Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Kareem

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah wa barakatuh dan salam ramadhan diucapkan kepada semua sahabat. Alhamdulillah, pada tahun ini kita diberi peluang oleh Allah Ta'ala untuk bertemu dengan Ramadhan.

Ramadhan baru sahaja membuka tirainya sebagai satu kemuliaan dan peluang yang diberikan Allah kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Di sini, saya akan nyatakan beberapa hadis-hadis berkaitan Ramadhan;

1- Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila datangnya Ramadhan maka akan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan"
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

2- Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa (siyam) Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosanya yang telah lalu". 
(Riwayat al-Bukhari). 

3- Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Sesiapa yang qiyam Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala maka diampunkan baginya dosanya yang telah lalu". 
(Riwayat al-Bukhari)

Daripada kedua-dua hadis ini dapat kita simpulkan dua perkara penting dalam ibadat puasa iaitu;
Siyam iaitu kewajiban menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Ibadah puasa bukan sahaja tertumpu kepada menjaga diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa(ibadah lahiriah) malah orang yang berpuasa itu juga patut menjaga dirinya daripada perkara yang membatalkan pahala puasa itu sendiri(ibadah batiniah).

Qiyam; apakah maksud qiyam Ramadhan? Ia difahami sebagai melakukan ibadah pada bulan Ramadhan termasuk ibadah sunat pada malam hari. Maka solat sunat Terawih termasuk dalam erti qiyam Ramadhan.

Wallahu alam.(@;@)

Cinta Agung
1 Ramadhan 1431 Hijrah 
Balai Besar,
Dungun, Terengganu.

Wednesday, August 4, 2010

Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Al-Quran merupakan kitab yang Allah Ta'ala diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril Alaihissalam dalam bahasa Arab dan secara mutawatir. Ianya diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun berikutan era dakwah Rasulullah berjalan selama tempoh tersebut. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Di dalam Quran, terdapat ayat Makiyyah; iaitu ayat yang turun sebelum hijrah Nabi S.A.W. dari Mekah ke Madinah dan ayat Madaniyyah; iaitu ayat yang diturunkan selepas hijrah Nabi S.A.W. Inilah pendapat yang paling tepat dalam pendefinisian ayat Makiyyah dan Madaniyyah.

Orang yang ingin menyentuh atau membaca Al-Quran mestilah suci daripada hadas sama ada kecil atau besar. Satu persoalan yang mungkin timbul iaitu adakah alat yang mengandungi perisian Al-Qur’an itu dihukumkan sebagai Al-Qur’an? 


Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus ia disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. (Fatwa 31/1972).

Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke program yang lain. (Fatwa 22/2006).

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu juga jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.

Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al- Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut
ketika berada di tandas.

Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempattempat kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat
al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.

Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:

    “Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan.”

Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana
ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempattempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan. Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan
riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.

Nota Kaki Cinta Agung:

* Sumber : Mufti Brunei
* Selamat beramal...

Wednesday, July 28, 2010

Mengukir Inai Di Tangan: Apakah Dibenarkan Syara’?

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Sudah menjadi tabiatnya- Golongan perempuan, ingin kelihatan cantik dan menawan. Berbagai cara dilakukan untuk tampil menarik, antaranya dengan berpakaian cantik, berhias dengan aksesori yang pelbagai atau berhias dengan peralatan solek dan yang seumpamanya.


    Berinai juga dilihat sebagai salah satu cara untuk berhias khasnya sewaktu hendak bersanding. Inai digunakan dengan bermacam cara, dan selalunya cara itu meluas mengikut trend semasa. Jika dahulu inai hanya digunakan untuk memerahkan kuku, jejari dan telapak tangan, tetapi sekarang ia lebih menjurus kepada ukiran seperti ukiran berbentuk bunga, hati, bintang dan seumpamanya.


    Kehalusan ukiran inai yang terhasil dari kreativiti pengukir dilihat sebagai satu seni hiasan yang cantik dan menarik. Tidak hairanlah jika ia menjadi satu trend hiasan yang digemari oleh sebahagian orang hari ini. Apa yang ditakuti ada perempuan Islam yang menghias anggota badannya dengan ukiran yang kekal dalam bentuk tatu.

Apakah hukum berinai dan adakah berinai dengan cara membuat ukiran di tangan itu dibenarkan oleh syara‘?

Hukum Berinai
Terdapat perbezaan hukum berinai bagi lelaki dan perempuan.

Pertama: Hukum berinai bagi lelaki
Berinai pada dua tangan dan kaki bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram kecuali kerana darurat seperti berinai untuk berubat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salma, khadam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya:


Maksudnya:
“Tidak mengadu seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sakit di kepalanya melainkan Baginda berkata: “Berbekamlah”, dan tidak mengadu seseorang kepada Baginda tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda berkata: “Inaikanlah keduanya”.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan sesetengah pengantin lelaki berinai di jejari tangannya adalah haram juga hukumnya.

Manakala berinai pada uban dan janggut adalah disunatkan bagi lelaki, sama ada dengan warna merah atau kuning. Akan tetapi bukan dengan warna hitam,kerana berinai dengan warna hitam
adalah haram sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:

“Dibawa Abu Quhafah pada hari penaklukan Makkah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaghamah (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban). Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ubahkan (warna rambut dan janggut) kamu dengan sesuatu dan jauhi (warna) hitam.”

(Hadis riwayat Muslim)

Kedua: Hukum berinai bagi perempuan.
Hukum berinai bagi perempuan adakalanya sunat, adakalanya makruh, bahkan adakalanya haram mengikut keadaan, status perempuan itu sama ada bersuami atau tidak dan bagaimana cara perempuan itu berinai.

i. Berinai yang sunat
Berinai ketika hendak melakukan ihram bagi perempuan sama ada perempuan tua atau yang muda, yang bersuami atau yang tidak bersuami (janda atau belum berkahwin) hukumnya adalah sunat. Begitu juga sunat bagi perempuan yang bersuami berinai walaupun dia tidak bermaksud untuk berihram.

ii. Berinai yang makruh
Berinai bagi perempuan yang tidak bersuami dan ia tidak bermaksud untuk berihram hukumnya adalah makruh.

iii. Berinai yang haram

Berinai dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak, seperti berinai dengan warna hitam hukumnya adalah haram. Begitu juga haram berinai bagi perempuan yang berkabung kerana kematian suami.

Berinai Dengan Membuat Ukiran Di Tangan

Sekadar hiasan
Berinai yang disunatkan bagi perempuan yang bersuami yang ingin melakukan ihram atau tidak dan perempuan yang tidak bersuami yang ingin melakukan ihram ialah dengan cara menginai seluruh tangan hingga pergelangannya dan disunatkan juga menyapu sedikit inai pada mukanya.

Adapun berinai dengan membuat ukiran di tangan pula, Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ada menyebutkan perkara ini di dalam kitabnya, Tuhfah al-Muhtaj ‘ala Syarh al-Minhaj, katanya:

Ertinya:

“Dan tidak disunatkan baginya (perempuan yang bersuami yang tidak melakukan ihram) berinai dengan membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi, bahkan haram melakukan salah satu daripada cara sedemikian bagi perempuan yang tidak bersuami dan bagi isteri yang tidak mendapat keizinan suaminya.”

    Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa hukum berinai dengan membuat ukiran bukanlah cara yang disunatkan, bahkan perbuatan itu haram dilakukan bagi perempuan yang tidak bersuami dan juga bagi perempuan yang sudah berkahwin yang tidak mendapat keizinan suaminya. Namun jika suami mengizinkannya, makruh jika isteri melakukan yang sedemikian itu.


     Selain daripada membuat ukiran, berinai dengan warna hitam, berinai di hujung-hujung jari dan berinai dengan memerahkan pipi juga merupakan cara berinai yang tidak dibenarkan oleh syarak.Walau bagaimanapun menurut Ibnu Rif‘ah Rahimahullah, apa yang dimaksudkan dengan berinai di hujung-hujung jari yang diharamkan itu adalah menginai hujung-hujung jari dengan inai yang berwarna merah dan dicampur dengan yang berwarna hitam.


    Jika menginainya hanya dengan inai yang berwarna merah, maka yang sedemikian adalah dibolehkan. Begitu juga dibolehkan ukiran yang dibuat dengan inai (warna merah) sahaja menurut Ibn Qasim al- ‘Abbadi Rahimahullah.


    Kesimpulannya, Islam tidaklah melarang umatnya untuk berhias selama mana berhias itu selari dengan apa yang disyariatkan syara‘. Termasuk dalam hal inai, Islam telah memberikan garis panduan tertentu mengenai cara berinai seperti larangan berinai dengan warna hitam dan waktu yang dibolehkan untuk berinai seperti sunat bagi perempuan berinai ketika berihram.



Nota Kaki Cinta Agung:
*Sumber asal:jomfaham.blogspot.com

Saturday, July 10, 2010

Soal Hati 15: Kisah Lebah Dan Lalat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. Alhamdulillah, sekali lagi kita bertemu dalam blog ini untuk berkongsi ilmu dan maklumat. Moga mendapat manfaat dan kebaikan daripadanya, insyaAllahu Ta’ala.

Perbandingan lebat dan lalat seperti orang mukmin dan orang munafik. Kebanyakan sifat yang ada pada lebah ada pada diri orang mukmin. Manakala sifat yang ada pada lalat ada pada diri orang munafik. Apabila kita melihat kepada lebah dan lalat, subhanallah tiada perbezaan  antara kedua. Kedua-duanya mempunyai rupa yang hampir sama, boleh terbang, dan berada di taman dan ladang yang sama. Tetapi,perbezaannya pada sifat sebagai contoh manusia ada yang mukmin dan ada yang munafik walaupun berada di tempat yang sama.
Sifat lebah menyerupai sifat orang mukmin manakala sifat lalat menyerupai sifat munafik. Mari kita perhatikan;

Pertama, lebah dan lalat apabila kedua-duanya memasuki taman ke mana tempat yang mereka tuju? Lebah pastinya akan mendapatkan bunga-bungaan tetapi lalat akan hinggap di tempat yang kotor.

Yang kedua, makanan lebah daripada madu-madu bunga manakala lalat pula daripada najis dan kotoran.

Ketiga, lebah menyukai  amal jamai’ atau kerja berkumpulan manakala lalat suka membuat kerja seorang diri.

Keempat, lebah mempunyai wala kepada ketuanya tetapi lalat tidak mempunyai ketua untuk diikut kerana mereka hidup secara individu. Orang mukmin mempunyai wala kepada Allah, Rasul, dan orang-orang soleh manakala orang munafik hidup sendiri tanpa ketaatan kepada sesiapa.

Kelima, lebah antara sifatnya menghasilkan madu manakala lalat menghasilkan kotoran. Orang mukmin apabila menghadiri majlis ilmu mereka akan menyampaikan kepada orang lain ilmu yang dipelajari tetapi munafik apabila mendengar suatu perkara buruk, mereka akan ‘jaja’ perkara itu kepada orang lain.

Keenam, lebah menghasilkan ubat dan kesembuhan manakala lalat hanya memindahkan penyakit . Orang mukmin apabila berada di suatu majlis dan mendengar perkara kebaikan, mereka akan sampaikan kebaikan itu kepada orang lain. Tetapi, orang munafik  hanya menimbulkan permusuhan antara manusia.
Demikianlah perbandingan yang boleh dibuat antara orang mukmin dan orang munafik. Wallahu alam….

Nota Kaki Cinta Agung:
*…(^^)…
*Pulau Musang, K.Terengganu
 Sabtu, 9.51 a.m

Wednesday, June 9, 2010

Selingan: Terima Kasih Imam Al Ghazali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung Cinta Agung. Semoga dalam keadaan sihat dan taufiq Allah hendaknya. InsyaAllah, artikel pada kali ini saya petik daripada blog jomfaham.blogspot.com di bawah tajuk Terima Kasih Imam Al-Ghazali r.a. Selamat membaca....

Hujjatul Islam Imam al Ghazali telah meninggalkan banyak sumbangan kepada umat Islam bahkan kitabnya diteliti oleh ulamak-ulamak Islam. Di dalam mengkaji persoalan jiwa dan bagaimana cara penyelesaiannya telah dibahas. Ilmunya juga telah dijadikan rujukan oleh ahli psikologi dan secara tidak langsung telah mengangkat dirinya antara ahli psikologi yang hebat di dalam bidang ilmu jiwa.

