Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera. InsyaAllah pada kali ini saya ingin membawa sahabat untuk meneliti satu ayat Al-Quran daripada surah Al-Hajj; ayat 11 dan tafsiran serta pandangan para ulama mengenai ayat tersebut.
“ Dan diantara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi; maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” Al-Hajj: 11
Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa di sana terdapat golongan yang iman dan Islamnya berada dipinggiran atau dengan kata lain “atas pagar”. Kesenangan duniawi menjadi ukuran mereka. Bila senang, mereka beriman tetapi bila susah, mereka berpaling kufur.
Ayat di atas diturunkan rentetan beberapa peristiwa yang berlaku antaranya:
1- Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa seorang lelaki datang ke Madinah memeluk agama Islam. Ia memuji agamanya apabila isterinya melahirkan anak lelaki dan kudanya berkembang biak. Jika sebaliknya, ia memcaci-maki agamanya apabila isterinya tidak melahirkan anak lelaki dan kudanya tidak berkembang biak.(Diriwayatkan Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas).
2- Dalam riwayat yang lain dinyatakan bahawa seorang Yahudi masuk Islam, lalu jadi buta dan harta bendanya habis serta anaknya mati. Dia menganggap bahawa agama Islam menyebabkan dirinya sial. Dia berkata: “Aku tidak pernah mendapat kebaikan daripada agama ini. Mataku jadi buta, harta bendaku jadi musnah dan anakku mati.”
Kedua-dua kisah ini juga disebut di dalam kitab Asbabin Nuzul karangan Imam Alwaahidi( m/s: 231) dan juga Imam Tobari di dalam kitabnya Jamii Albayan (Jilid 17; m/s: 93-94)
3- Berkata Ibnu Abbas R.A: Ayat ini ditujukan kepada Syaibah bin Rabi’ah yang Islam sebelum Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan. Setelah Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan, dia kemudiannya murtad. Perkara ini disebut oleh Abu Hayyan di dalam kitabnya Albahr: 6/355. Wallahu alam.
Kalimah ‘berada di tepi’ di dalam ayat di atas disebutkan oleh Imam Qurtubi R.A di kitab tafsirnya Al-Jaamiu Li Ahkamil Quran dalam beberapa penafsiran antaranya:
1- Mereka menyembah Allah dalam keadaan syak dan ragu. Pendapat ini dikemukakan oleh Mujahid dan lain-lain. Hakikatnya kerana mereka lemah dalam menunaikan ibadah.
2- Ada pendapat mengatakan ‘berada di tepi’ membawa maksud ‘dalam satu keadaan sahaja’ iaitu mereka menyembah Allah dalam keadaan senang sahaja.
3- Pendapat lain mengatakan kalimah ‘berada di tepi’ bermaksud ‘bersyarat’ iaitu mereka menyembah Allah dengan bersyarat. Hal ini ditujukan kepada Syaibah Bin Rabi’ah yang berkata kepada Nabi Muhammad S.A.W. : Doakan aku supaya tuhanmu memberikan aku harta, unta, kuda dan anak supaya aku beriman kepadamu dan memeluk agamamu. Lantas Rasulullah S.A.W. berdoa kepada Allah dan dimakbulkan doa tersebut. Setelah memeluk Islam, Allah Ta’ala mengujinya dengan menarik balik semua rezeki yang diberikan kepadanya. Kemudian, Syaibah murtad daripada agama Islam. Maka, Allat Ta’ala menurunkan ayat : “ Dan diantara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi..”.
4- Telah berkata Al-Hassan: Mereka adalah orang munafiq yang menyembah Allah dengan lisan dan bukannya hati mereka. Wallahu alam.
Demikianlah komentar daripada para Ulama terhadap ayat 11 daripada surah Al-Hajj ini. Semoga memberi manfaat kepada semua, insyaAllah.
Kesimpulannya, umat Islam mestilah komited dan istiqamah dalam beragama dan jadilah seperti IKAN DI AIR MASIN. Kenapa? Kerana walaupun hidup di tempat yang masin tetapi rasa ikan tersebut tetap tawar. Orang Islam yang mempunyai jati diri yang teguh dan kental tidak akan terpengaruh dengan suasana disekelilingnya. Sebarang teguran bolehlah disalurkan melalui jalan yang betul.
Wassalam
Nota Kaki Cinta Agung:
* Al-Quran (Al-Hajj: 11)
* Tafsir Imam Qurtubi, Al-Jamiu Li Ahkamil Quran.
*Fungsi insang yang terdapat pada ikan adalah untuk menapis kandungan garam yang terdapat di dalam air laut. Ini membolehkan ikan-ikan untuk terus hidup di kawasan laut yang masin. Wallahu alam.
No comments:
Post a Comment