Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Assalamualaikum warahmatullah kepada semua pengunjung blog Cinta Agung. Moga dalam taufiq dan redho Allah hendaknya. InsyaAllah, pada entri kali ini, saya akan memuat satu kisah kehidupan Sayyidah Ahlul Jannah, Fatimah Binti Muhammad S.A.W., anak perempuan yang disayangi oleh Rasulullah dan isteri kepada Sayyidina Ali Bin Abi Tolib R.A. Kelebihan Sayyidah Fatimah Az-Zahra ada disebutkan di dalam beberapa hadis Rasulullah S.A.W. antaranya beliau merupakan penghulu wanita di dalam Syurga.
Kalau hendak disebutkan riwayat hidup Fatimah Az-Zahra R.A mungkin mengambil masa yang lama. Di sini, saya akan sediakan satu kisah buat renungan bersama mengenai ketabahan Penghulu Wanita Syurga ini dalam melalui kehidupan sehari-hari. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. dan ahli keluarga Baginda seluruhnya.
Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W. pergi menziarahi anak perempuan kesayangannya. Kelihatan Sayyidah Fatimah R.A. dalam keadaan letih dan lesu kerana bebanan tugas sebagai seorang isteri. Beliau mengadu kepada Ayahandanya akan keperitan hidup yang dilalui dan meminta untuk disediakan pembantu untuk meringankan hidupnya.
Setelah mendengar keluhan anaknya, Baginda S.A.W. mengajarkan kepadanya satu amalan yang boleh meringankan bebanan hidupnya. Baginda menyuruh anaknya membaca satu zikir yang bermaksud:
“ Ya Hayyu, ya Qayyum, dengan rahmatMu aku meminta pertolongan. Perbaikilah bagiku akan urusanku seluruhnya dan jangan Engkau serahkan aku kepada nafsuku walau sekelip mata”
Begitulah satu amalan yang boleh diambil faedahnya untuk meringankan segala urusan kehidupan. InsyaAllah, setiap urusan itu walaupun sulit tetapi kalau kena caranya pasti akan menjadi ringan dan mudah. Antara cara menyelesaikan suatu kesulitan itu adalah dengan mengadu kepada Allah Ta’ala. Itulah sebaik-sebaik tempat pergantungan. Wallahu alam.
Nota Kaki Cinta Agung:
*Kisah di atas terdapat di dalam hadis Rasulullah tetapi saya mengambil mafhumnya secara ringkas sahaja. Kalau ada kesilapan dalam kisah di atas, harap diperbetulkan.
*Doa tersebut boleh diamalkan bila-bila masa terutamanya pada setiap kali solat fardu. Afwan!!!
No comments:
Post a Comment