Tuesday, December 28, 2010

Barang Cetak Rompak dan Fotokopi Buku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Harta intelek telah diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan oleh para ulama sedunia sebagai harta persendirian. Justeru itu, ia tidak bolah diambil dan digunakan secara tiruan KHUSUSNYA apabila software tersebut diniagakan. Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai “tulang belakang” perniagaannya, perniagaan tersebut adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa OIC (Majma al-Fiqh al-Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi.

Alasan Kafir
Ada pihak yang berhujah mengatakan bahawa Bill Gates adalah kafir. Jadi, tiada masalah untuk menggunakan software pirate. Selain itu, ada juga yang menyatakan beliau sudah terlalu kaya, maka penggunaan software palsu tidak memberikan apa juga kesan kepada kekayaannya.

Hujah ini adalah meleset dan tertolak dalam Fiqh Islam, kerana Muslim tidak dibenarkan untuk mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang sedang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika yang berada di Iraq). Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, maka perisian Windows adalah harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu adalah diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa sahaja mencerobohi sesuka hati. Dalilnya terlalu banyak, cukuplah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi, serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi  dan mestilah membelinya dengan cara yang halal.

Pendapatan hasil daripada perniagaan perisian pirate adalah di antara syubhah dan haram sahaja, tidak ada selain daripada itu.

Pengecualian
Namun begitu, menurut sebahagian ulama, sekiranya para pelajar ingin menggunakan software untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan terutamanya jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang original.
Sedangkan ia amat memerlukan komputer dan perisiannya untuk tujuan pembelajarannya.
Tatkala itu, ada ulama yang mengharuskan atas asas:-

a- Hajat mendesak dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah fiqh:
“Sesuatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak sama ada ia berbentuk umum atau khusus”-Al-Ashbah wa al-Nazair

b- Hanya untuk kegunaan peribadi dan tidak dikomersialkan.

c- Bertempoh, ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, ia perlulah membeli yang original.

Demikian juga halnya keadaan para pelajar di universiti. Sebagai contoh terdapat pensyarah yang menjadikan buku tertentu sebagai silibus dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga 5 hingga 6 buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai bajet untuk membeli buku-buku tersebut yang mungkin agak tebal  dengan harga yang tinggi. Lalu tatkala itu, pelajar DIBENARKAN membuat salinan (photocopy)halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya, ia juga diharuskan kerana hajiat.

Dalam kes ini, jika benar-benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang untuk membeli yang original, terdapat keringanan untuk seseorang itu menggunakan produk tiruan buat sementara waktu. Ketika perniagaan sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil dan tiada lagi “keperluan mendesak”, maka tatkala itu WAJIBLAH untuk bertukar dan membeli yang original.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Rujukan asal: Buku “Riba dan Isu Kewangan Semasa” oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman


No comments: