Muhammad (s.a.w). Shahr Zanan, isteri Muhammad bin Abu Bakr (r.a) telah melahirkan anak lelaki, Qasim al-Faqih, yang merupakan bapa kepada Umm Farwah yang menjadi ibu kepada Imam Ja’far bin Muhammad al-Sadiq (r.a) [Imam ke-6 dalam madhhab Imamiyyah Ithna-Asyariah][Guru kepada empat orang tokoh pengasas mazhab fiqh terkenal, Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah iaitu Abu Hanifah al-Nu’man, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris al-Syafi’i dan Ahmad ibn Hanbal]. Shahr Banu pula melahirkan Imam Ali bin al-Husayn Zayn al-Abidin.

Keilmuan:

Bangsa Salman al-Farisi mempunyai para ulama yang ramai dan penguasaan keilmuan dalam pelbagai bidang. Penglibatan dalam semua aspek keilmuan berkaitan keagamaan, termasuk bidang Falsafah, Irfan, Sains, Teknologi dan lain-lain, dengan semua cabang ilmu itu berteraskan Islam dan tidak pernah dilihat terasing daripada Islam dalam versi tersebut. Bangsa yang bersikap terbuka terhadap sains dan teknologi [Barat mahupun Timur] dengan menganggapnya sebagai universal truth yang dijadikan asas dalam pembentukan bangsa tersebut.

Kesannya, bangsa Salman al-Farisi dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan mempunyai keupayaan dan kebolehan menguasai teknologi nuklear yang merupakan suatu “advantage” khususnya di kalangan negara muslim selain Pakistan terhadap ancaman dan gugatan kuasa non-muslim [Barat mahupun Timur]. Mereka telah pun membuktikan keupayaan dan kebolehan mereka menguasainya dan memperlihatkan sikap tidak bersedia membenarkan hak dan kejayaan itu dirampas oleh non-muslim [Barat mahupun Timur] yang ingin membeku, merampas dan menghapuskannya.

Kepimpinan:

Kepimpinan para ulama tradisional dalam dunia moden dari semua aspek kehidupan. Ketundukan dan kepatuhan kepada suatu sistem kepimpinan berasaskan “top – down” dan bukannya berasaskan “bottom - up.”

Justeru, kelihatan dalam konteks revolusi Iran 1979, gerakan dimulakan dari atas mengarah ke bawah dan menggerakkannya sehingga mereka mencapai apa yang mereka cita-citakan hari ini. Ia sama seperti yang dicadangkan oleh salah seorang pemikir muslim terbesar pada abad mutakhir, Sayyid Jamal al-Din al-Afghani. Revolusi ini dikatakan bersifat ketuhanan dan bermatlamat membawa kebahagiaan kepada seluruh umat manusia dan secara khusus muslim seluruh dunia Islam. Dengan kata-kata lain, revolusi Iran dianggap Revolusi Islam kerana ia berasaskan pemikiran dan semangat Islam.

Tradisi kepimpinan yang kuat membolehkan mereka berpengaruh dalam kepimpinan dunia Islam dan kaum muslimin sejagat dalam OIC dan badan-badan dunia berkaitan dunia Islam.

Ketaatan:

Sistem ketaatan yang unik dalam Islam, lanjutan daripada sistem ketaatan kepada al-Imamah dan al-Khilafah dalam tradisi kepimpinan dan hierarki keilmuan mereka, diturunkan kepada konsep dan sistem ketaatan kepada konsep Marja’ al-Taqlid dan Wilayah al-Faqih dan seumpamanya. Wali al-Faqih merujuk kepada autoriti perundangan tertinggi, manakala Wilayah al-Faqih berperanan sebagai institusi yang merentasi ketiga-tiga kuasa tertinggi dalam negara atau kerajaan. Ia merupakan autoriti spiritual [sebelum kemunculan Imam yang tersembunyi yang akan muncul pada akhir zaman bagi membawa keadilan kepada dunia].