Terima kasih Imam al Ghazali kerana menyampaikan ilmu. Sekurang-kurangnya diri ini tahu tidak bergantung harap kepada psikologi barat yang atheis, menggunakan haiwan untuk mengenal sikap manusia, dan menilai kepada graf untuk menentukan manusia yang normal dan abnormal. Lalu jadilah manusia itu dihukum melalui soalan-soalan objektif, jawapan yang diberi setelah menilai melalui lukisan dan gambar. Sedangkan hasil penilaian yang didapati jauh dari hakikat personaliti individu yang sebenar.
Persoalan dari Imam al Ghazali untuk diri kita menjawabnya :

1. Mengapa anda mengabaikan suruhan ALLah?

2. Sekiranya anda beriman dengan Hari Akhirat, mengapa tidak bersedia membekalkan diri ke sana? malah anda tukarkan Akhirat dengan dunia?

3. Teliti baik-baik dan cari sebab-sebab dan di manakah puncanya yang menjadikan anda memendamkan kufur di lubuk jiwa?

Kufur di jiwa menurut beliau adalah sikap berani melakukan apa sahaja(kekufuran) dengan terang-terangan. Walaupun tidak terang-terangan mengisytiharkan diri kufur kepada masyarakat. Tetapi individu itu bertopengkan iman dan pura-pura hormat kepada hukum syarak. Mengaku peraturan ALlah adalah yang paling benar, tetapi berat melaksanakannya..

ALLahu ALLah.. Ya ALlah, rahmati para ulamak yang ikhlas menyampaikan ilmunya. Sehingga kini dikenang orang, ilmu yang diberikan menjadi penyejuk jiwa dan bergemerlapan sepanjang zaman..Aminnn
Sumber rujukan :

1. Yatimah Sarmani, Mohd Tajudin Ninggal, Teori Kaunseling Al Ghazali, 2008, Pts Publications, Selangor

2. Shaleh Ahmad Asy Syami, Biografi Imam Al Ghazali, Hujjatul Islam dan Pembaru Kurun Ke 5, Cet Pertama 2004, Jasmin Enterprise, Kuala Lumpur

Nota Kaki Cinta Agung:

Tuesday, June 8, 2010

Selingan: Qunut

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat. Semoga di dalam kesihatan dan rahmat Allah hendaknya. Sudah hampir seminggu berlakunya peristiwa berdarah ke atas konvoi bantuan Gaza, Mavy Marmara yang menyebabkan 9 orang terbunuh. Tindakan Israel laknatullah itu membuka mata masyarakat dunia akan kebiadapan mereka. Semua pihak mengecam tindakan itu dan pelbagai usul dibentangkan untuk mengheret 'samseng' itu ke muka pengadilan. Dalam kesibukan berdemontrasi, jangan kita lupa akan isu-isu 'panas' yang sedang berlaku dalam negara kita seperti isu lesen judi dan sebagainya. 

Pada kali ini, saya akan memaparkan satu artikel berkaitan Qunut. Semoga Allah memberi kefahaman kita berkaitan persoalan agama kita dan memberi ganjaran kepada penulis asal artikel ini...Amin .

Soalan : Adakah Qunut Solat Subuh dilakukan oleh Rasulullah ? Dan taraf hadith yang menyatakan demikian semuanya adalah dhoief sebagaimana yang dituduh oleh golongan tertentu ? 

Jawapan :
Hukum membaca Doa Qunut di dalam Mazhab Syafie adalah Sunat Ab'adh. Manakala terdapat banyak hadith sohih yang menunjukkan bahawa RasuluLlah membaca Doa Qunut pada waktu Solat Subuh antaranya : 
Al Imam Bukhari (956) dan Muslim (677) meriwayatkan daripada Anas radiyaLlahu 'anhu :
"Dia telah ditanya adakah Nabi membaca qunut pada Solat Subuh ? Jawabnya : Ya, kemudian ditanya lagi. Adakah qunut itu sebelum rukuk ? Jawabnya : Selepas sedikit daripada rukuk.

Rujukan : Dr Mustofa Al Khin, Dr Mustofa al Bugho, Ali Asy Syarbaji, Al Feqh Al Manhaji

Sekiranya terdapat golongan yang mengatakan bahawa doa qunut hanya dibaca ketika berlaku musibah/bencana. Maka jawabnya : ketahuilah bahawa umat Islam ketika ini, bahkan dari dahulu lagi sudah ditimpa musibah/bencana. Umat Islam di Indonesia, Thailand, Palestin, Somalia, Bosnia di seluruh dunia yang dizalimi. Penyakit, bencana alam dan banyak lagi semuanya itu dinamakan sebagai musibah. Perpecahan umat Islam itu sendiri adalah musibah.

Disebutkan oleh Imam An Nawawi (Mujtahid Fatwa dalam Mazhab Syafie) dalam kitab Al-Majmu' syarah Muhazzab jilid 3 hlm.504, maksudnya:
"Dlm mazhab Syafie disunatkan qunut pada solat subuh sama ada ketika turun bencana atau tidak. Dgn hukum inilah berpegang majoriti ulamak salaf dan orang2 yg sesudah mereka atau kebanyakan dari mereka. Dan diantara yg berpendapat demikian adalah Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Usman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ibnu Abbas, Barra' bin Azib, semoga Allah meredhai mereka semua. Ini diriwayatkan oleh Baihaqi dgn sanad2 yg sahih. Ramai orang yg termasuk tabi'in dan yg sesudah mereka berpendapat demikian. Inilah juga mazhab Ibnu Abi Laila, Hasan, Ibnu Salah, Malik dan Daud."

Tersebut dlm kitab Al-Um jilid 1 hlm.205 bahawa Imam Syafie berkata maksudnya:
"Tak ada qunut dlm sembahyang lima waktu kecuali sembahyang subuh. Kecuali jika terjadi bencana maka boleh qunut pada semua sembahyang jika imam menyukai"

Tersebut dlm kitab Al-Mahalli jilid 1 hlm.157, berkata Imam Jalaluddin Al-Mahalli, maksudnya:
"Disunatkan qunut pada iktidal rakaat kedua drpd solat subuh dgn doa, Allahumahdini hingga akhirnya"
Di bawah ini disediakan artikel mengenai para Huffaz (ahli hadith yang mencapai taraf HAFIZ) yang mensahihkan hadith bahawa Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam membaca Doa Qunut terus menerus dalam Solat Subuh sehingga baginda wafat.
Oleh : Thoriq
“Sesungguhnya Nabi shallallahu alaihi wasalam melakukan qunut selama satu bulan, melakukan doa untuk para sahabat beliau di Bi’r Ma’unah, lalu beliau meninggalkannya, akan tetapi qunut waktu shubuh, maka beliau masih melakukan hingga wafat”

Hadits ini berada dalam Syarh Al Kabir (1/151).Hadits diriwayatkan Ad Daruquthni (2/39). Ahmad dalam Musnad (3/162), Hafidz Abu Bakar Khatib, dalam At Tahqiq Ibnu Al Jauzi (1/463), Al Baihaqi dalam Sunan Kubra (2/201).
Mereka yang menshahihkan

Hafidz Ibnu Shalah:
”Hadits ini telah dihukumi shahih oleh lebih dari seorang huffadz hadits, diantaranya: Abu Abdullah bin Ali Al Balkhi, dari para imam hadits, Abu Abdullah Al Hakim, dan Abu Bakar Al Baihaqi.

(Lihat, Badr Al Munir, 3/624).

Al Hafidz Imam Nawawi mengatakan:
”Hadits ini diriwayatkan oleh jama’ah huffadz dan mereka menshahihkannya”. Lalu menyebutkan para ulama yang disebutkan Ibnu Shalah, dan mengatakan,”
Dan diriwayatkan Daruquthni melalaui beberapa jalan dengan sanad shahih
(Al Khulashah, 1/450-451).

Al Qurthubi dalam Mafham :
”Yang kuat diperintahkan oleh Rasulullah shalallhualaihi wasalam dalam qunut, diriwayatkan Daruquthni dengan isnad shahih, lalu beliau menyebut hadits itu”

(Badr Al Munir, 3/624).

Hafidz Al Hazimi dalam Nashih wa Mansukh:
”Hadits ini shahih, dan Abu Jakfar tsiqah”

(Al I’tibar, 255).

Hafidz Ibnu Hajar Al Asqalani : Setelah menyebutkan penilaian para ulama terhadap Abu Jakfar, beliau mengatakan,
“haditsnya memiliki syahid (penguat)” lalu menyebutkan hadits qunut shubuh yang diriwayatkan dari Al Hasan bin Sufyan. Ini menunjukkan bahwa beliau menilai hadits ini hasan(Talhis Khabir, 1/443). Penulis Ithaf fi Takhrij Ahadits Al ishraf menyatakan :”Ibnu Hajar menghasankan dalam Talhisnya”.

Di halaman yang sama Ibnu Hajar mengatakan:”
Hadist riwayat Al Baihaqi…dan dishahihkan Hakim dalam Kitab Al Qunut”
.
Hafidz Al Iraqi:”
Telah menshahihkan hadits ini Al Hafidz Abu Abdullah Muhammad bin Ali Al Bajili, Abu Abdullah Al Hakim dan Ad Daruquthni”

(Tharh Tatsrib,3/289).
Perawi yang Disoroti dalam Hadts ini adalah Abu Jakfar Ar Razi

Mengenai Abu Jakfar Ar Razi. Pendapat Imam Ahmad tentang Abu Jakfar, ada dua riwayat. Pertama. Diriwayatkan Hanbal dari Ahmad bin Hanmbal:”Shalih hadits” (haditsnya layak). Kedua, dari Abdullah, anaknya:”Laisa bi qawi (tidak kuat). Al Hazimi dalam Nashih wa Manshuh mengatakan: “Riwayat pertama lebih utama (Al I’tibar, 256).

Adapun penilaian Yahya bin Ma’in, ada beberapa riwayat:1, dari Isa bin Manshur, “Tsiqah”. 2, dari Ibnu Abi Maryam , “hadistnya ditulis, tapi ia sering salah”. 3, diriwayatkan Ibnu Abi Khaitsamah,”shalih”. 4, diriwayatkan oleh Mughirah,”tsiqah” dan ia salah ketika meriwayatkan dari Mughirah. Daruquthni mengatakan:”Dan hadits ini tidak diriwayatkan dari Mughirah”. 5, diriwayatkan As Saji “Shoduq wa laisa bimuttaqin, ( hafalanya tidak terlalu tepat)” Nampaknya karena periwayatan dari Yahya bin Ma’in lebih banyak ta’dilnya, maka-allahu’alam-para ulama yang menshahihkan merajihkan riwayat ta’dil.

Ali bin Al Madini: Ada dua riwayat darinya tentang Abu Jakfar. Salah satu riwayat mengatakan,”Ia seperti Musa bin Ubaidah, haditsnya bercampur, ketika meriwayatkan dari Mughirah dan yang semisalnya. Dalam riwayat yang berasal dari anak Ibnu Al Madini, Muhammad bin Utsman bin Ibnu Syaibah,”Bagi kami ia tsiqah”. Ibnu Al Mulaqqin mengatakan,”lebih utama riwayat dari anaknya (anak Ibnu Al Madini).

Muhammad Bin Abdullah Al Mushili mengatakan:”Tsiqah”. Bin Ali Al Falash mengatakan:”Shoduq, dan dia termasuk orang-orang yang jujur, tapi hafalannya kurang baik”. Abu Zur’ah mengatakan:”Syeikh yahummu katisran (banyak wahm). Abu Hatim mengatakan:”Tsiqah, shoduq, sholih hadits”. Abnu Harash:”Hafalannya tidak bagus, shoduq (jujur)”. Ibnu ‘Adi:”Dia mimiliki hadits-hadits layak, dan orang-orang meriwayatkan darinya. Kebanyakan haditsanya mustaqim (lurus), dan aku mengharap ia la ba’sa bih (tidak masalah). Muhammad bin Sa’ad:”Dia tsiqah”, ketika di Baghdad para ulama mendengar darinya”. Hakim dalam Al Mustadrak:”Bukhari dan Muslim menghindarinya, dan posisinya di hadapan seluruh imam, adalah sebaik-baik keadaan”, di tempat lain ia mengatakan:”tsiqah”. Ibnu Abdi Al Barr dalam Al Istighna:”Ia (Abu Jakfar) bagi mereka (para ulama) tsiqah, alim dalam masalah tafsir Al Qur’an.. Ibnu Sahin menyebutnya dalam “Tsiqat”. Al Hazimi dalam Nasikh dan Mansukh:”Ini hadist Shahih, dan Abu Jakfar tsiqah”. Taqiyuddin Ibnu Daqiq Al Ied dalam Al Ilmam, setelah menyebutkan hadits, ia mengatakan:”Dalam isnadnya Abu Jakfar Ar Razi. Dan ia ditsiqahkan, lebih dari satu ulama. Nasai mengatakan:”Laisa bil Qawi” (ia tidak kuat hafalannya).
Kritikan untuk Ibnu Al Jauzi

Al Hafidz Ibnu Mulaqqin mengatakan:
“Adapun Ibnu Al Jauzi hanya menukil riwayat yang menjarh saja, dari Ahmad, Ibnu Al Madini Dan Yahya bin Ma’in untuk menolong madzhabya. Orang munshif tidak akan berbuat sperti ini”.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Rujukan
Badr Al Munir :Ibnu Mulaqqin (guru Ibnu Hajar), Talhis Khabir (ringkasan Badr Al Munir): Ibnu Hajar. Tharh Tasrib: Hafidz Al Iraqi, Ithaf fi Tahrij Ahadist Al Ishraf (Takhrij hadist kitab fiqih Maliki “Al Ishraf”, dalam bimbingan Syeikh Al Muhadist Nur Syaif) 


 

  

Monday, May 24, 2010

QADA DAN QADAR SERTA USAHA-DZ.CONSULTANCY

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pengunjung blog Cinta Agung. Moga kalian di dalam keadaan sihat selalu, insyaAllah. Saya diajukan soalan oleh seorang sahabat lama berkenaan dengan Qada dan Qadar serta kaitannya dengan usaha manusia. Jadi sebagai perkongsian, saya memetik satu artikel daripada internet yang bertajuk "Qada dan Qadar Serta Usaha" untuk dijadikan sebagai panduan bersama insyaAllah. Selamat membaca....(^^)


SOALAN: Dr Danial apakah maksud qada dan qadar, mubram dan muallaq. Dan apakah kaitannya dengan usaha serta ikhtiar yg kita lakukan? ( Di http://formulacemerlang.com/ )
JAWAPAN: Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari 
azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian 
seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam 
semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti 
dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang 
telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen 
perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini 
tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan 
bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga 
tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan 
telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila. 
Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang 
pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang 
lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari 
azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi 
hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. 
Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian
daripada ketetapan qada dan qadar.


Isu yang hangat diperkatakan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk 
manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di 
dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: "Imam Al-Khathabi telah berkata: 
'Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan 
manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya 
pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah 
berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku 
berhubung semua perkara..' Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan 
mempengaruhi kehendak hamba itu."


Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan 
beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: "Mengapa 
kamu mencuri?" Lelaki itu menjawab: "Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke 
atas diri saya." Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau 
terus berkata: "Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong 
tangannya." Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: "Mengapa 
hukumannya begitu berat?" Berkata Omar Al-Khattab ra: "Kamu akan dipotong 
tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah." Maksudnya, 
manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian 
daripada ketetapan qada dan qadar.


Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak 
takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan 
oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir 
makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat 
dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar 
Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia 
sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada 
Omar ra: "Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?' Omar ra menjawab: "Aku lari 
dari takdir Allah kepada takdir yang lain." (Tarikh At-Tabari)


Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia 
malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya 
sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari 
ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi 
telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.


Takdir mempunyai beberapa bahagian, pertama ialah takdir di dalam ilmu Allah 
yang azali. Ia bermaksud Allah telah mengetahui segala-galanya sebelum ia 
benar-benar berlaku. Takdir di dalam bentuk ini tidak boleh dan tidak mungkin 
berubah secara mutlak. Jika ia berubah ia mencacat kesempurnaan Allah dan hal 
ini adalah mustahil di sisi Allah. Berhubung dengan ini Allah berfirman: 
"Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi 
hamba-hambaKu." (Surah Qaaf ayat 29)


Takdir ini dikenali sebagai qada mubram atau 'takdir yang pasti' dan 
mengingkarinya akan menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama.
Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali 
juga sebagai takdir mu'allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 
Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, 
jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau 
sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah 
umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki 
neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih 
dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke 
dalam syurga. Berhubung dengan ini Allah berfirman: "Allah menghapuskan apa 
yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya 
terdapat Ummul Kitab." (Surah Ar-Ra'd ayat 39)

Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: 
"Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan." 
Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan 
amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Tiada yang 
boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali 
perbuatan yang baik." (TIrmIzi)

Justeru, Omar Al-Khattab ra pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini 
ketika bertawaf: "Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di 
dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. 
Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang 
celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam 
golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan."

Dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang 
betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai 
pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah utk 
mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah 
tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.
*Sumber: BUKU 'EMPAYAR MINDA MUSLIM' OLEH DR DANIAL BIN ZAINAL ABIDIN Di http://formulacemerlang.com/