Friday, November 18, 2011

Respon Manusia Apabila Disebut Pasal MATI


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Suatu hakikat yang wajib diterima, hakikat yang memang pahit untuk diterima. Hakikat itu ialah semua yang hidup, bernyawa dan bernafas pasti akan bertemu dengan ‘pasangannya’ iaitu kematian. Sebagai orang yang beriman, kita dituntut untuk mengingati mati. Kenapa? Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Cukuplah dengan kematian itu sebagai peringatan”. Hadis Nabi S.A.W. jelas menyatakan bahawa kematian itu memberi ingatan kepada mereka yang lalai dan leka.

Ingat Mati, Tingkat Produktiviti 

Ramai yang beranggapan bahawa dengan mengingati mati, produktiviti hidup menurun. Apabila ramai ingat mati, mereka akan menumpukan ibadah solat dan zikir. Betulkah anggapan ini? Ibadah itu bukan hanya tertumpu kepada solat, baca Quran, zikir, wirid sahaja tapi seluruh aktiviti hidup manusia jika ‘kena caranya’ akan menjadi ibadah dan pahala. Apabila ingat mati, manusia akan bekerja dengan amanah, tidak menipu, rasuah, dan lain-lain kerana mereka tahu, segala gerak kerja semasa hidup akan dihitung di hadapan Allah Ta’ala dan penentu sama ada ke syurga atau neraka. Na’uzubillah Min Zalik

Tiga Kelompok Manusia

Apabila disebut pasal kematian, secara umumnya muncul tiga kelompok manusia;
1-    Kelompok manusia pertama ialah mereka yang mengingati mati. Orang yang mengingati mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup.
2-    Kelompok manusia kedua ialah mereka yang takut mati. Orang yang takut mati akan putus asa dan harapan untuk hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.
3-    Kelompok manusia ketiga ialah mereka yang lupa mati.Orang yang lupa mati akan meremehkan taubat, dan memperkecilkan ibadah. Mereka benci apabila disebut pasal mati kerana ia mengganggu keseronokan melakukan maksiat dan dosa.

Nabi Musa a.s dan Malaikat Pencabut Nyawa

Daripada Abi Hurairah r.a., ketika itu beliau menyebutkan beberapa hadis, antaranya bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Pada suatu ketika Izrail, malaikat maut diutus Allah kepada Nabi Musa a.s., dia berkata: “Sahutlah panggilan Tuhanmu.”

Malaikat maut tersebut lantas ditampar oleh Nabi Musa a.s. hingga buta kedua-dua matanya. Malaikat kembali kepada Allah dan berkata: “Ya Allah, Engkau telah menghantar aku kepada seorang hamba yang tidak ingin mati dan mencucuk mataku.”

Kemudian Allah mengembalikan penglihatannya dan berfirman: “Kembalilah dan katakana, “Adakah kamu masih ingin hidup? Jika begitu, letakkan tanganmu di belakanglembu. Untuk setiap bulu yang tertutup oleh tanganmu, engkau masih berkesempatan hidup selama satu tahun.”

Musa bertanya: “Setelah itu?”. Dia menjawab “Kemudian kamu akan mati !”. Musa berkata: “Kalau begitu sekarang kematian itu sudah dekat!”. Ia memohon kepada Allah supaya mematikannya dekat Baitul Maqdis dengan jarak satu lemparan batu.”

Rasulullah S.A.W. seterusnya bersabda: “Jika sekiranya aku berada di sana akan kutunjukkan kepadamu makamnya, iaitu di pinggir jalan berhampiran tompokan-tompokan pasir merah.(Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari r.a, 1339; dan Ahmad, 2/269).

Wallahu ‘alam.

No comments: