Assalamualaikum warahmatullahi wa barokatuh dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog Cinta Agung.InsyaAllah pada kesempatan yang ada suka saya untuk berkongsi satu email yang saya peroleh daripada satu ruangan group iaitu berkaitan kisah Nabi Ayub Alaihissalam.Email tersebut bertajuk: Perihal Nabi Ayub Sakit Teruk yang disampaikan oleh Dato' Dr. Haron Din.Semoga dapat manfaat bersama...
"Bersama Dr Haron Din: Perihal Nabi Ayub sakit teruk
Dato' Dr Haron Din Mon | Jul 16, 07 | 04:46:43 PM | |
SOALAN: Ada seorang penceramah di masjid tempat saya, dalam satu ceramahnya beliau menceritakan perihal Nabi Allah Ayub a.s. yang mendapat penyakit ganjil kerana perbuatan jin-jin kafir ke atasnya. Seluruh badan Nabi Ayub a.s. berkudis dan bernanah, sehingga dagingnya reput, berbau busuk serta berulat. Kami jemaah masjid tertanya-tanya tentang peristiwa itu, bagaimana Nabi Ayub a.s. boleh mengajak orang mempercayai seruannya dan kerasulannya, jika keadaan beliau seperti sedemikian. Mohon Dato' jelaskan. FAUZI ABDUL RAHMAN, Gombak, Kuala Lumpur JAWAPAN: Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya): "Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41) Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub a.s.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya. Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai. Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya. Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya. Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal. Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti. Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu. Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah. Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka. Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya: "Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi. "Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.. ...(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84) Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub a.s. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpamcar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya. Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda. Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan. Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya. " |
Nota Kaki Cinta Agung:
*Ya Allah, pemilik rahmat di dunia dan di akhirat.Engkaulah pemberi rahmat kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, rahmatilah aku dengan satu rahmat daripadaMu sehingga aku tidak berhajat kepada selainMu.Amin
1 comment:
Ameen..!! semoga dilancarkan segala urusan.. kerja, nikah, dan teruskan dakwah.. :)
Post a Comment