Sunday, November 16, 2008

Sesat Dalam Cahaya

Bismillahirahman Ar-rahim…

Satu tajuk yang rasanya agak menarik untuk ditatap oleh semua.Tajuk yang membincangkan mengenai golongan yang dikenali sebagai Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani.Mereka digelar sebagai Ahli Kitab kerana telah diturunkan kepada mereka Kitab Taurat dan Kitab Injil.Di dalam Al-Quran, terdapat sejumlah ayat-ayat yang menceritakan sikap buruk mereka.Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, marilah kita sama-sama merenung mafhum daripada Firman Allah Ta’ala:

“Hai orang-orang Ahli Kitab, mengapakah kamu kafir akan ayat-ayat Allah sedangkan kamu mempersaksikannya(mengakuinya)?Hai orang-orang Ahli Kitab, mengapakah kamu percampurkan yang hak dengan yang batil dan kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahuinya?”.Surah Al-Imran;Ayat 70-71.

Apa yang difahami melalui ayat-ayat di atas, Allah Ta’ala menyatakan kepada kita mengenai sikap Ahli Kitab yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan menyembunyikan kebenaran.Firman Allah Ta’ala:

“Merekalah golongan yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk”.Al-Baqarah;Ayat 16.

Orang alim di kalangan golongan Yahudi dan Nasrani ini menggunakan kepandaian mereka di dalam ilmu agama untuk cari makan dengan menyeleweng daripada ajaran Taurat dan Injil mengikut apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka.Sebagai contoh, di dalam Kitab Taurat dan Injil telah dinyatakan berita kedatangan Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad S.A.W. berserta ciri-ciri kenabian Baginda tetapi ahli-ahli agama Yahudi dan Nasrani telah menyembunyikan berita ini hanya kerana Nabi yang akan diutuskan ini daripada Bangsa Arab.Sebagaimana yang termaktub di dalam Firman Allah yang bermaksud:

“Ingatlah ketika Isa anak Maryam berkata:Hai Bani Israil, sesungguhnya aku rasul Allah kepadamu, serta membenarkan apa yang sebelumku iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan seorang rasul yang akan datang kemudianku, namanya Ahmad(Muhammad).Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan (membawa) keterangan, mereka berkata:Ini sihir yang nyata.Siapakah yang terlebih aniaya daripada orang yang mengadakan pendustaan terhadap Allah, sedangkan dia diseru kepada Islam?Allah tidak menunjuki kaum yang aniaya itu.Mereka hendak memadami cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah menyempurnakan cahayaNya, meskipun benci orang-orang kafir”.Surah As-Soff;Ayat 6-8.

Di dalam Surah Al-Baqarah dinyatakan, bagaimana pengetahuan Ahli Kitab mengenai Nabi Muhammad S.A.W. sebagaimana kenalnya mereka kepada anak-anak mereka.Firman Allah Ta’ala:

“Orang-orang yang Kami datangkan Kitab kepada mereka, mereka kenal akan dia sebagaimana mereka kenal akan anak-anaknya sendiri.Sesungguhnya segolongan mereka menyembunyikan kebenaran, sedang mereka mengetahuinya”.Al-Baqarah;Ayat 146.

Mereka inilah golongan yang dikatakan SESAT DALAM CAHAYA.Umpama orang diberikan peta untuk ke suatu tempat tetapi tidak mengikut arahan yang terdapat di dalamnya akhirnya tersesat jalan.Satu persoalan yang patut kita renung bersama,adakah kita sebagai umat Islam terlepas daripada peringatan ini?Jawabannya adalah tidak.Secara zahir ayat tersebut memang ia ditujukan kepada golongan Yahudi dan Nasrani tetapi al-ibroh bi umumi lafzi laisa bi khususi sabab yakni ayat tersebut ditujukan kepada semua sebagai peringatan supaya tidak bersikap dengan sikap tersebut.

Pengajaran yang boleh diambil daripada ayat di atas ialah;

1- Kita hendaklah beriman kepada Allah Ta’ala dan Rasulnya dengan sebenar-benar iman.

2- Amanah dalam menyampaikan ilmu.Apa yang betul katakan betul,apa yang salah katakan salah.Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Orang yang diam daripada menyatakan kebenaran adalah syaitan bisu.”

Sebagai akhirnya, musuh Islam sentiasa berusaha untuk memesongkan orang Islam daripada agamanya.Mereka sanggup mengeluarkan berbilion duit untuk merealisasikan usaha mereka ini.Sebagaimana Firman Allah Ta’ala:

“Dan sesekali tidak akan redho terhadap kamu oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (ajaran) mereka”.Surah Al-Baqarah;Ayat 120.Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa perkataan ‘Millah’ yang dimaksudkan adalah cara hidup atau lifestyle.Wallahu ‘alam.

Justeru, seluruh umat Islam perlulah bersatupadu untuk menepis usaha jahat pihak kuffar ini dan satu keyakinan yang perlu dipatri di dalam hati-hati umat Islam ialah setiap usaha untuk memadamkan cahaya Islam pasti akan menemui kegagalan kerana Allah telah berfirman:

Mereka hendak memadami cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah menyempurnakan cahayaNya, meskipun benci orang-orang kafir”.Surah As-Soff;Ayat 8.

Semoga Allah Ta’ala menetapkan hati-hati kita di dalam Islam dan Iman.Amin…

Wallahu ‘Alam.Sekian

Khamis,6 November 2008,10.03 Pagi


No comments: