Sunday, March 28, 2010

Berkelana

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Tuhan memanggil ku tidak menyahutnya

Tuhan memanggil aku mendengar saja

Tuhan memanggil aku ku sahut sekali sekala

Tuhan memanggil aku ku cuba menerimanya…2x

Tuhan memanggil ku sahut bertalu-talu

Tuhan memanggil ku jemu menyahutnya

Tapi aku memaksa diriku menerimanya… 2x

Itulah diri aku belum jinak dengan tuhan

Ku akan jinakkan dengan berkelana…….

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung dan pembaca blog Cinta Agung. Semoga di dalam keadaan sihat adanya. Pernahkah saudara saudari semua menemukan kata-kata di atas sebelum ini? Ya, inilah seni kata lagu ‘Berkelana’ nyanyian Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim semasa bersama Rabbani suatu masa dahulu. Seni kata lagu ini cukup menyentuh jiwa bagi diri yang berjiwa hamba.

Sabda Nabi S.A.W.:

“ Apalah aku ini dengan dunia! Sesungguhnya perumpamaan diriku dan dunia adalah seperti seorang musafir, tidur sejenak di siang hari  di bawah pokok untuk berehat kemudian meneruskan perjalanan  dan meninggalkannya.”

Wallahu alam...(^^)

Nota Kaki Cinta Agung:
Daripada Ibnu Umar R.A, beliau berkata: Rasulullah memegang dua bahuku sambil berkata: “Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau sebagai orang yang melalui jalan.”
Hadis riwayat Imam Bukhari R.A. dalam kitab ‘ar-Raqqaaq’(Daripada Kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi Rahimahumullah Ta’ala)

Thursday, March 18, 2010

Etika Berpakaian: Wahai Muslimah, Jangan Terlepas Pandang!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. InsyaAllah kali ini, saya akan kongsikan kepada semua satu foto yang berkaitan kesalahan dalam berpakaian bagi wanita Islam. Semoga paparan ini mampu untuk membetulkan persepsi umat Islam terhadap masalah AURAT itu sendiri. Wallahu alam

Nota Kaki Cinta Agung:
* Wanita Islam di Perancis, Belgium dan mungkin di negara-negara lain bermati-matian mempertahankan kehormatan mereka berkaitan pemakaian tudung tetapi orang Melayu kita sebaliknya.
* Untuk paparan yang lebih jelas, anda hanya perlu klik pada foto di atas, InsyaAllah.
* Kredit untuk MUZAMMIL...

Tuesday, March 16, 2010

Rahsia Bahagia

Bahagia itu maknawi juga bersifat rohaniah
Rasa senang bukan bahagia sekalipun ia berharta
Kerana semua itu bersifat lahiriah
Ia bukanlah hakikat bahagia…2x

Tenang itulah tanda bahagia
Tiada tenang kan keluh kesah
Bila tiada kebahagiaan
Hidup penuh kepuraan

Bahagia itu maknawi juga bersifat rohaniah
Rasa senang bukan bahagia sekalipun ia berharta
Kerana semua itu bersifat lahiriah
Ia bukanlah hakikat bahagia

Mazmumah punca tiada bahagia
Kerana terus mengekalkannya
Hasad dengki… gila dunia
Sombong bongkak… merosakkan segala

Carilah tenang dapatkan bahagia
Cintakan Allah setiap masa
Bila zikrullah dihayati
Barulah bahagia diperolehi…2x

Bahagia itu maknawi juga bersifat rohaniah
Rasa senang bukan bahagia sekalipun ia berharta
Kerana semua itu bersifat lahiriah
Ia bukanlah hakikat bahagia…3x


Nota Kaki Cinta Agung:
* Rahsia Bahagia oleh Kump. Qatrunnada

Sunday, March 7, 2010

Keadilan Islam


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog Cinta Agung. Keadilan merupakan perkara yang dituntut dalam agama Islam. Firman Allah Ta’ala: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat." (QS. an-Nahl :90).

Adil lawannya zalim, ADIL bermaksud meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya manakala ZALIM pula, meletakkan sesuatu perkara pada bukan tempatnya. Sebagai contoh, pen yang fungsinya untuk menulis tetapi digunakan untuk membuat perkara yang luar daripada fungsi asalnya. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan pada hari Kiamat…” dan Allah Ta’ala sendiri mengharamkan kezaliman pada diriNya. Wallahu alam.

