Tuesday, November 10, 2009

Soal Hati 10: Kalam Terakhir Dari Bumi Ambia'

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada pembaca dan pengunjung blog Cinta Agung ini, semoga kalian semua dirahmati oleh Allah Ta'ala dan diberikan kesihatan untuk meneruskan perjuangan hidup ini.Hari ini merupakan hari-hari terakhir saya di bumi Ambia' ini dan artikel ini adalah artikel saya yang terakhir di sini.Ala kulli hal, rasa syukur dipanjatkan kerana masih diberikan peluang untuk mencoret sepatah dua kata di dalam laman maya ini.InsyaAllah, esok saya akan bertolak pulang ke tanahair setelah 4 tahun belajar, diajar di Universiti Al-Azhar, cawangan Damanhur.Masa berlalu begitu cepat.Rasanya macam semalam baru sampai, sedar-sedar nak balik dah.Sedih rasanya hendak tinggalkan Mesir ini khususnya bumi Damanhur.Yang datang pastinya akan pergi.Itu Sunnatullah...tiada yang kekal illa Wajhahu.

At-Taubah(Ayat 122)
Apabila diimbas kembali, teringat saya ketika mula-mula sampai di Mesir di mana kami mahasiswa baru disambut oleh abang-abang lama.Dalam perjalanan ke kediaman mahasiswa Malaysia di Hayyu Asyier, ayat daripada Surah At-Taubah ditalkinkan kepada kami.Bunyinya begini:

"Dan tiada patut orang-orang beriman keluar semuanya (ke medan perang).Mengapakah tiada keluar sebahagian diantara tiap-tiap golongan mereka, supaya mereka yang tinggal memahami agama dan memberi peringatan kepada kaumnya, bila mereka kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka itu waspada(takut)"
At-Taubah:122
Apabila dibaca...dihayati ayat ini, terasa satu tanggungjawab bagi mereka yang mengaji ilmu agama.Tanggungjawab untuk menyedarkan saudara seagama, tanggungjawab membawa dan menyebarkan risalah Nubuwwah yang mulia.Terasa berat tanggungjawab yang akan dipikul.Ya Allah, bagilah kekuatan kepada aku!Walaupun sudah menamatkan pengajian, ini bukanlah bermakna medan menuntut ilmu sudah tamat.Ilmu itu mestilah senantiasa dicari.Sekarang merupakan proses untuk mempraktikkan ilmu yang ada setelah lama berteori.Mempraktikkan ayat At-Taubah setelah acap kali dibaca.Mendengar pengalaman abang-abang lama yang pulang ke Malaysia membuatkan hati ini sedikit takut.Takut jika tidak mampu berbakti.

Dunia Baru
Alam mahasiswa merupakan suatu alam yang cukup mudah.Hanya perlu menumpukan kepada pelajaran sahaja.Tidak perlu runsing untuk fikirkan banyak masalah.Bagi yang berpersatuan, ia menjadi nilai tambah kepada mereka di mana organisasi mengajar mereka untuk bersosial dan bermasyarakat.Nun di sana, 'dunia baru' sedang menanti mereka yang telah menamatkan pengajian.Dunia kerjaya yang pastinya penuh cabaran.Bekerja sebagai guru cukup memberi pengalaman kepada saya.Bagaimana saya perlu mengawal situasi kelas supaya tidak bising.Letih tetapi seronok!

