Tuesday, November 10, 2009

Soal Hati 10: Kalam Terakhir Dari Bumi Ambia'

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Cinta Agung ini, semoga kalian semua dirahmati oleh Allah Ta'ala dan diberikan kesihatan untuk meneruskan perjuangan hidup ini.Hari ini merupakan hari-hari terakhir saya di bumi Ambia' ini dan artikel ini adalah artikel saya yang terakhir di sini.Ala kulli hal, rasa syukur dipanjatkan kerana masih diberikan peluang untuk mencoret sepatah dua kata di dalam laman maya ini.InsyaAllah, esok saya akan bertolak pulang ke tanahair setelah 4 tahun belajar, diajar di Universiti Al-Azhar, cawangan Damanhur.Masa berlalu begitu cepat.Rasanya macam semalam baru sampai, sedar-sedar nak balik dah.Sedih rasanya hendak tinggalkan Mesir ini khususnya bumi Damanhur.Yang datang pastinya akan pergi.Itu Sunnatullah...tiada yang kekal illa Wajhahu.

At-Taubah(Ayat 122)
Apabila diimbas kembali, teringat saya ketika mula-mula sampai di Mesir di mana kami mahasiswa baru disambut oleh abang-abang lama.Dalam perjalanan ke kediaman mahasiswa Malaysia di Hayyu Asyier, ayat daripada Surah At-Taubah ditalkinkan kepada kami.Bunyinya begini:

"Dan tiada patut orang-orang beriman keluar semuanya (ke medan perang).Mengapakah tiada keluar sebahagian diantara tiap-tiap golongan mereka, supaya mereka yang tinggal memahami agama dan memberi peringatan kepada kaumnya, bila mereka kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka itu waspada(takut)"
At-Taubah:122
Apabila dibaca...dihayati ayat ini, terasa satu tanggungjawab bagi mereka yang mengaji ilmu agama.Tanggungjawab untuk menyedarkan saudara seagama, tanggungjawab membawa dan menyebarkan risalah Nubuwwah yang mulia.Terasa berat tanggungjawab yang akan dipikul.Ya Allah, bagilah kekuatan kepada aku!Walaupun sudah menamatkan pengajian, ini bukanlah bermakna medan menuntut ilmu sudah tamat.Ilmu itu mestilah senantiasa dicari.Sekarang merupakan proses untuk mempraktikkan ilmu yang ada setelah lama berteori.Mempraktikkan ayat At-Taubah setelah acap kali dibaca.Mendengar pengalaman abang-abang lama yang pulang ke Malaysia membuatkan hati ini sedikit takut.Takut jika tidak mampu berbakti.

Dunia Baru
Alam mahasiswa merupakan suatu alam yang cukup mudah.Hanya perlu menumpukan kepada pelajaran sahaja.Tidak perlu runsing untuk fikirkan banyak masalah.Bagi yang berpersatuan, ia menjadi nilai tambah kepada mereka di mana organisasi mengajar mereka untuk bersosial dan bermasyarakat.Nun di sana, 'dunia baru' sedang menanti mereka yang telah menamatkan pengajian.Dunia kerjaya yang pastinya penuh cabaran.Bekerja sebagai guru cukup memberi pengalaman kepada saya.Bagaimana saya perlu mengawal situasi kelas supaya tidak bising.Letih tetapi seronok!

Apa Yang Akan Dirindui?
Damanhur, tempat tinggal saya selama berada di sini merupakan satu muhafazah bagi negara Mesir.Damanhur merupakan kawasan pertanian utama seperti padi, dan gandum.Di sini, terdapat satu cawangan Universiti Al-Azhar As-Syarif yang mengambil masa 30-40 minit(berjalan kaki) untuk ke sana dari rumah saya.Jika menaiki bas, masa yang diambil hanya 15 minit sahaja.Untuk menaiki bas di sini, tidaklah perlu sentiasa berebut macam Kaherah.Senang sedikit.Tempat pertama semasa mula-mula saya sampai adalah Dewan Utama Darul Huda yang merupakan markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur.HUDA merupakan akronim daripada Himpunan Ulama'-ulama' Damanhur.Banyak program diadakan di sini sama ada dianjurkan oleh PMRAM atau DPM sendiri.Kebanyakkan masa saya dihabiskan di sini sama ada untuk berprogram atau ziarah penghuni markaz ini.
Di sini, saya tinggal di Syuq Syria berhampiran dengan landasan kereta api bersama-sama dengan seorang lagi teman.Bunyi bising kereta api sudah menjadi perkara biasa kepada saya.Kadang-kadang, ia menjadi pemecah kesunyian waktu bersendirian(^^).Selang 10 minit, pasti akan ada kereta api yang lalu.Kalau tidak silap, kereta api merupakan pengangkutan kedua terbesar selepas kenderaan awam di Mesir.Bayaran LE 4.50 sudah cukup berbaloi untuk berulang-alik dari Kaherah.Walaupun tinggal dekat dengan landasan kereta api, jadual kereta api masih belum mampu dihafaz.Inilah kenangan yang pasti saya rindui dan mampu saya kongsi kepada sahabat-sahabat.
Rasanya, cukuplah setakat ini kalam ini berbicara.Kepada sahabat-sahabat yang masih berada di sini, teruskan perjuangan kalian dan jangan putus asa doakan saya dalam kebaikan.Apa yang baik datang dari Allah dan apa yang buruk itu datang dari kelemahan dan dosa saya sendiri.Wallahu 'alam.
Wassalam....(^^)v

Nota Kaki Cinta Agung:
*Cyber Cafe Dream, Kubri Alwi, Damanhur.PC No.:7
*Maafkan silap salah, halalkan makan minum dan perbuatan saya yang kurang disenangi.Doakan saya selamat tiba di Malaysia.InsyaAllah, kita berjumpa lagi di Malaysia
*Mood:Sad!!!

1 comment:

Anonymous said...

Your blog keeps getting better and better! Your older articles are not as good as newer ones you have a lot more creativity and originality now keep it up!