Wednesday, June 15, 2011

Marah Itu Mudah Tapi Sabar Itu Indah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

“Fasobrun jamil((فصبر جميل”, inilah lafaz yang termaktub di dalam Al-quran, malah di sana terdapat lebih daripada 90 ayat-ayat yang menyuruh manusia supaya bersabar dan ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang bersabar. Sabar merupakan asbab kepada kecintaan Allah kepada hambanya sehingga diberikan syurga sebagai ‘hadiah’ dek kerana kesabaran itu. Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, sabar ialah salah satu daripada tangga-tangga ibadat bahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung.

Apa Itu Sabar???

Sabar dari sudut istilah, bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, menahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah. Dalam tasawuf, sabar diistilahkan sebagai tahan menempuh sesuatu yang sukar.

Ayat-ayat Al-quran dan hadis berkaitan SABAR

1-Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaanNya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka(kerana)mengharapkan perhiasan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya kerana keadaannya itu melewati batas.(Al-Kahfi, 18:28).

2-Apabila kita berbicara tentang sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, merekaitulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.”(Al-Baqarah, 2:177). 

3-Rasulullah ‘Alaihi Solatu Wassalam bersabda yang bermaksud: “Sabar itu sebahagian daripada iman.”(Riwayat Al-Baihaqi). Ertinya, tanpa iman tidak akan ada kesabaran.

4-Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari.”(Riwayat Muslim).

Allah Yang Maha Sabar

Allah itu bersifat dengan sifat sabar. Dia bersabar dengan karenah dan perbuatan hambaNya. Justeru, antara nama Allah yang mulia itu adalah as-Sabur(Zat Yang Maha Sabar). Rasulullah S.A.W.bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan lebih sabar daripada Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan member mereka rezeki.”(Riwayat Ahmad daripada Abi Musa al-Ash’ari r.a)
 
Bersambung…bimasyiatillah

Wednesday, February 2, 2011

Dosa Kahwin Dua

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

InsyaAllah, kali ini saya akan bawakan satu kisah yang dikongsikan oleh sahabat saya diruangan Facebook. Mudah-mudahan, kita boleh mengambil iktibar daripada kisah tersebut.


Seorang lelaki telah berkahwin dua, sedangkan undang-undang negaranya mengharamkan poligami. Lalu pihak berkuasa datang untuk menangkapnya setelah menerima aduan daripada masyarakat setempat.

Sebelum ditangkap, berlaku dialog antara pihak berkuasa dengan si lelaki.

Pihak berkuasa: Tidakkah kamu tahu bahawa undang-undang melarang poligami?
Mereka bertanya si lelaki dengan penuh kehairanan.

Si lelaki: Ya, aku tahu.

Pihak berkuasa: Kalau begitu, mengapa kamu berkahwin juga dengan wanita ini? Ini satu kesalahan!

Si lelaki: Ini bukan isteri aku.. ini kekasih aku.

Pihak berkuasa: Oh... maafkan kami! Kami sangka dia isteri kedua kamu.. maafkan kami ya!

Lalu, pihak berkuasa beredar meninggalkan si lelaki itu. Si lelaki hidup bahagia bersama keluarganya.
  
p/s: Adaptasi dari kisah yg diceritakan oleh Syaikhul Azhar Syaikh Abd Halim Mahmud rahimahullah, yg diceritakan semula oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah. Kisah benar di atas berlaku di sebuah negara arab.

- Saya bawakan kisah ini bukan berniat kempen untuk poligami ;)

Tuesday, December 28, 2010

Barang Cetak Rompak dan Fotokopi Buku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Harta intelek telah diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan oleh para ulama sedunia sebagai harta persendirian. Justeru itu, ia tidak bolah diambil dan digunakan secara tiruan KHUSUSNYA apabila software tersebut diniagakan. Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai “tulang belakang” perniagaannya, perniagaan tersebut adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa OIC (Majma al-Fiqh al-Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi.

Alasan Kafir
Ada pihak yang berhujah mengatakan bahawa Bill Gates adalah kafir. Jadi, tiada masalah untuk menggunakan software pirate. Selain itu, ada juga yang menyatakan beliau sudah terlalu kaya, maka penggunaan software palsu tidak memberikan apa juga kesan kepada kekayaannya.

Hujah ini adalah meleset dan tertolak dalam Fiqh Islam, kerana Muslim tidak dibenarkan untuk mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang sedang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika yang berada di Iraq). Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, maka perisian Windows adalah harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu adalah diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa sahaja mencerobohi sesuka hati. Dalilnya terlalu banyak, cukuplah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi, serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi  dan mestilah membelinya dengan cara yang halal.

Pendapatan hasil daripada perniagaan perisian pirate adalah di antara syubhah dan haram sahaja, tidak ada selain daripada itu.

Pengecualian
Namun begitu, menurut sebahagian ulama, sekiranya para pelajar ingin menggunakan software untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan terutamanya jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang original.
Sedangkan ia amat memerlukan komputer dan perisiannya untuk tujuan pembelajarannya.
Tatkala itu, ada ulama yang mengharuskan atas asas:-

a- Hajat mendesak dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah fiqh:
“Sesuatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak sama ada ia berbentuk umum atau khusus”-Al-Ashbah wa al-Nazair

b- Hanya untuk kegunaan peribadi dan tidak dikomersialkan.

c- Bertempoh, ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, ia perlulah membeli yang original.

Demikian juga halnya keadaan para pelajar di universiti. Sebagai contoh terdapat pensyarah yang menjadikan buku tertentu sebagai silibus dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga 5 hingga 6 buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai bajet untuk membeli buku-buku tersebut yang mungkin agak tebal  dengan harga yang tinggi. Lalu tatkala itu, pelajar DIBENARKAN membuat salinan (photocopy)halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya, ia juga diharuskan kerana hajiat.

Dalam kes ini, jika benar-benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang untuk membeli yang original, terdapat keringanan untuk seseorang itu menggunakan produk tiruan buat sementara waktu. Ketika perniagaan sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil dan tiada lagi “keperluan mendesak”, maka tatkala itu WAJIBLAH untuk bertukar dan membeli yang original.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Rujukan asal: Buku “Riba dan Isu Kewangan Semasa” oleh Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman


Wednesday, December 15, 2010

Pendedahan Wikileaks: Antara Peluang Dan Ancaman

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah wassholatu wassalamu ‘ala rasulillah wa ‘ala aalihi wa sohbihi ajmain, amma ba’du;

Baru-baru ini, dunia media massa digemparkan dengan pendedahan beberapa perkara yang diklasifikasikan sebagai sulit oleh laman sesawang Wikileaks, sebuah pertubuhan antarabangsa yang bertapak di Sweden yang menerbitkan dokumen-dokumen sulit yang didapati daripada sumber-sumber yang tidak diketahui dan maklumat Internet yang dibocorkan. Maklumat lanjut berkaitan laman tersebut boleh didapati di sini: http://ms.wikipedia.org/wiki/WikiLeaks.

Antara pendedahan yang dibuat ialah pada April 2010, WikiLeaks menghantar video serangan helikopter 2007 di mana orang awam Iraq dan kakitangan Reuters dibunuh oleh tentera A.S., di sebuah tapak web yang dipanggil Collateral Murder. Pada Julai pula, WikiLeaks mengeluarkan Diari Perang Afghan, susunan lebih 76,900 dokumen risikan A.S. mengenai Perang Afghanistan. Pada Oktober tahun yang sama, tapak web ini mengeluarkan pula hampir 400,000 dokumen yang dipanggil Log Perang Iraq dengan kerjasama pertubuhan media komersil utama. Seterusnya pada November, ia mula membocorkan lebih 250,000 kawat diplomatik A.S., sekali lagi dengan kerjasama beberapa pertubuhan akhbar komersil utama. Sekitar 100,000 dilabel "sulit" manakala ~15,000 dokumen lagi dilabel "rahsia".

Bagi golongan yang berkepentingan, mereka mungkin melihat pendedahan laman tersebut sebagai satu modal dan peluang untuk mengkritik individu tertentu. Sebaliknya, ada yang kurang senang dengan isu ini kerana melihat kepada ancaman yang mungkin kena pada tubuh sendiri.

MSO Melayu@ Mohd Sayuti Omar menulis dalam blog beliau:
“ Pada saya kemunculan Wikileaks adalah strategi musuh Islam. Ia bukan saja musuh negara ini tetapi Islam seluruhnya. Kalau dari sisi lain dengan pendedahan laman bebas itu ia memberi gambaran Amerika itu sendiri mengetahui luar dan dalam sesebuah negara dan juga individu di mana-mana saja. Dalam erti kata lain Wikileaks dan Amerika terus menjalani propaganda dan perang saraf mereka bagi melemahkan negara dan kuasa lain. Mereka nampak bergaduh tetapi hakikatnya mereka bersekongkol untuk mengugut dunia.”

Suruhan Bertabayyun Dalam Islam

Islam merupakan agama yang menyeru kepada keharmonian dan kedamaian. Islam juga menyeru umat untuk mendengar banyak pandangan kemudian membuat analisis dan kaji selidik terhadap setiap pandangan tersebut agar memperoleh natijah yang baik. Dalam isu Wikileaks ini, masyarakat Islam perlu mengambil sikap berhati-hati terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh laman tersebut dan bukan menerimanya secara meng’khinzir’ buta dan mentah-mentah.

Suruhan ini disebut di dalam Surah Al-Hujuraat, surah 49; ayat ke-6 yang bermaksud:

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.  

Sebab diturunkan ayat 6;

Ayat 6 surah al hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab nuzul atau turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mustaliq. Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mustaliq, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, lau menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mustaliq Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Uqbah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

Islam menyeru umat agar berhati-hati dalam menerima berita daripada orang fasik maka interaksi umat terhadap isu Wikileaks atau mana-mana media yang ditaja oleh orang kafir lebih-lebih lagi perlu diberi perhatian yang serius.

Pengertian FASIK

Fasik ialah orang yang keluar dari garis panduan Islam. Menurut syara’, fasik ialah orang yang mengerjakan dosa-dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil. 

Pengajaran

Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud, 
”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”

Kalau di zaman Rasulullah sudah ada orang-rang Islam yang membawa berita palsu dan tidak betul, maka di zaman kita ini lebih-lebih lagi, terutamanya melalui media massa yang ada sekarang ini seperti tv dan akhbar. Ditambah pula dengan teknologi internet yang sedang berkembang maju, dunia hanya di hujung jari, berita-berita cepat tersebar tanpa mempedulikan sama ada betul atau tidak. Yang penting ialah sensasi berita itu. Kebenaran menjadi perkara kedua dalam pertimbangan. Sebahagian rakyat bagaikan mendapat kedai kopi kedua di mana mereka bincangkan isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain dalam internet.

Lebih teruk lagi, ada individu tertentu seolah-olah menjadikan internet terutamanya blog-blog sebagai tempat menyelesaikan masalah dalaman gerakan Islam. Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah mereka tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Ini kerana hilangnya kemahiran yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui ayat di atas agar kita menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan masa kini.
Oleh demikian, umat Islam perlu kaji dan belajar daripada sejarah kerana sifat sejarah itu akan terus berulang seumpama satu cerita yang diulang dan terus diulang. Wallahu alam

Nota Kaki Cinta Agung:
*Rujukan: 
1-Al-Quran( Surah Al-Hujuraat; ayat 6) dan al-hadis.

2-Laman web:



Tuesday, December 14, 2010

Petikan Akhbar: Isu Kahwin Bawah Umur

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah wassholatu wassalam 'ala rasulillah wa 'ala aalihi wa sohbihini ajmain. Amma ba'du;

Isu kahwin dibawah umur menjadi satu polemik di kalangan masyarakat kita akhir-akhir ini. Isu ini timbul kesan daripada kebenaran perkahwinan Siti Maryam Mahmod, 14, dengan seorang guru, Abdul Manan Othman, 23, oleh pihak Mahkamah Syariah pada awal Disember lalu.

Di bawah merupakan petikan artikel yang mengupas isu ini yang dipetik daripada Utusan Malaysia. Selamat membaca...

Penjelasan umur Aisyah
PARA pembaca dan pengkaji serta pencinta ilmu yang budiman. Saya yakin ada pembaca budiman yang terperanjat dengan artikel yang diterbitkan sebelum ini, mengenai umur Aisyah.

Artikel itu disediakan dengan bantuan beberapa teman sepejabat. Mungkin ada yang kurang senang dengan artikel tersebut memandangkan isi kandungannya tidak menyebelahi penetapan umur Aisyah ketika bernikah dengan Nabi SAW.

Para pembaca harus faham bahawa untuk membincangkan sesuatu topik yang besar seperti ini perlukan ruangan yang lebih besar.Jadi, dalam ruangan yang sempit, masa yang terhad dan kepakaran yang terbatas pastinya terdedah kepada kelemahan dan kekurangan.

Harapan saya, para pembaca tidak mengambil kesempatan mencela dan mengata di belakang. Kita semua bertanggungjawab menyebar dan mempertahankan ajaran Islam serta menjaga kesuciannya. Lebih-lebih lagi yang berkaitan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, pembawa syariat Allah.

Rupanya, kebanyakan kita lupa kepada ayat Allah SWT yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebajikan dan takwa dan jangan sama sekali kamu bantu membantu dalam perkara dosa maksiat dan pencerobohan…
(al-Maidah: 2)

Menolak hadis-hadis yang sahih adalah jenayah dalam Islam. Kami yang berusaha mempertahankan hadis-hadis yang sahih tidak akan menolak hadis-hadis yang sahih. Lebih-lebih lagi hadis dari Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Apa yang berlaku adalah satu kecuaian yang tidak disengajakan dalam memilih pendapat dalam penetapan umur Aisyah r.a yang dirujuk.

Bagi membetulkan fakta dinyatakan pendapat yang rajah dan selari dengan hadis-hadis yang sahih seperti berikut.

Penetapan umur Aisyah r.a ketika dinikahkan dengan Rasulullah SAW adalah ketika Aisyah berumur enam tahun dan Rasulullah tinggal bersama berumur sembilan tahun bukanlah ijtihad ulama sehingga boleh ditentukan kesahihan dan kesalahannya.

Penetapan ini adalah daripada nukilan sejarah yang telah pasti kesahihannya dan mesti diakui dan diterima tanpa bantahan. Dikhuatiri bantahan dan penolakan terhadap penetapan umur Aisyah r.a dinikahi Nabi saw ketika berumur enam tahun mengundang kepada penolakan hadis-hadis yang sahih dari sudut sanad dan matannya.

Hal ini berdasarkan beberapa faktor yang akan dinyatakan sebagaimana di bawah.
l Penetapan atau pengakuan ini adalah bersumberkan kata-kata pemilik kisah sendiri iaitu Ummul Mukminin Aisyah r.a. Bukan juga sesuatu yang ditetapkan oleh ahli sejarah. Kisah perkahwinan ini diriwayatkan oleh Aisyah r.a sendiri:- 

Daripada Aisyah r.a. berkata: Nabi SAW. melaksanakan pernikahan denganku ketika aku berumur 6 tahun. Kami pergi ke Madinah dan tinggal sementara di perkampungan Bani al-Harith b. al-Khazraj. Kemudian aku ditimpa penyakit yang menyebabkan rambutku gugur. Lalu rambutku tumbuh semula. Ketika aku bermain-main dengan rakan-rakanku, ibuku Ummu Ruman memanggilku. Aku pun mendapatkan ibuku tanpa mengetahui apa yang dikehendakinya. Ibuku memegang tanganku dan membawaku sehingga memberhentikanku di hadapan pintu rumah. Aku merasa gementar dan sesak nafas, apabila gementarku semakin hilang, ibuku mengambil sedikit air dan membasahkan wajah serta kepalaku. Lalu ibuku membawaku masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah aku dapati sejumlah wanita-wanita Ansar. Mereka berkata: Di atas kebaikan dan keberkatan, kebaikan yang akan datang. Ibuku menyerahkanku kepada mereka. Mereka mempersiapkanku dan memperelokkan keadaanku. Tanpa aku menyedari, pada waktu duha Rasulullah SAW tiba, maka aku diserahkan kepada Baginda. Ketika itu aku berumur sembilan tahun.

Riwayat daripada Aisyah r.a ini ada di dalam kitab hadis yang paling sahih selepas kitab Allah iaitu Sahih al-Bukhari (3894) dan Muslim (1422).

Kisah ini diriwayatkan atau datang dari Aisyah r.a melalui jalur periwayatan (sanad) yang banyak selain riwayat yang paling masyhur iaitu daripada Hisyam bin Urwah bin al-Zubair, daripada bapanya Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah r.a dan jalur Hisyam bin Urwah ini merupakan riwayat yang paling sahih.

Urwah bin al-Zubair ialah antara perawi yang paling mengenali Aisyah, kerana Aisyah adalah ibu saudaranya.

Riwayat-riwayat lain berkenaan kisah ini adalah melalui:

l Riwayat al-Zuhri daripada Urwah bin al-Zubair dari Aisyah r.a. (Muslim 1422)

l Riwayat al-A'mash, daripada Ibrahim, daripada al-Aswad, Aisyah berkata: Rasulullah SAW mengahwininya ketika dia berumur 6 tahun, tinggal bersamanya ketika berumur 9 tahun dan Rasulullah wafat ketika Aisyah berumur 18 tahun. (Muslim 1422)

l Riwayat Muhammad bin Amr, daripada Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib, daripada Aisyah. (Abi Daud 4937).

Para perawi yang menyokong riwayat Urwah bin al-Zubair pula adala: al-Aswad bin Yazid, al-Qasim bin Abd Rahman, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Amrah binti Abdul Rahman dan Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib.

Perawi yang menjadi mutabi' bagi Hisyam bin 'Urwah bin al-Zubair adalah Ibn Syihab al-Zuhri dan Abu Hamzah Maimun maula Urwah.

Perawi yang mengambil daripada Hisyam bin Urwah daripada penduduk Madinah Abu al-Zinad Abdullah bin Zakwan, anaknya Abd al-Rahman bin Abi al-Zinad, Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin Urwah. (Ini menunjukkan Hisyam turut meriwayatkan kisah ini sewaktu dia berada di Madinah).

Di kalangan penduduk Mekah Sufyan bin Uyaynah; penduduk al-Ray, Jarir bin Abd Hamid al-Dobbi. Di kalangan penduduk Basrah ialah Hammad bin Salamah, Hammad bin Zayd, Wuhaib bin Khalid dan sebagainya.

Semua ini bagi menjawab sangkaan bahawa Hisyam bin Urwah bersendirian meriwayatkannya dan sangkaan bahawa Hisyam telah bertukar atau berubah hafalannya di akhir umurnya.

Imam al-Zahabi berkata: "Hisyam bin Urwah, salah seorang ulama tetapi apabila sudah berumur, hafalannya sedikit kurang, beliau tidak pernah al-Mukhtalid (bercampur @ berubah antara yang salah dengan yang benar dalam riwayat)."

Apabila beliau sampai di Iraq di akhir umurnya, beliau menyampaikan ilmu dan terdapat amat sedikit yang tidak dinyatakan ketepatannya. Perkara ini juga berlaku kepada Malik, Syu'bah, Waqi' dan ahli-ahli hadis yang terkemuka. (Mizan al-I'tidal 4/301-302)

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa Hisyam bin Urwah dan Suhail bin Abi Sahih telah mukhtalid, benar seseorang itu akan berubah sedikit dengan hafalannya iaitu tidak seperti ketika mudanya, maka beliau tidak beberapa pasti akan hafalannya.

Begitu juga kisah perkahwinan Nabi SAW dengan Aisyah r.a ketika beliau berumur sembilan tahun. Diriwayatkan oleh selain Aisyah, di kalangan mereka yang sempat bersamanya dan lebih mengenalinya daripada orang lain.

Telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad daripada Muhammad bin Bisyr, berkata: "Muhammad bin Amr telah memberitahu kami, Abu Salamah dan Yahya juga telah memberitahu kami ….. Di dalam riwayat ini dinyatakan bahawa umur Aisyah ketika akad adalah 6 tahun dan tinggal bersama ketika 9 tahun. (Musnad Ahmad 6/24)."

Berkata Imam al-Bayhaqi, ketika mengulas hadis: "Aku tidak mengetahui tentang ibu bapaku melainkan mereka sudah memeluk agama Islam berkata Aisyah dilahirkan di dalam Islam, kerana bapanya memeluk Islam sewaktu permulaan Rasulullah SAW dilantik."

Maka jelas melalui hadis-hadis sahih di atas bahawa umur Aisyah ketika dinikahi oleh Nabi SAW adalah enam tahun.

Mudah-mudahan jawapan yang ringkas ini memberi manfaat kepada mereka yang ikhlas mencari kebenaran.


Nota Kaki Cinta Agung:


*Isu pendidikan seks di sekolah kembali hangat diperkatakan...wajar atau tidak?

Sunday, November 14, 2010

Talbiah: Kami Datang KepadaMu Ya Allah

Sejarah Haji

Haji mengingatkan kita sejarah pengorbanan
Pengorbanan yang ikhlas,agung lagi suci
Kerana Allah Nabi Ibrahim sembelih anaknya, Nabi Ismail
Kerana Allah nyawa tebusannya

Sejarah berkata lagi tentang pengorbanan itu
Siti Hajar kerana Allah taatkan suami tinggal sendiri
Tinggal ditanah haram suami datang setahun sekali
Ditanah kering kontang hanya tawakkal kepada ilahi

Tatkala Nabi Ismail lahir teruji lagi
Air susunya telah pun kering sama sekali
Siti hajar mencari air ke hujung ke pangkal berlari-lari
Dari sofa ke marwah beberapa kali

Aduh hatinya bimbang anak kecilnya tiada rezki
Tapi hatinya teguh kepada Allah yakin sekali
Di dalam mencari-cari terpancar air dari bumi
Berkat dari hentakan kaki anaknya bakal nabi

Dia pun mengumpul air sambil bersyukur
Dengan menyebut Zamzam…Zamzam
Itulah dia air Zamzam yang kekal hingga ke hari ini
Mu’zijat seorang nabi berkat istrinya

Sudahkah kita mengambil pengajaran dari cerita ini
Cintakan Allah menegakkan agamanya wajib berkorban
Taat, sabar dan tawakkal jadikan pakaian
Cintakan Allah pengorbanlah sebagai bukti

Nota Kaki Cinta Agung:
*Salam lebaran kepada semua pengunjung blog Cinta Agung.Kullu am wa antum bikhair (n-n)

Tuesday, November 2, 2010

Rahmat ujian..........

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah sekali lagi kita bersua dalam blog Cinta Agung ni yang sudah lama tidak diUPDATE kan.Al-Quran, kalamullah mempunyai banyak kelebihannya seperti syifa(penyembuh) kepada penyakit rohani dan jasmani, sirah-sirah(pensejarahan) mengenai umat terdahulu di samping memberi pahala dan syafaat kepada si pembaca.

Terapi Jiwa Dengan Ayat Allah
Selain itu juga, terdapat ayat-ayat Allah yang memberi 'makna' kepada jiwa yang gelisah sebagai satu bentuk solusi kepadanya. Mari kita baca satu artikel yang cukup menarik ini...

Tiap persoalan Allah sudah jawab di dalam AlQuran... sayang nya ALlah dkt Kita............
Kenapa Aku Tak Dapat Apa Yg Aku Idam-Idamkan?
..dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui..(albaqarah:216)

Kenapa Susah Sangat Ujian Ini?
… dan ketahuilah, Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya…(albaqarah:286)

… sesungguhnya disamping kesusahan bersamanya kemudahan…… (ditegaskan sekali lagi) disamping kesusahan bersamanya kemudahan…(alinsyirah:5&6)

“Do you really think that you will enter Paradise without such trials as came to those who passed away before you? They were afflicted with severe poverty and ailments and were so shaken that even the Messenger and those who believed along with him said, ‘When will come the Help of Allah?’Yes, certainly the Help of Allah is near!”[Quran 2:214]

Rasa Frust? Tension? Lemah Semangat?
::janganlah kamu bersedih atau berduka cita, sesungguhnya kamu lebih tinggi jika kamu beriman::(alimran:139)

.:adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata ‘kami telah beriman’ tanpa mereka diuji:..Dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta:.(alankabut:2&3)

Bagaimana Harus Aku Menghadapinya?
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”(Surah Al-Imran ayat 200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”(Surah Al-Baqarah ayat 45)

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”(Ar-Ra’d: 28)

Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ini?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka… ..(Surah At-Taubah ayat 111)

Kepada Siapa Aku Berharap?
“Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.”(Surah At-Taubah ayat 129)

Arghhh Aku Tak Tahan!!! Aku Dah Bosan!!
“… ..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.”(Surah Yusuf ayat 12)

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta. (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

“Did you think that We had created you in play (without any purpose), and that you would not be brought back to Us?”(Quran 23:115):

?Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.?- Surah az-Zariyat: ayat 56.

Demi masa:..:sesungguhnya manusia dalam kerugian:..:kecuali yang beriman dan juga yang beramal soleh:..:yang berpesan pada kebenaran:..:yang berpesan pada kesabaran:.(alquran:al-asr)

..ya tuhanku, sesungguhnya aku berkehendak kepada kebaikan yang engkau turunkan kepadaku..(alqasas:24)

Nota Kaki Cinta Agung:
*Melangkah ke mukasurat: 100, buku Sejarah Tuhan