Peristiwa Perempuan Bani Makhzum Yang Mencuri

Dalam sejarah, berlaku perkara yang membuktikan bahawa keadilan ini amat dititikberatkan oleh Islam. Kisah seorang perempuan mulia dari Bani Makhzum yang mencuri. Kes perempuan ini menarik perhatian kaum Quraisy dan mereka ingin mencari orang tengah yang boleh menjadi perantaraan dengan Rasulullah S.A.W. untuk menghindarkan hukuman had darinya.
Maka mereka berkata: "Siapakah yang boleh bercakap dengan Rasulullah S.A.W. dalam kes ini ?" Mereka berkata: " Tidak ada yang berani melakukannya kecuali Usamah bin Zaid  yang dicintai Rasulullah ." Maka perempuan itu dibawa ke hadapan Rasulullah , lalu Usamah bin Zaid  bercakap tentang perempuan itu kepada Rasulullah .
Maka berubahlah raut wajah Rasulullah dan bersabda:
أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللهِ؟
"Apakah engkau memberi syafaat dalam satu had dari hudud Allah I?
Usamah berkata: " Mohonlah ampun untukku, wahai Rasulullah." Maka tatkala di waktu isya', Rasulullah berdiri memberikan pidato. Lalu Baginda memuji Allah sebagaimana mestinya, kemudian bersabda:
"أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّما أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَإِنِّي وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ، لَقَطَعْتُ يَدَهَا" [مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ].
"Amma ba'du, sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu adalah bahwa mereka, apabila orang yang mulia mencuri di antara mereka, mereka membiarkannya. Apabila orang yang lemah mencuri pada mereka, mereka menegakkan hukum atasnya. Sesungguhnya aku, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya, jika sesungguhnya jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong tangannya." Muttafaqun 'alaih.
Hadis ini membawa kita kepada satu kesimpulan bahawa:
1-  Konsep keadilan di dalam Islam tidak memandang kepada keadaan status seseorang. Tidak kira sama ada orang kaya atau miskin, semuanya dihukum jika disabitkan bersalah.
2- Ketidakadilan dalam menjatuhkan hukuman menjadi punca kepada hancurnya sesuatu umat sebagaimana yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.
Secara umumnya, dalam negara-negara di dunia termasuk negara-negara umat Islam masih lagi tidak menerapkan roh keadilan dalam sistem perundangan mereka. Hukum-hukum sekular masih bertapak di dalam negara. Hakim-hakim disogok untuk membela mereka yang bersalah dan ada diantara mereka diugut jika tidak mengikut kehendak mereka. Kesannya, orang yang berpengaruh bermaharajalela dengan kejahatan mereka. Jika perkara ini tidak dibendung maka tunggulah kehancuran suatu masyarakat itu.
Negara-negara umat Islam yang menjalankan hukum Islam boleh dibilang dengan jari. Kelompok masyarakat Islam yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan hukum Islam ini, dihalang dengan pelbagai cara. Semuanya untuk memastikan undang-undang Islam ini tidak dilaksanakan. Pelaksanaan hukum Islam perlu dilihat dari sudut keamanannya bukan dari sudut hukumannya, persepsi ini perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Umat Islam perlu yakin bahawa, setiap percubaan musuh untuk menghancurkan Islam akan menemui kegagalan walaubagaimana hebat sekalipun strategi mereka. Wallahu alam…
Nota Kaki Cinta Agung:
* “ Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui akan kebenaran”. Doa Nabi S.A.W. setelah pulang daripada berdakwah kepada kaum Thoif dalam keadaan baginda S.A.W. yang cedera.

Thursday, February 25, 2010

Salam Maulidur Rasul: "Bagaimana Akhlak Salafussoleh Kepada RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ?"

Dengan Nama Allah Yang Pemurah Yang Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera diucapkan. Pertama sekali, salam Maulidur Rasul 1431 Hijrah saya ucapkan kepada semua umat Islam. Bersempena dengan sambutan ini, saya letakkan satu artikel yang diharapkan dapat meningkatkan rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W. Selamat membaca…

Kewajipan Mentakzim Rasulullah SAW
Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36):
Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.

Kata Abu Ibrahim al-Tujibi:
Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan baginda SAW dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (
رضي الله عنهم).

Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah SAW

Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya:
“Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”.

Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah:
Imam Malik apabila menyebut Nabi SAW akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau:

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.

Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

Aku pernah melihat Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq -, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci.

Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.

Aku pernah melihat al-Zuhri, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.

Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya”.

Al-Hafiz al-Sakhawi mengulas dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ (h. 350):
Maka jika kamu amati benar-benar hal ini, kamu akan tahu apa yang wajib ke atasmu dari rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab dan tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda SAW atau mendengar namanya yang mulia.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Kredit untuk penulis artikel ini: Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Monday, February 22, 2010

Tawakkal Sang Burung


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih...




Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua. Pada kesempatan kali ini, saya ingin membawa saudara saudari untuk sama-sama membaca dan menghayati satu hadis daripada Sayyidina Rasulillah S.A.W. berkaitan dengan tawakkal.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“ Sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah Ta’ala dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Allah akan memberikan kepada kamu rezeki sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung.Berpaginya(burung) dalam keadaan lapar dan pada petangnya pulang dalam kekenyangan”

Hadis Riwayat Imam Tirmizi R.A: Hadis Hasan Sahih

Wallahu ‘alam. Wassalam

Nota Kaki Cinta Agung:
*Aku memohon ampun kepada Allah di atas kealpaan dan kekuranganku …….v (T-T)v……..

Friday, February 19, 2010

Cinta Tsauban Radhiyallahu ‘anhu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog Cinta Agung. Mudah-mudahan di dalam taufiq dan hidayah daripada Allah Ta’ala hendaknya. Di dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari R.A dan Muslim R.A, Nabi Muhammad S.A.W. pernah menyatakan tentang “ Halawatul Iman”, iaitu orang yang telah merasai bagaimana enak dan manisnya ni’mat iman itu sehingga dia tidak suka lagi menukar makanan dengan yang lain, atau hidupnya tenggelam di dalamnya.

Sabda Nabi S.A.W. bermaksud:
“ Ada tiga perkara, kalau orang telah dapat mencapainya akan mendapatlah dia bagaimana manisnya iman itu; 1) Bahawa Allah dan Rasul lebih dicintainya daripada apa jua pun yang lain. 2) Dan bahawa dia cinta kepada seseorang, tetapi cintanya itu tidak lain hanyalah kerana cintanya kepada Allah jua. 3) Dan bahawa dia tidak suka lagi kembali kafir setelah Allah mencabutkan dirinya daripadanya, sebagaimana bencinya akan dilemparkan ke dalam api yang menyala”

Seorang sahabat dan pembantu Nabi S.A.W. bernama Tsauban R.A. boleh dikatakan siang malam dia tidak menjauhi Nabi S.A.W. Seketika Rasulullah S.A.W. pulang ke rumah isteri Baginda, pada ketika itu pula Tsauban R.A. berpisah dengan Baginda. Pada suatu hari, Tsauban datang kepada Nabi S.A.W. dalam keadaan muram, terbayang diwajahnya kedukaan yang tengah menimpa hatinya:

“ Kenapa denganmu wahai Tsauban? Kelihatan wajahmu berubah, engkau muram sahaja”

Lalu Tsauban menjawab:

“ Wajahku berubah bukanlah kerana aku sakit ya Rasulullah! Cuma fikiranku jadi muram kerana memikirkan keadaan ini.  Jika aku berpisah agak sedikit lama dengan Baginda, sepilah hidupku rasanya. Baru rasa sepi itu hilang apabila aku telah bertemu dengan Baginda kembali. Maka teringatlah aku akan hari akhirat kelak. Cemas aku memikirkan. Apakah di akhirat itu aku masih akan bertemu dengan Baginda? Kerana jika Baginda masuk ke dalam syurga, nescaya tempat yang disediakan buat Baginda adalah tempat yang tinggi bersama nabi-nabi dan rasul-rasul. Dan jika aku diizinkan Tuhan masuk syurga, tentu tempatku jauh di bawah daripada tempat yang disediakan buat Baginda. Tentu di akhirat kita tidak akan bertemu lagi”

Demikianlah kisah cinta Tsauban R.A. kepada Rasulullah S.A.W. Sempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W., insyaAllah. Wallahu alam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Coming soon: 12 Rabi’ Awwal 1431 Hijrah (^^)