Apa Yang Akan Dirindui?
Damanhur, tempat tinggal saya selama berada di sini merupakan satu muhafazah bagi negara Mesir.Damanhur merupakan kawasan pertanian utama seperti padi, dan gandum.Di sini, terdapat satu cawangan Universiti Al-Azhar As-Syarif yang mengambil masa 30-40 minit(berjalan kaki) untuk ke sana dari rumah saya.Jika menaiki bas, masa yang diambil hanya 15 minit sahaja.Untuk menaiki bas di sini, tidaklah perlu sentiasa berebut macam Kaherah.Senang sedikit.Tempat pertama semasa mula-mula saya sampai adalah Dewan Utama Darul Huda yang merupakan markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur.HUDA merupakan akronim daripada Himpunan Ulama'-ulama' Damanhur.Banyak program diadakan di sini sama ada dianjurkan oleh PMRAM atau DPM sendiri.Kebanyakkan masa saya dihabiskan di sini sama ada untuk berprogram atau ziarah penghuni markaz ini.
Di sini, saya tinggal di Syuq Syria berhampiran dengan landasan kereta api bersama-sama dengan seorang lagi teman.Bunyi bising kereta api sudah menjadi perkara biasa kepada saya.Kadang-kadang, ia menjadi pemecah kesunyian waktu bersendirian(^^).Selang 10 minit, pasti akan ada kereta api yang lalu.Kalau tidak silap, kereta api merupakan pengangkutan kedua terbesar selepas kenderaan awam di Mesir.Bayaran LE 4.50 sudah cukup berbaloi untuk berulang-alik dari Kaherah.Walaupun tinggal dekat dengan landasan kereta api, jadual kereta api masih belum mampu dihafaz.Inilah kenangan yang pasti saya rindui dan mampu saya kongsi kepada sahabat-sahabat.
Rasanya, cukuplah setakat ini kalam ini berbicara.Kepada sahabat-sahabat yang masih berada di sini, teruskan perjuangan kalian dan jangan putus asa doakan saya dalam kebaikan.Apa yang baik datang dari Allah dan apa yang buruk itu datang dari kelemahan dan dosa saya sendiri.Wallahu 'alam.
Wassalam....(^^)v

Nota Kaki Cinta Agung:
*Cyber Cafe Dream, Kubri Alwi, Damanhur.PC No.:7
*Maafkan silap salah, halalkan makan minum dan perbuatan saya yang kurang disenangi.Doakan saya selamat tiba di Malaysia.InsyaAllah, kita berjumpa lagi di Malaysia
*Mood:Sad!!!

Tuesday, November 3, 2009

About Cairo



Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullah dan salam ukhuwwah kepada para pembaca semua.Alhamdulillah dipagi-pagi hari yang hening ini, saya melahirkan rasa syukur kepada Allah Ta'ala kerana masih memberi peluang untuk terus menyedut oksigen sebagai agen penerus kehidupan.

Hari ini merupakan hari terakhir saya di bumi Kaherah terutama Hayyu Asyier ini.Banyak kenangan yang masih segar dalam ingatan kerana di sinilah tapak kaki ini mula berpijak ketika sampai ke lapangan terbang Kaherah.Kompleks KPT(Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu),merupakan penempatan pertama saya ketika sampai di sini sebelum dihantar ke cawangan Universiti Al-Azhar, Damanhur.Kompleks ini merupakan rumah yang disediakan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk menempatkan para mahasiswa khususnya di Kaherah.KPT merupakan badan kebajikan yang menguruskan hal ehwal anak-anak Terengganu yang bernaung di bawah persatuan induk iaitu Persekutuan Republik Melayu Arab Mesir(PMRAM).Cukup sekadar itu untuk KPT.



Di Kaherah terletaknya Masjid Al-azhar dan Universiti Al-Azhar yang utama.Saya sempat juga beberapa kali ke masjid tersebut untuk mengaji terutama pada tahun pertama sampai ke Mesir.Majlis ilmu yang mulia terus subur di sini dengan wujudnya banyak kelas pengajian oleh Masyaikh-masyaikh yang terkenal.Di sinilah lahirnya para ulama dan cendikiawan yang membantu dalam menyuburkan Islam di seluruh dunia.Semoga Allah Ta'ala memelihara Al-Azhar dan para ulamanya.

Di seberang Masjid Al-Azhar, terdapat masjid Sayyida Hussain R.A, cucu Baginda Rasul S.A.W.Di situ terletaknya makam Baginda Hussain R.A. dan inilah tempat yang saya banyak ziarahi ketika berada di Kaherah.Ya Allah, suburkan rasa cinta dan rinduku kepada Rasulullah S.A.W dan para Ahlul Bait Baginda dan himpunkan aku bersama mereka pada Hari Kiamat nanti!Di Kaherah juga terdapat banyak makam-makam para ulama dan aulia'.Pada tahun lepas, saya berkesempatan untuk mengikuti jaulah makam yang dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur.

Sebagai tambahan, Ma'rod Kitab Dauliah atau Ekspo Buku juga diadakan di bumi Kaherah ini dan kalau tidak silap, ia merupakan ekspo buku yang terbesar di dunia.Di situ, banyak buku yang dijual oleh pusat percetakan yang terkenal seperti Darussalam, Darul Hadis, Darul Fikr dari Syria dan banyak lagi.Rasa hendak dibeli semuanya kitab tetapi????(^^).

Jam sudah menunjukkan jam 6.40 pagi.Rasanya, cukuplah setakat ini bicara tentang Kaherah dan kalau diberi peluang, saya berharap dapat kembali lagi ke sini.Selamat tinggal Kaherah...ila liqa.Wassalam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Semoga Allah melindungi Al-Azhar, para ulamanya dan kesatuan pelajar di sini.Amin!

Monday, November 2, 2009

Nun Di sana....


Nun disana cita - cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Qur'an dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah i'tibar kalau mahu sedar

Nun disana tiada taulan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegaralah membuat kebajikan
Jangan dilalaikan oleh nafsu syaitan

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah persiapan untuk ke sana

Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Dia minta ampun pada-Nya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia

Nun disana cita - cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Qur'an dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah i'tibar kalau mahu sedar

Nun disana cita - cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal


Nota Kaki Cinta Agung:
*...dan tidaklah kehidupan dunia itu kecuali ni'mat yang menipu daya dan negeri akhirat itulah terlebih baik dan kekal

Saturday, October 31, 2009

Soal Hati 9: Berusaha Dan Berserah

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Nampaknya demam pepepiksaan sedang rancak di universiti-universiti dan di sekolah.SPM pun akan berlangsung tidak lama lagi.Masing-masing mungkin sibuk untuk membuat persiapan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan.Bila saya buka laman testi I Luv Islam, ada beberapa gambar yang boleh dijadikan pembakar semangat untuk terus berusaha seperti gambar di bawah ini.

Kata-kata " ...sungguh yang Allah lihat ialah usahamu, bukannya hasil.."sama seperti firman Allah di dalam Al-Quran: "...dan katakanlah beramallah, maka Allah akan lihat amalan kamu..".Apa yang akan ditanya bukannya BERAPA BANYAK AMALAN YANG ANDA BUAT? tetapi AMALAN APA YANG ANDA BUAT?Dan satu perkara lagi, setelah anda berusaha, mestilah bertawakal kepada Allah atas apa yang anda telah lakukan dan banyakkan berdoa supaya sahabat-sahabat yang lain turut berjaya bukan doa untuk diri sediri sahaja.Itulah resepi kejayaan sebenar.Ingat, jangan beriman kepada usaha semata-mata kerana usaha sahaja belum tentu menjamin kejayaan yang optimum.Wallahu 'alam.

Bilik Hambali(302)
Kompleks Penuntut-penuntut Terengganu,
Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir.
11.58 Malam

Nota Kaki Cinta Agung:
*Selamat maju jaya kepada semua.Bittaufiq wannajah
*Jaga hubungan dengan Allah dan manusia


11 Fatwa Yahudi Orthodoks

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada para pengunjung blog ini.Insya Allah kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit berkenaan kaum Yahudi yang bertajuk " 11 Fatwa Yahudi Orthodoks ".Selamat membaca(^-')

Bagi menjaga budaya agama Judais agar tidak dipengaruhi oleh arus sekular global, para Rabbi Yahudi Orthodoks memutuskan bermacam-macam peraturan yang ketat di daerah majoriti mereka di Mea Sharim. Sebahagian besar peraturan adalah yang sudah sedia terkandung dalam kitab Taurat.

Fatwa 1 : Mengharamkan HDTV

Menurut para Rabbi Orthodoks, terjahan visual gambar yang begitu realistik dan melampau akan merosakkan pemikiran masyarakat. Visual jenis High Defination (HD) yang luar biasa boleh mengkhayalkan seseorang yang melihat.

Mereka bimbang penampilan visual-visual luar biasa dari HDTV akan menyebabkan golongan muda tidak lagi berminat hadir ke kelas-kelas pengajian Taurat dan Mishnah. Ini kerana mereka akan sibuk menghadap televisyen sepanjang masa.

Bagi membendung gejalan ini, kempen-kempen yang keras dijalankan secara meluas, demonstrasi dan bantahan secara terbuka dilakukan hampir setiap hari. Tidak cukup dengan itu, mereka menerbitkan pula iklan TV yang menjalankan kempen mengharamkan penggunaan HDTV.

Fatwa 2 : Pengharaman Memakan Babi

Golongan Yahudi ultra Orthodoks di Israel sering bersengketa dengan kelompok Yahudi Sekular (Zionis) tentang makanan. Para Rabbi Ultra Orthdoks menegaskan agama Judais mengharamkan penganutnya memakan babi.

Kesatuan Rabbi bersepakat membawa penguatkuasaan pengharaman memakan babi ke peringkat parlimen. Ketika itu Presiden Israel ialah Yitzak Shamir yang memimpin Parti Likud.

Lima pertubuhan Rabbi utama di Israel meminta agar dikuatkuasakan undang-undang peringkata persekutuan agar melarang semua penganut Judais dari memakan babi. Menurut mereka, penganut Judais perlu kembali kepada ajaran asal Taurat.

Larangan bukan sahaja tertakluk kepada memakan babi, tetapi juga menjual, membawa atau menyentuh binatang itu.

Cadangan undang-undang itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati golongan sekular Yahudi yang berfahaman Zionis. Mereka juga mendesak agar kerajaan Israel tidak melayan tuntutan Rabbi-Rabbi itu.

Kempen ini bermula pada Julai 1990.

Fatwa 3 : Wajib Menutup Aurat Bagi Lelaki dan Perempuan

Peraturan pakaian di Mea Sharim, daerah ultra-Orthodoks di Jerusalem amat ketat dan mesti mengikut lunas-lunas syariat agama Judais. Peraturan pemakaian yang ketat itu tertakluk kepada lelaki dan perempuan.

Lelaki
- wajib memakai baju berlengan panjang
- memakai stokin putih
- Berkasut penuh yang bertumit tinggi
- Berkot hitam
- Memakai topi hitam
- Tidak dibenarkan memakai rantai leher atau gelang tangan

Perempuan
- Memakai tudung kepala menutup keseluruhan rambut. Jika orang Islam dipanggil ‘anak tudung’.
- Tidak boleh memakai rantai leher yang keterlaluan
- Memakai baju berlengan panjang
- Memakai skirt panjang hingga bawah lutut
- Wajib memakai stokin
- Tidak boleh make-up wajah dengan berlebihan
- Diharamkan memakai pakaian yang berwarna garang dan menonjol yang boleh menarik perhatian lelaki.

Peraturan pemakaian bukan setakat ke atas masyarakat ultra-orthodoks sahaja, malah mereka juga melarang mana-mana individu yang memakai pakaian sekular agar tidak berjalan-jalan di kawasan mereka.

Fatwa 4 : Mengharamkan Pembakaran Mayat

Para Rabbi ultra-Orthodoks menentang keras proses pembakaran mayat yang sering diamalkan oleh agama-agama lain. Pembakaran mayat juga diamalkan oleh para penganut zionis di Israel.

Pada akhir tahun 2007, telah berlaku suatu kejadian kebakaran Chomotarium di Mea Sharim Pihak berkuasa tempatan percaya ia dilakukan oleh kumpulan ekstremis Ultra Orthodoks.

Semenjak Chomotarium itu dibina oleh kerajaan tempatan, ia sering menerima bantahan daripada penduduk Ultra-Orthodoks di Mea Sharim.

(Chomotarium = rumah pembakaran mayat)

Fatwa 5 : Mengharamkan Menyertai Tentera

Rabbi Orthodoks tidak menggalakkan anak-anak muda mereka menyertai agensi pertahanan kerana ia adalah amalan yang melibatkan keganasan. Penyertaan itu dianggap bertentangan dengan ajaran Taurat yang mementingkan kehidupan yang harmoni.

Fatwa 6 : Digalakkan menyimpan janggut dan misai

Amalan menyimpan janggut dan misai dikira amalan yang mendapat pahala dikalangan penganut agama Judais. Amalan ini bukan sahaja diamalkan oleh Orthodoks di Israel tetapi juga diseluruh dunia termasuk negara-negara arab.

Namun begitu, lelaki Yahudi Ultra-Orthodoks yang mempunyai janggut yang panjang, berpakaian kota hitam dan bertopi hitam amat dibenci oleh masyarakat Yahudi Sekular.

Sekiranya lelaki Ultra Orthodoks berjalan-jalan ke bandar Jerusalem atau Tel Aviv, mereka akan dipandang sinis dan sering menerima ejekan masyarakat setempat. Tindakan diskriminasi ini timbul ekoran anggapan bahawa amalan tersebut hampir menyamai amalan sunat umat Islam.

Fatwa 7 : Mengharamkan Penggunaan Handphone Berkamera

Para Rabbi Ultra-Orthodox peringkat tertinggi sepakat mengharamkan handphone berkamera digunakan oleh masyarakat Yahudi ultra-orthodoks. Bagi menghalang handphone berkamera dibeli, pertubuhan Ultra Orthodoks telah melarang kedai-kedai handphone di Mea Sharim menjual produk yang mempunyai kamera.

Tujuan pengharaman adalah untuk menjaga maruah dan keselamatan golongan wanita Yahudi Orthodoks dari terdedah kepada tingkahlaku-tingkahlaku tidak bermoral.

Bagi menghalang penularan jualan telefon berkamera di daerah kediaman Ultra Orthodoks, para rabbi mereka mendesak agar telefon khusus untuk Yahudi Orthodoks dicipta.

Bagi merealisasikan ‘fatwa’ mereka, para Rabbi Orthodoks telah menghantar surat memorandum desakan kepada CEO syarikat Mirs Communication iaitu Abrasya Brustyn. Syarikat ini adalah wakil tunggal penjualan handphone jenis Motorola di Israel.

Desakan yang dibuat ialah pihak pengeluar harus membuang fungsi kamera kecil pada telefon. Selain itu, telefon itu juga haruslah mempunyai filter (penapis) bagi sebarang “sexual contents” yang mudah dicapai di talian internet.

Akhirnya sebuah telefon yang digelar “Kosher Phone” dikeluarkan. Telefon yang mempunyai fungsi panggilan keluar-masuk, simpanan mesej teks, memori buku telefon dan fungsi-fungsi asas.

Fatwa 8 : Mengharamkan penjualan MP4 Player

Pemain MP4 diharamkan oleh pertubuhan-pertubuhan Yahudi Orthodoks kerana ia dikatakan boleh merosakkan akhlak penganut Judais khususnya golongan muda. Kempen ini dijalankan dengan cara mengedar poster-poster larangan membeli MP4.

Poster-poster kempen tidak sahaja diedarkan kepada masyarakat di Mea Sharim tetapi mereka juga turut berkumpul di kedai komputer di bandar tersebut. Bukan setakat itu sahaja, kempen diluaskan lagi melalui radio rasmi mereka iaitu Kointrass.

Menurut editor berita di Radio Kointrass iaitu Rabbi Henri Khan, mereka tidak kisah jika alatan moden itu hendak dijual tetapi mereka perlulah menjualnya di luar kawasan Orthodoks. Mea Sharim dihuni oleh 99 % Yahudi Orthodoks, jadi mereka tidak mahu pengaruh budaya luar merosakkan akhlak masyarakat mereka.

Fatwa 9 : Mengharamkan rakaman gambar secara terbuka

Masyarakat Yahudi Ultra Orthodoks tidak suka wajah dan tingkahlaku mereka diambil gambar atau dirakam menggunakan kamera video. Perbuatan tersebut dianggap menghina maruah komuniti mereka.

Situasi ini bagaimanapun hanya berlaku di Mea Sharim, Jerusalem dan tidak di lain-lain negara di dunia. Sesiapa sahaja yang mengambil gambar-gambar mereka kemungkinan besar akan dicederakan termasuk pelancong asing.

Fatwa 10 : Mengharamkan penubuhan negara Israel

Para rabbi orthodoks percaya penubuhan negara Israel adalah agenda jahat kerajaan Zionis yang dipimpin oleh Yahudi suku Ashkenazi dan Sephardi. Bagi para Rabbi Orthodoks, konsep ideologi Zionis tidak wujud di dalam agama Judais dan ia bukanlah ajaran sebenar Nabi Musa.

Fatwa 11 : Mengharamkan tingkahlaku Homoseksual dan Lesbian

Semenjak menularnya pengaruh ideologi Zionis di kalangan masyarakat Yahudi Orthodoks pada 1897 dahulu, para Rabbi juga bimbang akan gejala-gejala sosial yang dipromosikan oleh kerajaan Zionis.

Rabbi Dr. Aaron L. Mackler, profesor dari Pittsburg University telah membentangkan dengan panjang lebar kertas kerja berkenaan larangan homoseksual dan lesbian.

Kertas kerja beliau yang bertajuk “The Conservative Movement and Homosexuality : Finding a Middle Path”, menjelaskan mengapa setiap penganut Yahudi perlu berkahwin dan menjauhkan gejala homoseks dan lesbian.

Pada 1992, Comittee of Jewish Laws and Standards (CJLS) sebulat suara memutuskan akan perlunya setiap umat Yahudi yang beragama Judais mengelakkan sebarang aktiviti homoseks dan lesbian.

Namun begitu, kempen ini tidak berjaya. Umat Yahudi sejak dari zaman Nabi Lut memang sudah sebati dengan perilaku sejenis ini. Walaupun Bandar Sodom dan Gemorah sudah dimusnahkan oleh Allah. Darah hawa nafsu Syaitan itu tetap mengalir segar.

Akhirnya pada 2006, empat orang ahli jawatankuasa tertinggi CJLS sendiri telah meletak jawatan dan keluar dari CJLS kerana tidak senang dengan peraturan melarang aktiviti homoseksual dan lesbian ini.

Mereka ialah Rabbi Joel Roth, Rabbi Leonard Levy, Rabbi Meyer Rabinowitz dan Rabbi Joseph Prouser.

Kesimpulan

Walaupun golongan ultra orthodoks kelihatan begitu tegas mempertahankan hukum-hukum dalam Taurat, itu tidak bermakna mereka tidak mempunyai perasaan benci kepada Islam.

Selain itu, Agama Islam juga dianggap sebagai musuh utama kerana semakin ramai pemuda-pemudi Ultra Orthodoks di Mea Sharim yang kini memeluk Islam secara senyap-senyap.

Wallahu’alam…

Nota Kaki Cinta Agung:
*Sumber: ibnuyaacob.com

Wednesday, October 28, 2009

PARASIT DALAM GERAKAN ISLAM

Bismillahirrahman Ar-rahim…

Assalamulaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada pelawat blog Cinta Agung ini.Insya Allah pada kali, saya akan cuba menulis artikel berkaitan isu politik.Saya bukanlah orang layak dan reti untuk menulis dalam bidang ini dan saya rasakan agak luar biasa apabila saya menulis berkenaan topik ini.Baiklah, saya namakan tajuk artikel kali ini dengan PARASIT DALAM GERAKAN ISLAM.Segala teguran daripada pembaca amat saya harapkan.


Gerakan Islam merupakan satu gerakan yang menjadikan Islam perkara pertama untuk ditegakkan di muka bumi ini.Gerakan Islam muncul secara aktif setelah jatuhnya Khilafah Islamiyyah di Turki.Gerakan Islam merupakan satu alternatif ataupun sebagai naib khilafah yang menjadi wasilah kepada matlamat untuk membentuk khilafah(pemerintahan).Rasanya, hampir semua gerakan di dunia ini tidak terlepas daripada ancaman dan tekanan.Begitu juga situasi yang sedang dialami oleh gerakan Islam di seluruh dunia.Selain daripada tekanan daripada pemerintah dan kewangan, masalah gerakan ini boleh jadi semakin parah apabila wujudnya tangan-tangan jahat dalam gerakan Islam untuk menjatuhkannya.Golongan ini dinamakan sebagai PARASIT yang memberi mudarat kepada perumah.


Dilema Dalam PAS
Di Malaysia, Parti Islam Semalaysia yang menerajui gerakan Islam turut terlepas daripada golongan ini.Yang terbaru, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat mengusulkan kepada parti tersebut supaya diadakan Muktamar Khas respon daripada komentar yang disarankan oleh Dr.Aziz Bari.Apa yang saya tahu, fungsi muktamar ini adalah untuk mengubah struktur kepimpinan dalam parti tersebut.Hari ini, Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat diadakan untuk membincangkan konflik dan masalah dalaman yang berlaku dalam parti.Tuduhan terhadap sesetengah pemimpin parti yang dikatakan pro-Umno menyebabkan perlunya diadakan mesyuarat khas ini.Tuduhan itu bukannya kepada pemimpin biasa tetapi figure-figure parti seperti Ustaz Nasharuddin, Cikgu Pa dan Dr. Hassan Ali.Nak komen lebih-lebih pun tidak reti.Apa yang hendak dinyatakan di sini, wujudnya tangan-tangan yang cuba mempengaruhi Tok Guru Nik Aziz untuk menjatuhkan pemimpin ini ataupun Tok Guru sudah dapat detect masalah ini dan sebab itu mesyuarat khas diadakan.


Kesimpulannya
Proses penyulingan yang ketat diperlukan untuk menapis golongan yang betul-betul ingin berjuang.Golongan yang bersifat atas pagar dan tidak meletakkan wala' yang sepatutnya kadang-kadang membawa masalah kepada gerakan Islam.Semoga Allah menyelamatkan ulama-ulama, pemimpin-pemimpin dan rakyat yang inginkan Islam.Wallahu 'alam.



Thursday, October 22, 2009

22.10.1985: Tarikh Yang Bermakna

Bismillahirrahman Ar-rahim...


Pada tarikh 22 Oktober 1985, jam 4.25 pagi telah lahir seorang bayi kecil ke alam dunia ini.Bayi tersebut diberi nama oleh ayahanda dan bonda dengan nama, MOHD KHAIRUL HAFIZ sebagaimana yang termaktub dalam Luh Mahfaz.Sekarang, bayi itu telah pun menjadi seorang pemuda dan pada hari ini genaplah 24 tahun usia pemuda itu(^^).Sudah 24 tahun hidup di dunia dan baki umurku entah berapa lama lagi?Mungkin beberapa tahun lagi, mungkin juga beberapa bulan lagi, mungkin...mungkin...dan mungkin.Segala kemungkinan boleh berlaku tapi apa yang pasti itu bukanlah urusan kita untuk menentukannya.

Di dalam kitab hadith sohih Imam Bukhori R.A ada menyebutkan bahawa Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda terdapat 5 perkara yang Allah sembunyikan daripada manusia antaranya manusia tidak mengetahui apa yang akan dibuat oleh pada esok harinya dan mereka tidak mengetahui pada bumi mana mereka akan dimatikan oleh Allah.Semakin hari semakin dekat dengan satu ketetapan itu iaitu kematian.Apa sangatlah hendak dibangga dengan umur yang panjang jika hidup penuh dengan kelalaian dan kederhakaan.Sama-sama kita fikirkan.

Jadi, pada kesempatan yang ada dan sementara line internet tengah laju ni, saya mengucapkan selamat hari lahir kepada MOHD KHAIRUL HAFIZ dan kepada pengunjung setia blog CINTA AGUNG ini doakanlah supaya hamba kecil ini dipanjangkan umur dalam ketaatan, dijauhkan daripada dosa sejauh timur dan barat, dimurahkan rezki oleh Allah, dikurniakan Qurrotul Ain yang membawa sakinah kepada diri, diberikan ilmu yang bermanfaat, diberikan kekuatan dan kesabarn dalam perjuangan dan yang paling penting selamat di dunia dan akhirat.Katakanlah:AMIN!!!!!!!!


Nota Kaki Cinta Agung:
*Kepada sahabat pembaca, bolehlah menghantar beberapa banyak hadiah saya tak kisah.Jangan malu jangan segan!Kalau tak boleh jugak, tinggalkan doa dan komen pun jadi la.Hehehe...
*24 tahun dah umurku tapi orang kata muka macam budak lagi.Apa rahsianya?
*Terima kasih kepada Ayahanda dan Bonda kerana melahirkan anak ini.Ya Allah, ampunilah kedua-dua ibu bapaku dan perbaikilah urusan mereka di dunia dan akhirat.