Showing posts with label Coretan. Show all posts
Showing posts with label Coretan. Show all posts

Wednesday, October 31, 2012

Soal Hati 17: Berjiwa Besar Dengan Memaafkan Orang Lain

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah kepada sahabat-sahabat pengunjung blog Cinta Agung ini, semoga dalam 'afiat was salamah. Sudah lama jari-jemari dan otak tidak di'asah' dengan menulis. Hendak mula menulis balik terasa kekok. Baiklah, mari kita mulakan dengan BISMILLAH...

Sikap Pemaaf

Apabila bergelar manusia, maka mereka tidak ada sifat maksum sebagaimana para Anbia' dan Mursalin. Pasti di sana ada kesilapan dan kekhilafan yang dilakukan sama ada kesalahan terhadap Allah Ta'ala (dengan meninggalkan suruhanNya atau melakukan laranganNya) ataupun sesama manusia. Apabila kesalahan atau istilah mudahnya "dosa" itu dilakukan terhadap Allah, maka manusia diseru untuk bertaubat dan pintu taubat ini sentiasa terbuka selagi manusia tidak meninggal dunia. Manakala, jika kesalahan itu terhadap manusia lain maka mereka dituntut untuk mengaku kesilapan tersebut dan meminta maaf. 

Bagi 'mangsa', memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya mungkin agak sukar tapi sebenar sifat pemaaf itu dituntut oleh Islam bahkan merupakan sikap mulia dan menunjukkan seseorang itu berjiwa besar. Dalam buku, Forgive for Good [Maafkanlah demi Kebaikan], Dr. Frederic Luskin menjelaskan sifat pemaaf sebagai resepi yang telah terbukti bagi kesihatan dan kebahagiaan.
Buku tersebut memaparkan bagaimana sifat pemaaf mewujudkkan keadaan baik dalam fikiran seperti harapan, kesabaran dan percaya diri dengan mengurangi kemarahan, penderitaan, lemah semangat dan stres. Menurut Dr. Luskin, kemarahan yang dipelihara menyebabkan seseorang itu nampak berkarisma.

Kelebihan Bersikap Pemaaf

Di dalam Al-quran, terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang sifat yang mulia ini. Antaranya ialah;

1-Mendapat keampunan daripada Allah SWT.

وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ
"..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)
2-Mendapat redha Allah SWT.
فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
"...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah(atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim". (Asy-Syura [42] : 40).
Allahu 'alam 

Nota Kaki Cinta Agung:
*Hujjatul Islam, Imam Ghazali r.a memberikan tips/panduan untuk memadamkan api kemarahan iaitu;
1-Apabila marah hendaklah menyebut lafaz Ta'awuz "أعوذ بااله من الشيطان الرجيم"
2-Apabila marah itu muncul ketika berdiri, maka hendaklah tukar posisi ketika itu kepada duduk, jika duduk hendaklah berbaring.
3-Orang sedang marah digalakkan berwuduk kerana marah itu sifatnya daripadanya api maka sejukkanlah ia dengan air wuduk.

*Lafaz minta maaf yang mungkin kita biasa gunakan:
-Maaf deh (Melayu-Terengganu)
-I'm sorry (Inggeris)
-أنا آسف (Arab)
-Gomen'nasai/ごめんなさい (Jepun) @@









Wednesday, June 15, 2011

Marah Itu Mudah Tapi Sabar Itu Indah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

“Fasobrun jamil((فصبر جميل”, inilah lafaz yang termaktub di dalam Al-quran, malah di sana terdapat lebih daripada 90 ayat-ayat yang menyuruh manusia supaya bersabar dan ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang bersabar. Sabar merupakan asbab kepada kecintaan Allah kepada hambanya sehingga diberikan syurga sebagai ‘hadiah’ dek kerana kesabaran itu. Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, sabar ialah salah satu daripada tangga-tangga ibadat bahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung.

Apa Itu Sabar???

Sabar dari sudut istilah, bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, menahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah. Dalam tasawuf, sabar diistilahkan sebagai tahan menempuh sesuatu yang sukar.