Kewujudan majlis ulama tertinggi sebagai badan tertinggi untuk menangani isu-isu peringkat tertinggi melibatkan polisi negara dan survivalnya. Dalam kepimpinan di peringkat kementerian, budaya “check and balance” dilaksanakan dengan seorang alim besar ditempatkan untuk memantau dan memastikan halatuju yang betul diikuti.

Para ulama akur dan patuh kepada kepimpinan ulama tertinggi. Bangsa Salman al-Farisi merupakan warga dan rakyat yang akur, taat dan patuh kepada para ulama. Sebarang keputusan yang diputuskan diterima tanpa berbelah bahagi dan mereka komited dengan keputusan yang dibuat. Kelihatan konsep ulama seperti disebutkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith, iaitu “انما يخشى الله من عباده العلماء” dan “العلماء ورثة الانبياء” dipraktikkan dan diimplementasikan dalam realiti.

Keberanian:

Keberanian mempertahankan kebenaran seperti Salman al-Farisi dengan penuh keyakinan dan ketaatan, mempertahankan kebenaran dengan segala keberaniannya dan sejarah membuktikan bahawa beliau tetap bersama-sama al-Qur’an dan kebenaran sepanjang hidupnya. Bangsa Salman al-Farisi hari ini memiliki sifat dan sikap tidak bertolak ansur dalam urusan membabitkan kebenaran dan kebatilan dan juga dalam isu-isu sensitif yang melibatkan kepentingan Islam. Bangsa yang berusaha untuk “liberate” rakan-rakan non-muslim mereka dalam masyarakat Barat daripada kesalahfahaman dan propaganda palsu terhadap Islam sebagai agama dan sistem kehidupan:

  • Pada zaman Nabi (s.a.w), beberapa pucuk surat diutuskan kepada tokoh berikut untuk memperkenalkan dan mengajak mereka kepada Islam seperti kepada Maharaja Rom, Parsi dan Habsyah.
  • Pada zaman moden pula, beberapa contoh seumpama itu diikuti dan ditunjukkan oleh bangsa Salman al-Farisi di antaranya:

· Surat Imam Khomeini kepada Presiden Russia, Mikhail Gorbachev mengajaknya mengenali Islam,

· Surat Presiden Iran, Ahmadinejad kepada Presiden Amerika Syarikat, George Bush dengan tujuan yang sama.

· Sepucuk surat oleh Shaykh Mohammad Hossein Kashef al-Gheta kepada rakannya berbangsa Amerika, Garland Evans Hopkins [Vice-President of the Friends of the Middle East] di Timur Tengah [sekitar tahun 1954].

Bangsa Salman dengan keberanian mengajak negara-negara muslim kembali kepada Islam dan memperingatkan mereka tentang musuh-musuh Islam. Contoh: Sepucuk surat kepada Mohammad Ali, Perdana Menteri Pakistan bertarikh 20 Rajab 1373 mengandungi nasihat dan peringatan kepada Pakistan sebagai sebuah bangsa yang dibentuk atas nama Islam dan berada dalam naungan Islam serta kedudukan Amerika Syarikat sebagai musuh Allah dan musuh Nabi (s.a.w)

Kashef al-Ghita menjelaskan perselisihan yang berlaku di kalangan muslim, yang dianggap olehnya sebagai kejahilan. Katanya: “Kita muslim sentiasa berangan-angan. Kita mempunyai kata-kata yang bijaksana tetapi tanpa tindakan. Kita menyelesaikan persoalan kulit tetapi bukan persoalan isi. Kita memberikan perhatian yang keterlaluan kepada perkara cabang [furu’] tetapi bukan kepada asas [usul]. Kita berlawanan dengan keturunan kita. Mereka merupakan manusia yang bertindak dan dikurniai ketekunan dan kegembiraan. Mereka lebih sensitif terhadap kebenaran dalam perbuatan mereka berbanding dalam perkataan mereka. Mereka tegas dalam memenuhi matlamat mereka tanpa bersusah payah. Menerusi penerimaan sifat baik dan murni keturunan kita itulah orang lain telah mendahului kita. Pada masa lepas, kita mendahului mereka, kini mereka mendahului kita pula.”

