Thursday, September 18, 2008

Komentar Hadith Perpecahan Umat Islam Kepada 73 Kumpulan

Bismillahirrahman ar-rahim…
InsyaAllah, kali ini penulis akan membentang satu sub tajuk daripada kitab Dr.Yusof AlQaradawi iaitu “Sohwatul Islamiyyah Baina Ikhtilafil Mashru’ wa Tafarruqil Mazmum”. Untuk makluman para pembaca sekalian, risalah yang disediakan ini merupakan hasil terjemahan penulis dan penulis cuba meringkaskan sebahagian tulisan ini di atas sebab-sebab tertentu.Mudah-mudahan terjemahan boleh memberi sedikit manfaat ilmu kepada semua.Segala teguran amat dialu-alukan sebagai muhasabah untuk diri penulis.Penulis memohon ampun kepada Allah Ta’ala sekiranya penterjemahan ini terdapat kesilapan yang berkaitan ayat-ayat Al-Quran dan al-Hadith kerana bimbangnya penulis akan ancaman Nabi S.A.W. di dalam satu hadith yang bertaraf Mutawattir, sabda Baginda: “Barangsiapa yang berbohong atas namaku secara sengaja, maka sediakanlah baginya neraka sebagai tempat duduk.”Semoga penterjemahan ini menjadi amal soleh yang memberatkan timbangan di hari Kiamat nanti.Amin…

Hadith tentang berpecahnya umat kepada beberapa kumpulan lebih daripada70 kumpulan semuanya masuk neraka kecuali satu kumpulan yang lebih dikenali sebagai “Firqatun Naajiah”.Banyak perbincangan berkenaan hadith ini dikalangan ulama’ dari 2 aspek iaitu; dari aspek thabitnya dan dari aspek pendalilannya.

1-Pertama sekali, mestilah diketahui bahawa hadith berkenaan tidak terdapat di dalam dua kitab hadith yang masyhur iaitu; kitab Sohih Bukhori dan Sohih Muslim bahkan bukannya tajuk yang penting di dalam kitab tersebut.Ini menunjukkan bahawa hadith tesebut tidak menepati syarat yang dikehendaki oleh kedua-dua kitab hadith tersebut.

2-Kedua, di dalam sesetengah riwayat, ada hadith yang tidak menyebut “sesungguhnya semua kumpulan ke dalam neraka kecuali satu kumpulan” tetapi sebaliknya hanya menyebut tentang perpecahan dan bilangan kumpulan sahaja.hadith tersebut adalah hadith Abi Hurairah R.A. yang diriwayatkan Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim Rahimakumullah Ajmain.Hadith tersebut berbunyi:
“Telah berpecah orang Yahudi kepada 71 atau 72 kumpulan, berpecah orang Nasrani kepada 71 atau 72 kumpulan dan berpecah umatku kepada 73 kumpulan.”

Hadith tersebut yang dikatakan bertaraf Hasan Sohih oleh Imam Tirmizi dan disohihkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim diperkenalkan oleh Muhammad ibn ‘Amru ibn ‘Alqomah ibn Waqaas Al-Laithi.Bagi mereka yang mengkaji dan membaca riwayat hidupnya di dalam kitab “Tahzib at-Tahzib” diketahui bahawa beliau amat lemah daya ingatan untuk menghafaz.Sebagaimana dimaklumi bahawa Imam At-Tirmizi, Ibn Hibban dan Al-Hakim diantara golongan yang bersikap terbuka dalam mensohihkan sesuatu hadith.

Di samping itu, hadith ini yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah R.A tiada tambahan lafaz “ Semua kumpulan di dalam Neraka kecuali satu kumpulan.”Hadith dengan tambahan lafaz tersebut diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat iaitu; Abdullah ibn ‘Amr, Muawiyah, ‘Auf ibn Malik, Anas.Kesemuanya dhoif pada isnad atau sandaran tetapi dikuatkan dengan disandarkan hadith tersebut antara satu sama lain.

Di sana terdapat pelbagai kemusykilan pada meletakkan hukum berpecah umat Islam lebih banyak daripada Yahudi dan Nasrani dari satu sudut iaitu dengan mengkategorikan semua kumpulan ini sesat dan berada di dalam Neraka kecuali satu kumpulan yang selamat.Ini akan membawa kepada setiap kumpulan akan mendakwa kumpulan merekalah yang selamat dan selain mereka kumpulan yang sesat lantas menyebabkan keretakkan ummah dan fitnah antara satu sama lain.Ini akan melemahkan ummah dan dalam masa yang sama pihak musuh akan mendapatkan faedah daripada krisis ini.

Al-‘alamah Ibn Al-Wazir mengambil sikap dengan menjauhi hadith ini khususnya pada tambahan hadith kerana ia akan menyebabkan kepada suatu golongan akan menyesatkan golongan lain bahkan lebih teruk lagi mengkafirkan antara satu sama lain.Berkata Ibn Al-Wazir Rahimahumullah di dalam kitabnya “Al-‘Awaasim Wal Qawaasim” ketika menyebut mengenai kelebihan umat ini dan menjauhi diri dari mengkafirkan orang lain, beliau menyebut; “Jauhilah diri kamu daripada penipuan dakwaan “Kesemuanya sesat dan binasa kecuali satu” kerana ia adalah penambahan yang salah, tidak sesuai dengan kaedah dan mungkin muslihat musuh”.Beliau turut menukilkan kata-kata Ibnu Hazm, beliau menyatakan bahawa penambahan hadith tersebut adalah direka-reka dan bukannya bertaraf mauquf dan marfu’ kepada Rasulullah S.A.W.Begitu juga hadith-hadith berkenaan celaan terhadap Qadiriyyah, Murjiah dan Asy’ariyyah, semuanya lemah.

3-Ketiga, terdapat sekian ‘ulama terdahulu dan kini yang menolak hadith itu dari segi sanadnya, dan sebahagiannya menolak dari sudut matan dan maknanya.Ini dilakukan oleh Abu Muhammad Ibn Hazm, beliau menolak golongan yang mengkafirkan orang lain hanya disebabkan perselisihan didalam perkara ‘i’tiqodiyyat’ iaitu kepercayaan.Di sana telah disebutkan hadith yang digunakan untuk mengkafirkan orang yang mana kesemuanya disandarkan kepada Rasulullah S.A.W. iaitu:
a) Qodiriyyah dan Murjiah adalah Majusi umat ini
b) Berpecah umat Islam kepada 70 lebih kumpulan, kesemuanya di dalam Neraka kecuali satu kumpulan di dalam Syurga.

Berkata Abu Muhammad; “Kedua-dua hadith ini tidak sah dari sudut isnad yakni sandaran.Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan hujah bagi orang yang mengatakan khobar wahid ,macam mana pula bagi orang yang tidak berkata demikian?”

Dan telah berkata Al-hafiz Ibnu Kathir ketika menafsirkan firman Allah Ta’ala di dalam surah Al-An’am ayat 65; “…atau Dia menjadikan kamu bergolong-golongan sehingga sebahagian kamu merasa kesakitan daripada yang lain…”.Dan turut kedapatan hadith yang diriwayatkan dari banyak jalan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Dan akan berpecah umat ini kepada tujuh puluh tiga kumpulan, semuanya di dalam Neraka kecuali satu kumpulan.”Tidak ada penambahan pada hadith ini maka tidak disifatkan taraf hadith samaada Sohih ataupun Hasan boleh jadi beliau memanjangkan perbahasan dalam penafsiran ayat dengan menyebut hadith-hadith dan al-athar yang bersesuaian dengannya.

Imam Syaukani Rahimahumullah telah menyebut mengenai kata-kata Ibnu Kathir pada hadith tersebut kemudian berkata; “Aku telah katakan:Adapun penambahan “semuanya di dalam Neraka kecuali satu” telah didhoifkan oleh sekumpulan besar ‘ulama hadith.Bahkan Ibnu Hazm mengatakan ianya adalah maudu’ yakni direka-reka.

Walaupun di sana terdapat sebahagian ‘ulama yang menghasankan hadith tersebut seperti Al-hafiz Ibnu Hajar atau disohihkan sebahagian daripada mereka seperti Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahumullah dengan pelbagai jalan pengambilan hadith tidak bermakna bahawa perpecahan ini (dalam bentuk dan jumlah tersebut sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith) sesuatu yang cukup kuat dan berterusan hingga hari Kiamat.Tetapi cukuplah dengan membenarkan hadith tersebut bahawa terdapat perpecahan pada satu masa dari masa-masa tertentu.Kadang-kadang terdapat sebahagian kumpulan ini yang dikalahkan dengan kebenaran kemudian ia menyimpang dan tidak kembali lagi.Begitulah situasi yang berlaku terhadap kebanyakan kumpulan-kumpulan yang sesat.Musnah dan lenyap begitu sahaja.

Kemudian hadith tersebut menunjukkan bahawa kesemua kumpulan-kumpulan ini sebahagian daripada umat Nabi S.A.W. berdalilkan sabda Baginda; “Berpecah umatku” dan bermaksud kumpulan yang tidak keluar dari ajaran dan tidak berpisah daripada jasad umat Islam.Manakala maksud “ di dalam Neraka” tidak bermakna kekal di dalamnya sebagaimana orang-orang kafir, tetapi masuk sebagai orang yang berdosa yang beriman.Kadang-kadang mereka diberi syafaat daripada Nabi-nabi ‘Alaihimussalam atau para Malaikat atau orang beriman dan kadang-kadang terdapat kebaikan yang mereka telah lakukan atau musibah yang telah menimpa ke atas mereka yang menyebabkan mereka terlepas daripada azab.Tidak kurang juga mereka yang diampunkan oleh Allah Ta’ala lebih-lebih lagi apabila mereka berusaha untuk mencari kebenaran tetapi tesesat jalan.Sesungguhnya Allah Ta’ala telah melepaskan umat ini dengan sebab salah, kelupaan dan paksaan.Wallahu ‘alam.

Selesai terjemah:
Selasa, Jam 1.30 Pagi, 17 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 17 September 2008 Masihi
Syari’ Syuq Syria, Buhairoh, Damanhur,
Mesir.

Rujukan:
Kitab :Sohwatul Islamiyyah Baina Ikhtilafil Mashru’ wa Tafarruqil Mazmum
Karangan :Dr.Yusof AlQaradawi
Keluaran :Maktabah Darul Syuruq,Mesir.

1 comment:

Mr Priceless said...

Salam,

Scr jujurnya sy sering mendengar hadis ini.. Sehingga menimbukan kekeliruan pada saya mencari satu golongan itu. Saya bergaul dgn ramai orang namun semua mengatakan mereka adalah golongan itu. Sekrgnya slps membaca artikel ini. memberi sy gambaran yg sedikit jelas ttg hal ni...