Ayat-ayat Al-quran dan hadis berkaitan SABAR

1-Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaanNya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka(kerana)mengharapkan perhiasan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya kerana keadaannya itu melewati batas.(Al-Kahfi, 18:28).

2-Apabila kita berbicara tentang sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, merekaitulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.”(Al-Baqarah, 2:177). 

3-Rasulullah ‘Alaihi Solatu Wassalam bersabda yang bermaksud: “Sabar itu sebahagian daripada iman.”(Riwayat Al-Baihaqi). Ertinya, tanpa iman tidak akan ada kesabaran.

4-Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari.”(Riwayat Muslim).

Allah Yang Maha Sabar

Allah itu bersifat dengan sifat sabar. Dia bersabar dengan karenah dan perbuatan hambaNya. Justeru, antara nama Allah yang mulia itu adalah as-Sabur(Zat Yang Maha Sabar). Rasulullah S.A.W.bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan lebih sabar daripada Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan member mereka rezeki.”(Riwayat Ahmad daripada Abi Musa al-Ash’ari r.a)
 
Bersambung…bimasyiatillah

Wednesday, February 2, 2011

Dosa Kahwin Dua

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

InsyaAllah, kali ini saya akan bawakan satu kisah yang dikongsikan oleh sahabat saya diruangan Facebook. Mudah-mudahan, kita boleh mengambil iktibar daripada kisah tersebut.


Seorang lelaki telah berkahwin dua, sedangkan undang-undang negaranya mengharamkan poligami. Lalu pihak berkuasa datang untuk menangkapnya setelah menerima aduan daripada masyarakat setempat.

Sebelum ditangkap, berlaku dialog antara pihak berkuasa dengan si lelaki.

Pihak berkuasa: Tidakkah kamu tahu bahawa undang-undang melarang poligami?
Mereka bertanya si lelaki dengan penuh kehairanan.

Si lelaki: Ya, aku tahu.

Pihak berkuasa: Kalau begitu, mengapa kamu berkahwin juga dengan wanita ini? Ini satu kesalahan!

Si lelaki: Ini bukan isteri aku.. ini kekasih aku.

Pihak berkuasa: Oh... maafkan kami! Kami sangka dia isteri kedua kamu.. maafkan kami ya!

Lalu, pihak berkuasa beredar meninggalkan si lelaki itu. Si lelaki hidup bahagia bersama keluarganya.
  
p/s: Adaptasi dari kisah yg diceritakan oleh Syaikhul Azhar Syaikh Abd Halim Mahmud rahimahullah, yg diceritakan semula oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah. Kisah benar di atas berlaku di sebuah negara arab.

- Saya bawakan kisah ini bukan berniat kempen untuk poligami ;)

Sunday, November 14, 2010

Talbiah: Kami Datang KepadaMu Ya Allah

Sejarah Haji

Haji mengingatkan kita sejarah pengorbanan
Pengorbanan yang ikhlas,agung lagi suci
Kerana Allah Nabi Ibrahim sembelih anaknya, Nabi Ismail
Kerana Allah nyawa tebusannya

Sejarah berkata lagi tentang pengorbanan itu
Siti Hajar kerana Allah taatkan suami tinggal sendiri
Tinggal ditanah haram suami datang setahun sekali
Ditanah kering kontang hanya tawakkal kepada ilahi

Tatkala Nabi Ismail lahir teruji lagi
Air susunya telah pun kering sama sekali
Siti hajar mencari air ke hujung ke pangkal berlari-lari
Dari sofa ke marwah beberapa kali

Aduh hatinya bimbang anak kecilnya tiada rezki
Tapi hatinya teguh kepada Allah yakin sekali
Di dalam mencari-cari terpancar air dari bumi
Berkat dari hentakan kaki anaknya bakal nabi

Dia pun mengumpul air sambil bersyukur
Dengan menyebut Zamzam…Zamzam
Itulah dia air Zamzam yang kekal hingga ke hari ini
Mu’zijat seorang nabi berkat istrinya

Sudahkah kita mengambil pengajaran dari cerita ini
Cintakan Allah menegakkan agamanya wajib berkorban
Taat, sabar dan tawakkal jadikan pakaian
Cintakan Allah pengorbanlah sebagai bukti

Nota Kaki Cinta Agung:
*Salam lebaran kepada semua pengunjung blog Cinta Agung.Kullu am wa antum bikhair (n-n)

Tuesday, November 2, 2010

Rahmat ujian..........

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah sekali lagi kita bersua dalam blog Cinta Agung ni yang sudah lama tidak diUPDATE kan.Al-Quran, kalamullah mempunyai banyak kelebihannya seperti syifa(penyembuh) kepada penyakit rohani dan jasmani, sirah-sirah(pensejarahan) mengenai umat terdahulu di samping memberi pahala dan syafaat kepada si pembaca.

Terapi Jiwa Dengan Ayat Allah
Selain itu juga, terdapat ayat-ayat Allah yang memberi 'makna' kepada jiwa yang gelisah sebagai satu bentuk solusi kepadanya. Mari kita baca satu artikel yang cukup menarik ini...

Tiap persoalan Allah sudah jawab di dalam AlQuran... sayang nya ALlah dkt Kita............
Kenapa Aku Tak Dapat Apa Yg Aku Idam-Idamkan?
..dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui, tetapi kamu tiada mengetahui..(albaqarah:216)

Kenapa Susah Sangat Ujian Ini?
… dan ketahuilah, Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya…(albaqarah:286)

… sesungguhnya disamping kesusahan bersamanya kemudahan…… (ditegaskan sekali lagi) disamping kesusahan bersamanya kemudahan…(alinsyirah:5&6)

“Do you really think that you will enter Paradise without such trials as came to those who passed away before you? They were afflicted with severe poverty and ailments and were so shaken that even the Messenger and those who believed along with him said, ‘When will come the Help of Allah?’Yes, certainly the Help of Allah is near!”[Quran 2:214]

Rasa Frust? Tension? Lemah Semangat?
::janganlah kamu bersedih atau berduka cita, sesungguhnya kamu lebih tinggi jika kamu beriman::(alimran:139)

.:adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata ‘kami telah beriman’ tanpa mereka diuji:..Dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta:.(alankabut:2&3)

Bagaimana Harus Aku Menghadapinya?
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”(Surah Al-Imran ayat 200)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”(Surah Al-Baqarah ayat 45)

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”(Ar-Ra’d: 28)

Apa Yang Aku Dapat Daripada Semua Ini?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dr org2 mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka… ..(Surah At-Taubah ayat 111)

Kepada Siapa Aku Berharap?
“Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.”(Surah At-Taubah ayat 129)

Arghhh Aku Tak Tahan!!! Aku Dah Bosan!!
“… ..dan jgnlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.”(Surah Yusuf ayat 12)

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta. (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

“Did you think that We had created you in play (without any purpose), and that you would not be brought back to Us?”(Quran 23:115):

?Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.?- Surah az-Zariyat: ayat 56.

Demi masa:..:sesungguhnya manusia dalam kerugian:..:kecuali yang beriman dan juga yang beramal soleh:..:yang berpesan pada kebenaran:..:yang berpesan pada kesabaran:.(alquran:al-asr)

..ya tuhanku, sesungguhnya aku berkehendak kepada kebaikan yang engkau turunkan kepadaku..(alqasas:24)

Nota Kaki Cinta Agung:
*Melangkah ke mukasurat: 100, buku Sejarah Tuhan

Tuesday, October 5, 2010

Soal Hati 16: Apakah Kita Melakukan Pembaziran Diri?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum kepada semua. Semoga dalam keadaan sihat sejahtera harapnya. Hampir sekian lama menyepi dari menulis dalam blog Cinta Agung ni dek kekangan masa dan idea. Ala kulli hal, kali ini saya nak kongsi artikel yang dipetik daripada satu blog(copy paste je kecuali pendahuluan yang anda sedang baca ni, pastinya original!!!). Mudah-mudahan ilmunya dapat kita manfaatkan bersama. Selamat…

KHUTBAH Jumaat di masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini menarik perhatian dan menyentuh kalbu saya. Isu atau temanya mengenai pembaziran. Khatib telah menghuraikan ada sembilan bentuk pembaziran (diri) dilakukan manusia. Sememangnya pembaziran ini jarang disedari oleh setiap daripada kita.

Selalunya bila disebut pembaziran ia terfokus kepada makanan, wang, masa dan tenaga saja. Bahawa hal-hal hubungan dan tanggungjawab diri kita dengan Tuhan juga sebenarnya berlaku pembazairan.

Di sini saya cuba mengulas dan memperluaskan lagi apa yang dimaksudkan pembaziran itu dan bagaimana ianya berlaku. Mudah-mudahannya ada manfaat untuk semua.

Antara sembilan pembaziran itu ialah;

i) Pembaziran ilmu pengetahuan- Banyak manusia mempunyai ilmu pengetahuan tetapi sayangnya ia tidak dimanfaatkan untuk kegunaan orang lain. Tidak mahu berkongsi dengan orang lain.

Misalnya banyak para sarjana atau intelektual kita dalam berbagai bidang, tetapi ilmu para ilmuan itu hanya tersimpan dalam khazanah hati mereka saja. Mereka menuntut atau mempelajari ilmu itu bertahun-tahun tetapi tidak digunakan sepenuhnya. Ada yang sekadar belajar untuk lulus periksa atau mendapat master dan Phd saja. Selepas itu mereka terus diamkan saja dalam diri mereka.

Begitu juga dengan para ulama dan ustaz. Mereka tidak menggunakan ilmu yang dimilikinya seoptimanya. Mereka hanya menggunakan atau pun mengajar sanak saudara atau keluarga sendiri saja. Kalau ustaz mengajar hanya di surau-surau di kampung mereka saja. Malas untuk merantau jauh menyebarkan ilmu dan berdakwah. Walhal ilmu yang ada kepada mereka itu perlu disebar luaskan dan ia juga adalah satu tanggugnjawab wajib mereka yang tahu. Ia satu amanah Allah kepada mereka. Inilah dikatan pembaziran ilmu pengetahuan.

Seharusnya mereka tulis dan terbitkan ilmu yang mereka perolehi itu sebagai kitab, VCD atau vedio. Sebar kepada umum biar orang ramai dapat memetik dan menggunakan ilmu berkenaan untuk dijadikan pandaun untuk hidup di dunia dan akhirat. Dan ingat kalau sudahestablish sebagai pendakwah nanti jangan pula meletakkan harga bayaran dengan nilai tertentu. Menerima bayaran juga pada saya satu pembaziran!

ii) Pembaziran kekayaan - Banyak manusia kaya raya, punya wang jutaan ringgit tujuh keturunan makan tidak habis. Ada yang sampai RM4 billion. Tetapi malangnya wang itu disimpan begitu saja dan tidak dimanfaat oleh orang lain. Orang miskin dan dhaif patut mendapat batuan mereka terus tinggal dalam kemiskinan dan kedaifan tanpa mendapat sejemput pun bantuan mereka.

Sikap ini menyebabkan orang miskin tidak dapat merasai kekayaan mereka dan si kaya pula tidak mendapat pahala dari si miskin. Jadilah kekayaan mereka untuk dimegahkan saja tetapi bukan membantu orang lain. Kekayaan seperti itu kekayaan yang tidak memberi guna sedikitpun. Kekayaan yang tidak diredhai Allah. Kekayaan ala Qarun dan Firauan.


Kekayaan yang mulia, ialah kekayaan yang dapat dikecapi sama oleh orang lain. Seperti mana kekayaan Allah s.w.t. menurunkan setitik hujan. Bila Allah turunkan hujan semua makhluk-Nya dapat merasai nikmatnya. Segala hidupan di atas gunung, bukit bukau curam dan lembah dapat merasai nikmat hujah. Rumput, lumut, pokok, semut, gajah, kambing, kucing, ayam, itik, semua dapat merasai air hujan itu.

Hatta ikan, belut, dan segala hidupan dalam sungai dan laut juga dapat merasai kekayaan Allah itu. Inilah dikatakan kekayaan yang tidak membazir. Kekayaan yang meliputi kegunaan dan manfaatnya.

Sebaliknya setengah orang kaya ini suka menghabiskan wang untuk keburukan dunia dan akhirat. Bukan dibelanjakan untuk membaiki dunia dan membawa dirinya hampir dengan akhirat. Inilah yang dimaksudkan kekayaan yang dibazirkan. Contohnya ada manusia yang memilik kasut sampai 3,000 pasang, kereta mewah pulahan dan sekali berbelanja terpaksa pakai trak atau lori untuk memunggah barang ke rumah.

iii) Pembaziran kesihatan - Allah memberi kesihatan tubuh badan kepada seseorang. Tetapi malangnya kesihatan itu tidak digunakan untuk kebaikan. Misalnya diberikan tubuh sasa, otak cergas tetapi kesihatan itu digunakan di jalan yang tidak benar. Bunuh orang, bakar orang jadi abu dan sebagainya. Kesihatan seperti ini juga tidak memberi faedah kepada dunia dan dapat memenuhi filsafat manusia itu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Inilah kesihatan yang merugikan.

iv) Pembaziran ibadat - Anih ibadat pun ada pembaziran juga? Ibadat itu dikira membazir sekiranya ia tidak sampai kepada hakikatnya. Memang ada orang kuat beribadat, berzikir ribuan seharian, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, berkhalwat di dalam gua dan gunung, atau tinggal anak dan isteri berbulan kerana dakwah atau sembahyang sampai dahi lekuk dan menjadi hitam. Tetapi kalau ibadat itu tidak dapat merubah sikap dan perangainya baik lahir dan zahir ia hanya pembaziran saja. Kerja itu sia-sia saja. Ia lebih kepada ibadat untuk menunjuk-nunjuk. Inilah dinamakan ibadat syaitan.

Ibadat yang sampai ke kemuncaknya ialah bila dapat merubakan kehidupan diri, fiil dan perangainya mendekati akhlak Rasulullah s.a.w. Memiliki sifat mahmudah dan membuang perangai mazmumah yang bersarang di istana kalbun di dalam diri. Hoi...

v) Pembaziran zikir - Iaini mereka yang berzikir tetapi tidak mengingati Allah. Ingat hanya ketika zikir saja tetapi selepas zikir ia kembali ke dunia asalnya. Juga dikira membazirkan bagi mereka yang berzikir tahu menyebut dan mengulang-ulanginya tetapi tidak tahu makna dan pengertiannya. Zikir seperti ini samalah cakap burung gemala kerbau atau tiong yang tahu berkata-kata tetapi tidak mengerti makna dan maksudnya. Kemuncak zikurullah ialah zaouk (mabuk).

vi) Pembaziran cinta - Tidak mencurahkan cinta jiwa raganya kepada Allah yang berhak menerima cinta setinggi-tinggi dan sekudus-kudusnya. Manusia rela berkorban dan memberi cinta kepada mahkluk dan bukan kepada Penciptanya. Belum ada kita mendengar berita manusia terjun dari bangunan tinggi kerana kecewa cinta kepada Allah, sebaliknya yang kita dengar mereka membunuh diri kerana kecewa cinta dengan kekasihnya. Meletakkan perasaaan yang suci dan agung itu kepada manusia ini juga pembazhiran.


vii) Pembaziran kasih - Tidak mengasihi saudara sendiri tidak kasih kepada dunia dan tidak kasih kepada diri sendiri. Allah memberikan kawan dan saudara untuk saling kasih mengasihi dengan cara itu menguatkan keimanan dan ketakwaan. Sebaliknya kita bergaduh sesama sendiri, tuduh menuduh 
dan dengki mendengki. Tentang dunia dan makhluk ini pula kita tidak sayang dan kasih. Kita khianati sungai, khianati pokok, khianati bukit bukau, gondolkan untuk jadikan kawasan penempatan. Perbuatan ini juga menunjukkan kita tidak kasih, dan perasaan kasih itu adalah pembaziran.

viii) Pembaziran akal - Allah menganugerahkan akal kepada manusia menjadi manusia makhluk yan paling mulia. Akal membezakan manusia dengan haiwan dan makhluk lain. Sayangnya manusia tidak menggunakan akal untuk melihat dan menghayati perbezaan itu sepenuhnya. Lebih malangnya lagi ada manusia bersikap dan berperangai macam haiwan. Inilah dikatakan pembaziran akal anugerah tertinggi bagi manusia.

Nah... cubalah renungi secara mengdalam dan menghalusi apakah tiap daripada kita tidak terlibat dalam melakukan pembaziran itu?

Nota Kaki Cinta Agung:
*Tepuk dada tanya iman, jangan tanya selera….

Wednesday, September 8, 2010

Eid Sa'id



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Allahu akbar...allahu akbar...allahu akbar...wa lillahilhamdu. Amma ba'du, Ramadhan tahun 1431 hampir melabuhkan tirainya dan sama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala menerima segala amal kita sepanjang tempoh 30 hari ditarbiyah dalam 'madrasah/sekolah' Ramadhan dan moga Allah memanjangkan usia kita untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Amin

Sebagai 'hadiah', umat Islam dikurniakan satu anugerah oleh Allah untuk meraikan kejayaan atas kesungguhan dan mujahadah mereka dengan Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah asal. Daripada tidak makan dalam had masa tertentu kepada makan. Apa yang lebih penting, bersihnya dosa-dosa seperti bayi yang lahir ke dunia.

Di bawah merupakan adab-adab dan hukum yang berkaitan dengan Aidifitri yang saya petik dari laman;http://soaljawab.wordpress.com/2007/10/07/adab-adab-dan-hukum-hakam-berhari-raya/. Mudahan ianya mampu menjadi input yang terbaik untuk kita membuat persediaan sebelum berhari raya.

Adab-Adab dan Hukum-Hakam Berhari Raya
Oleh : Mohamad Abdul Kadir Sahak
1.    Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik r.h. meriwayatkan sebuah hadith di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya : “Bawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar seringkali akan mandi pada hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat Hari Raya di pagi hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.
2.    Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Aid al-Fitri dan sebaliknya untuk ‘Aid al-Adha
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji Tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (al-Bukhari : 953)
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengomentari hadith ini dengan berkata : “Demikian itu kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, padanya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari : 2/446)
3.    Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt :
وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengangungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah : 185)
Daripada al-Walid bin Muslim katanya : “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua : “Ya, adalah ‘Abdullah bin ‘Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Sahih juga daripada ‘Abdul Rahman al-Salamiy katanya : “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha, Waki’ berkata : “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 3/122)
Al-Daraqutni dan selainnya pula meriwayatkan bahawa Ibn ‘Umar apabila keluar pada pagi hari Raya al-Fitri dan hari Raya al-Adha, beliau bersungguh-sungguh bertakbir sehinggalah sampai ke tempat solat, kemudian dia bertakbir lagi sehinggalah Imam keluar (untuk mendirikan solat).”
Ibn Abi Syaibah pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhriy katanya : “Adalah manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar daripada rumah-rumah mereka sehinggalah mereka sampai ke tempat menunaikan solat dan sehingga Imam keluar, apabila imam keluar (untuk menunaikan solat), mereka semua senyap, Apabila Imam bertakbir, mereka juga bertakbir.” (Lihat Irwa’ al-Ghalil : 2/121)
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf, sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibn Abi Syaibah, ‘Abdul Razak dan al-Firyabi dalam kitabnya Ahkam al-‘Iedain menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata : “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari  pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.
4.    Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibn Mas’ud r.a. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz :
اللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ لَا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah maha besar, Allah maha besar, tidak ada ilah melainkan Allah dan Allah yang maha besar, Allah yang masa besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
Ibn Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, dimana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali.
Al-Mahaamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibn Masud :
اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ ، اللهُ أكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
Maksudnya : Allah yang maha besar sebesar-besarnya, Allah yang maha besar sebesar-besarnya, Allah yang maha besar dan yang maha agung, Allah yang maha besar dan bagi Allah segala pujian.” (Irwa’ al-Ghalil : 3/126)
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat di masjid, di rumah dan di pasa-pasar.
5.    Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk daripada adab berhari raya ialah dengan menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua)
2.
عِيْدُ مُبَارَكْ (Selamat) hari raya yang diberkati.
Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata : “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibn Hajar berkata : Isnad (riwayat ini ) Hasan. (Fath al-Bari : 2/446)
6.    Bercantik di Hari raya
Daripada Jabir r.a. katanya : “Bagi Nabi saw ada satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah : 1765)
Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibn ‘Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa seperti sabda Nabi saw :
وليخرجن تَفِلات
Maksudnya : “Dan hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian (berpakaian biasa dan tidak bertabarruj).”
7.    Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.’anhuma katanya :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya : “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (al-Bukhari : 986)
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini
i.    Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii.    Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam
iii.    Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt
iv.    Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v.    Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan solatur rahim.
8.    Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya, sebahagian mengatakan hukumnya sunat, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ‘ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz Abdillah bin Baz menyebut : “Pendapat ini lebih terserlah pada dalil-dalilnya dan lebih hampir kepada kebenaran.”
Cara-caranya (kaifiyatnya) Solat Hari Raya.
-    Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit dari para sahabat Nabi saw, dan tidak ada bukti yang menunjukkan sebaliknya.
-    Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-‘Ala (سبح اسم ربك الأعلى) dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasiah (هل أتاك حديث الغاشية) berdasarkan hadith riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf (ق) pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar (القمر) pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadith riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi saw.
-    Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka orang-orang yang hadir solat hari raya dia boleh memilih samaada hendak hadir atau tidak pada solat Jumaat. Jika dia memilih untuk tidak hadir, dia hendaklah menunaikan solat Zohor.
-    Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah
Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma :
أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ
Maksudnya : “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”
-    Keringanan meninggalkan khutbah bagi yang mahu
Daripada Abdullah bin Sa-ib (عبد الله بن السائب) katanya : Aku menyaksikan hari raya bersama Nabi saw, apabila selesai solat (hari raya) baginda bersabda : “Sesungguhnya kami akan berkhutbah, maka sesiapa yang hendak mendengar khutbah duduklah, dan sesiapa yang hendak pergi (tidak mendengar khutbah) bolehlah dia pergi.” (Irwa’ al-Ghalil : 3/96)
Al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ : “Dan disunatkan bagi orang ramai untuk mendengar khutbah, dan bukanlah khutbah dan mendengarnya satu syarat sah solat hari raya, akan tetapi al-Syafie berkata : “Jika seseorang meninggalkan mendengar khutbah hari raya atau (khutbah) solat gerhana, atau (khutbah) solat al-Istisqa (minta hujan) atau khutbah haji atau dia bercakap ketika khutbah (yang disebut) atau dia berpaling lalu pergi meninggalkan khutbah, aku memakruhkannya dan dia tidak perlu mengulanginya.”
-    Khutbah raya dimulakan dengan memuji-muji Allah, tidak terdapat petunjuk dari Baginda saw memulakan khutbah dengan bertakbir. Al-Imam Ibn Qayyim berkata :
“Ramai (ulama) telah berbeza pendapat tentang pembukaan khutbah dua hari raya dan al-Istisqa (khutbah solat al-Istisqa), sebahagian mengatakan dibuka dengan bertakbir, yang lain pula mengatakan dibuka khutbah (solat) al-Istisqa dengan beristighfar, ada juga yang mengatakan dibuka dengan kalimat pujian, berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Inilah yang benar… kerana Nabi saw membuka semua khutbah baginda dengan kalimat pujian kepada Allah.”
-    Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya
Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari. Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan perkataan Ibn Battal (ابن بطال) : Telah sepakat para fuqaha bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.
Yazid bin Khamir berkata, Abdullah bin Yusr (عبد الله بن يسر) sahabat Rasulullahs saw telah keluar bersama orang ramai pada hari raya fitri atau Adha, dan beliau mengingkari kelewatan Imam (dari solat hari raya) dan berkata : Sesungguhnya kami (para sahabat) telah selesaikan (solat hari raya) pada waktu ini” ketika itu adalah waktu al-Tasbih.
Yang dimaksudkan dengan waktu al-Tasbih itu ialah waktu solat sunat, setelah tamatnya waktu dilarang solat. (Sila lihat Fath al-Bari dan Sunan Abi Daud)
9.    Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada ‘Ali bin Abi Tolib r.a. katanya : “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” (Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya). Kata al-Tirmizi : “Beramal dengan hadith ini kebanyakan para ulama, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (utk solat hari raya) dengan berjalan kaki.” Kata Ibn al-Munzir : “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا
Maksudnya : “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” (al-Albani menghasankan hadith ini di dalam Sahih Ibn Majah)
10.    Wanita juga keluar menunaikan solat hari raya
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Dari Umm ‘Atiyyah r.’anha katanya : “Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”
11.    Zakat al-Fitr
Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadith Ibn ‘Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari :
وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين
Maksudnya : “Adalah mereka (sahabat nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya maka ia tidak dikira sebagai zakat fitrah berdasarkan hadith Nabi saw daripada Ibn ‘Abbas r.’anhuma :
من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات
Maksudnya : “Sesiapa yang membayarnya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), maka itulah zakat fitrah yang diterima, dan sesiapa yang membayarnya selepas solat, maka ianya hanya sekadar sedekah dari sedekah yang lain.”
Maka berdasarkan hadith ini haram hukumnya melewatkan membayar zakat sehingga selesai solat hari raya tanpa sebarang keuzuran. Jika dia terlewat disebabkan keuzuran seperti orang yang dalam perjalanan (musafir) yang tidak memiliki wang atau tidak mendapati orang yang boleh diberikannya zakat, dia boleh mengeluarkannya selepas daripada solat hari raya disebabkan dia termasuk orang yang mempunyai keuzuran.
Beberapa Kesalahan Yang Dilakukan Pada Hari Raya
1.    Anggapan sunat menghidupkan malam hari raya
Sebahagian orang ada yang beranggapan sunat menghidukan malam hari raya dengan melakukan ibadat-ibadat sunat seperti qiyam al-Lail dan seumpamanya. Anggapan ini adalah salah kerana tidak terdapat dari petunjuk Nabi saw. Adapun hadith yang menyebut tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya ini adalah dhoief ataupun lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi saw. Hadith tersebut ialah :
من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
Maksudnya : “Siapa yang menghidupkan malam hari raya, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati (manusia lainnya).”
Hadith ini TIDAK SAHIH, ia datang dari 2 jalan periwayatan dimana salah satunya Maudhu’  atau PALSU dan salah satu lagi LEMAH. (Sila lihat Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wa al-Maudhu’ah, oleh al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani : 520-521)
Maka tidak disyariatkan untuk menghidupkan malam hari raya dengan qiyam al-lail, melainkan bagi mereka yang sememangnya telah menjadi kebiasaannya menghidupkan malam-malam yang lain juga.
2.    Menziarahi Kubur pada 2 hari raya
Perbuatan sebahagian orang yang menjadikan awal pagi dua hari raya untuk menziarahi kubur adalah perbuatan yang bertentangan dengan maksud dan syiar hari raya. Yang mana sepatutnya dizahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Perbuatan menziarahi kubur pada hari raya ini juga bertentangan dengan petunjuk Nabi saw dan perbuatan generasi awal umat Islam (al-Salaf) yang dididik oleh Baginda. Perbuatan ini dibimbangi termasuk di dalam larangan Nabi saw dari menjadikan tanah perkuburan sebagai sambutan hari raya, dimana jika dimaksudkan (sunat menziarahi kubur) pada waktu-waktu tertentu dan  ada pada musim-musim yang tertentu (seperti pada dua hari raya), maka perbuatan ini termasuk larangan menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat sambutan hari raya seperti yang disebut oleh para ulama. (Sila lihat Ahkam al-Jana-iz wa Bida’uha oleh al-Albani. m.s. 219 & 258)
wallahu a’lam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih Muslim, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:" barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka seumpama berpuasa setahun ". Sama-sama hidupkan sunnah Rasul.
*Elakkan dosa di Aidilfitri.