Bangsa yang berusaha untuk berdikari dan tidak mahu bergantung kepada orang atau bangsa lain seperti kata-kata oleh Kashef al-Ghita sendiri: “Today, all moslems, even the deaf and the dumb, are aware that in every segment and in every corner of the Islamic lands exist serpents of deception with their mouths wide open in order to swallow the earth and everything on it. Is this situation itself not a good cause for muslim unity? Is it not enough to inflame their pride and courage and determine them to achieve their will? Is the intensity of their pain and hardship not enough to motivate them to unite and wipe out their vendettas?”

Berhubung dengan isu tenaga nuklear, Ayatollah Khamenei menjelaskan alasan pihak musuh khususnya musuh Islam untuk menghalanginya adalah kerana “the gist of what enemies say is that the Iranian nation should not have nuclear technology, since it will become strong, and they will no longer be able to bully and intimidate it.” Seterusnya dikatakan: “If today the Iranian nation does not possess and benefit from nuclear technology, it will lag behind for several decades and in a not too far future, it will have to beg for fuel from the aliens and enemies, who will humiliate and trample on the honor and dignity of our nation if they fulfill just a small part of its requirements.”

Ketamadunan:

Perbincangan mengenai tamadun dan ketamadun bangsa Salman al-Farisi akan memerlukan suatu perbincangan yang berasingan kerana mereka merupakan bangsa yang mengalami proses kebangkitan dan kejatuhan pelbagai tamadun sepanjang zaman sehingga ke hari ini. Tamadun dan ketamadun bangsa ini membolehkan mereka mempunyai pendedahan, pengalaman dan pengaruh yang cukup besar dari segi kesan dan impaknya. Perbandingan yang lebih jelas akan dapat dilihat sekiranya proses perbandingan individu dan bangsa yang bertamadun dan individu dan bangsa yang tidak bertamadun dilakukan. Bangsa yang mengalami pertembungan budaya dan intelektual mempunyai corak dan bentuk pemikiran yang jauh lebih terbuka, dinamik, progresif dan pro-aktif, manakala perkara yang sebaliknya pula berlaku kepada bangsa yang tidak atau kurang bertamadun.

Dalam hal ini, bangsa Salman al-Farisi yang mempunyai sejarah dan tamadun yang besar telah memperlihatkan kekuatan, kewibawaan dan keunggulan dalam dunia ini. Mereka berjaya mengekalkan tamadun dan ketamadunan mereka dan bahkan memperkasakannya sehingga kini membolehkan mereka dikenali sebagai salah sebuah bangsa yang dominan dan terkehadapan dalam dunia Islam, dan dunia bukan Islam sendiri.

Kesimpulan:

Presiden Republik Islam Iran, Mahmud Ahmadi-Nejad menyatakan bahawa bangsa Iran merupakan bangsa yang suka berdamai dan bersahabat [a nation of "peace and friendship"] yang selalu mendokong keamanan, ketenteraman dan keselamatan kepada semua bangsa di dunia. Dikatakan bahawa untuk menjadi model dan contoh bangsa dan masyarakat, bangsa Iran hendaklah mengamalkan disiplin, kesatuan, kesetiakawan, bersatu, bekerjasama dan bekerja kuat dengan penuh kebijaksanaan dan keberanian. Dengan demikian, tiada suatu kuasa akan mampu menghalang laluan ketawhidan bangsa Iran. Hal yang sama telah ditegaskan oleh pemimpin tertinggi Kerajaan Republik Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei yang menyatakan bahawa ”no nation will achieve progress without striving, perseverance, innovation and initiative.“

No comments: