Sunday, July 8, 2007

Salman Al-Farisi-Bhgn 2

Bangsa Salman al-Farisi dari beberapa perspektif:

Artikel ini akan cuba membincangkan kedudukan bangsa Salman al-Farisi secara khusus selepas penguasaan dan penawanan Islam ke atas Parsi.

Parsi – Latar belakang secara ringkas:

Di kalangan pengkaji nasab (keturunan) yang membincangkan persoalan asal-usul Faris [فارس] , terdapat beberapa pendapat dikemukakan, di antaranya seperti berikut:

  1. Mereka berketurunan Jyumart iaitu Adam [جيومرت]. Dalam sumber lain dikatakan Faris al-Kubra ibn Kyumart[فارس الكبرى ابن كيومرت] yang merujuk kepada Jyumart bin Amim bin Lawadh [جيومرت بن اميم بن لاوذ].
  2. Mereka berketurunan Yafith bin Nuh [يافث بن نوح] atau Faris bin Jabir bin Yafith bin Nuh [فارس بن جابر بن يافث بن نوح]
  3. Mereka berketurunan Lawi bin Sam bin Nuh [لاوي بن سام بن نوح] atau Lawadh bin Sam bin Nuh[لاوذ بن سام بن نوح]
  4. Mereka berketurunan Faris ibn Yasur bin Sam bin Nuh [فارس بن ياسور(ناسور) بن سام بن نوح]
  5. Mereka berketurunan Hadram (Ram) bin Arfakhsyd bin Sam bin Nuh [هدرام (رام) بن ارفخشد بن سام]
  6. Mereka berketurunan Yusuf bin Ya‘qub ibn Ishaq bin Ibrahim [يوسف بن يعقوب بن اسحاق بن ابراهيم]

Kelihatan bangsa Parsi [Farsi] berasal daripada keturunan Nabi Nuh (a.s) menerusi anaknya, Sam. Sam merupakan punca silsilah keturunan pelbagai bangsa besar di dunia seperti Arab, Parsi dan bahkan Yahudi. Penamaan bangsa Samit dan yang berkaitan dengannya [seperti Semitik dll] berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan Sam bin Nuh. Analisis ini memperlihatkan Arab, Parsi dan Yahudi berasal daripada asal-usul dan keturunan yang sama.

Dalam konteks perbincangan mengenai keturunan Farsi @ Parsi ini, dikatakan bahawa bangsa Parsi ini merupakan suatu bangsa yang berani. Berikut adalah sejarah ringkas perkembangan bangsa ini secara ringkas:

Mereka dikatakan pada peringkat awal mengikut agama Nuh (a.s) [دين نوح] sehingga sampai kepada zaman Burdasif [برداسف المشرقي] kemudian mereka menganuti mazhab al-Hunafa’ [بمذهب الحنفاء] merujuk kepada agama al-Sabi’ah [دين الصابئة] dikenali sebagai al-Sabi’un [الصابئون] pada zaman Tamhurath [طمهورث] @ Tahmuras III [طهمورس] selama hampir 1200 tahun, seterusnya mengikuti agama Majusi menerusi usaha, peranan dan kemunculan Zaradusyt [زرادشت] pada zaman Raja Parsi, Bustasif [بستاسف] yang berlangsung selama 30 tahun yang menyeru (mereka) kepada agama Majusi [دين المجوسية].

Mereka meninggalkan Din al-Sabi’ah [دين الصابئة] dan mengikut Zaradusyt yang diakui sebagai nabi yang diutuskan kepada mereka selama hampir 1000 tahun. Mereka berada dalam agama tersebut sehingga sampai ke zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang ketiga, Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan.

Bangsa Salman al-Farisi Dari Perspektif Al-Qur’an:

Dalam al-Qur’an, persoalan bangsa Salman al-Farisi telah dikemukakan para mufassir khususnya berkaitan dengan surah al-Jumu’ah (62), ayat ke-3:

وآخرين منهم لما يلحقوا بهم وهو العزيز الحكيم

“Dan (juga) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Dari segi asbab al-nuzul (sebab penurunan ayat) dan tafsirannya dikatakan bahawa ia berhubungan dengan suatu peristiwa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (r.a) dan juga Abu Ja’far (r.a) tentang suatu pertanyaan yang dikemukakan oleh seseorang kepada Nabi Muhammad (s.a.w) mengenai “kaum yang lain“ yang dimaksudkan, lalu Nabi (s.a.w) menerangkannya dalam sabda baginda (s.a.w):

و جماعة عن ابي هريره قال : كنا جلوسا عند النبي (ص)حين انزلت سورة الجمعة فتلاها فلما بلغ (وآخرين منهم لما يلحقوا بهم) قالله رجل: يا رسول الله من هؤلاء الذين لم يلحقوا بنا؟ فوضع يده على سلمان الفارسي (رض) ، و قال: ((والذي نفسي بيده لو كان الايمان بالثريا، لناله رجال من هؤلأء)) فانه صلي الله تعالى عليه وسلم اشار بذلك الى انهم فارس.

“[Demi Tuhan dengan diriku ini di tangan-Nya] sekiranya Iman (al-Iman) berada di (bintang) Thurayya, kaum lelaki daripada golongan ini tentu dapat mencapainya, maka Nabi (SAW) memperlihatkan bahawa mereka merupakan bangsa Farsi [Faris].”


Bangsa Salman al-Farisi Dari Perspektif Al-Hadith:

  1. Bangsa Salman al-Farisi dan hubungannya dengan al-Din al-Islami:

Nabi Muhammad (s.a.w) dalam beberapa buah hadith menghubungkan persoalan kelebihan bangsa Parsi [باب فضل فارس] dan Salman al-Farisi kepada al-Din al-Islami seperti berikut:

قال رسول الله (ص) ((لو كان الدين عند الثريا لذهب به رجل من فارس - او قال - من ابناء فارس حتى يتناوله ))

Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sekiranya al-Din berada di (bintang) Thurayya, kaum lelaki daripada golongan ini tentu dapat mencapainya, atau – daripada keturunan Faris sehingga mereka berjaya mencapainya.”

  1. Bangsa Salman al-Farisi dan hubungannya dengan al-Iman:

عن ابي هريره قال: كنا جلوسا عند النبي (ص) اذ فانزلت عليه سورة الجمعة وآخرين منهم لما يلحقوا بهم قال قلت : من هم يا رسول الله؟ فلم يراجعه حتى ساله ثلاثا و فينا سلمان الفارسي وضع رسول الله (ص) يده على سلمان ثم قال ((لو كان الايمان عند الثريا، لناله رجال او رجل من هؤلأء)) ((لناله رجال من هؤلاء)).

عن ابي هريره قال: كنا جلوسا عند النبي (ص) اذ نزلت عليه سورة الجمعة فلما قرا: وآخرين منهم لما يلحقوا بهم [الجمعة] قال رجل: من هؤلاء؟ يا رسول الله ! فلم يراجعه النبي (ص) حتى ساله مرة او مرتين او ثلاثا قال و فينا سلمان الفارسي. قال فوضع النبي (ص) يده على سلمان، ثم قال ((لو كان الايمان عند الثريا، لناله رجال من هؤلأء)).

Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sekiranya al-Iman berada di (bintang) Thurayya, lelaki atau beberapa orang lelaki daripada golongan mereka tentu dapat mencapainya.”

  1. Bangsa Salman al-Farisi dan hubungannya dengan al-’Ilm:

((والذي نفسي بيده لو كان العلم بالثريا، لناله رجال من هؤلأء))

Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Demi diriku yang berada di tangan-Nya, sekiranya al-‘Ilm [Ilmu] berada di (bintang) Thurayya, lelaki daripada golongan mereka tentu dapat mencapainya.”


No comments: