Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Kareem

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah wa barakatuh dan salam ramadhan diucapkan kepada semua sahabat. Alhamdulillah, pada tahun ini kita diberi peluang oleh Allah Ta'ala untuk bertemu dengan Ramadhan.

Ramadhan baru sahaja membuka tirainya sebagai satu kemuliaan dan peluang yang diberikan Allah kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Di sini, saya akan nyatakan beberapa hadis-hadis berkaitan Ramadhan;

1- Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila datangnya Ramadhan maka akan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan"
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

2- Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa (siyam) Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosanya yang telah lalu". 
(Riwayat al-Bukhari). 

3- Sabda Nabi s.a.w. maksudnya : "Sesiapa yang qiyam Ramadhan dengan penuh iman dan mengharap pahala maka diampunkan baginya dosanya yang telah lalu". 
(Riwayat al-Bukhari)

Daripada kedua-dua hadis ini dapat kita simpulkan dua perkara penting dalam ibadat puasa iaitu;
Siyam iaitu kewajiban menunaikan ibadah puasa Ramadhan. Ibadah puasa bukan sahaja tertumpu kepada menjaga diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa(ibadah lahiriah) malah orang yang berpuasa itu juga patut menjaga dirinya daripada perkara yang membatalkan pahala puasa itu sendiri(ibadah batiniah).

Qiyam; apakah maksud qiyam Ramadhan? Ia difahami sebagai melakukan ibadah pada bulan Ramadhan termasuk ibadah sunat pada malam hari. Maka solat sunat Terawih termasuk dalam erti qiyam Ramadhan.

Wallahu alam.(@;@)

Cinta Agung
1 Ramadhan 1431 Hijrah 
Balai Besar,
Dungun, Terengganu.

Wednesday, August 4, 2010

Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Al-Quran merupakan kitab yang Allah Ta'ala diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril Alaihissalam dalam bahasa Arab dan secara mutawatir. Ianya diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun berikutan era dakwah Rasulullah berjalan selama tempoh tersebut. 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Di dalam Quran, terdapat ayat Makiyyah; iaitu ayat yang turun sebelum hijrah Nabi S.A.W. dari Mekah ke Madinah dan ayat Madaniyyah; iaitu ayat yang diturunkan selepas hijrah Nabi S.A.W. Inilah pendapat yang paling tepat dalam pendefinisian ayat Makiyyah dan Madaniyyah.

Orang yang ingin menyentuh atau membaca Al-Quran mestilah suci daripada hadas sama ada kecil atau besar. Satu persoalan yang mungkin timbul iaitu adakah alat yang mengandungi perisian Al-Qur’an itu dihukumkan sebagai Al-Qur’an? 


Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus ia disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. (Fatwa 31/1972).

Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke program yang lain. (Fatwa 22/2006).

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu juga jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.

Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al- Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut
ketika berada di tandas.

Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempattempat kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat
al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.

Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:

    “Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan.”

Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana
ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempattempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan. Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan
riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.

Nota Kaki Cinta Agung:

* Sumber : Mufti Brunei
* Selamat beramal...