Wednesday, December 15, 2010

Pendedahan Wikileaks: Antara Peluang Dan Ancaman

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Alhamdulillah wassholatu wassalamu ‘ala rasulillah wa ‘ala aalihi wa sohbihi ajmain, amma ba’du;

Baru-baru ini, dunia media massa digemparkan dengan pendedahan beberapa perkara yang diklasifikasikan sebagai sulit oleh laman sesawang Wikileaks, sebuah pertubuhan antarabangsa yang bertapak di Sweden yang menerbitkan dokumen-dokumen sulit yang didapati daripada sumber-sumber yang tidak diketahui dan maklumat Internet yang dibocorkan. Maklumat lanjut berkaitan laman tersebut boleh didapati di sini: http://ms.wikipedia.org/wiki/WikiLeaks.

Antara pendedahan yang dibuat ialah pada April 2010, WikiLeaks menghantar video serangan helikopter 2007 di mana orang awam Iraq dan kakitangan Reuters dibunuh oleh tentera A.S., di sebuah tapak web yang dipanggil Collateral Murder. Pada Julai pula, WikiLeaks mengeluarkan Diari Perang Afghan, susunan lebih 76,900 dokumen risikan A.S. mengenai Perang Afghanistan. Pada Oktober tahun yang sama, tapak web ini mengeluarkan pula hampir 400,000 dokumen yang dipanggil Log Perang Iraq dengan kerjasama pertubuhan media komersil utama. Seterusnya pada November, ia mula membocorkan lebih 250,000 kawat diplomatik A.S., sekali lagi dengan kerjasama beberapa pertubuhan akhbar komersil utama. Sekitar 100,000 dilabel "sulit" manakala ~15,000 dokumen lagi dilabel "rahsia".

Bagi golongan yang berkepentingan, mereka mungkin melihat pendedahan laman tersebut sebagai satu modal dan peluang untuk mengkritik individu tertentu. Sebaliknya, ada yang kurang senang dengan isu ini kerana melihat kepada ancaman yang mungkin kena pada tubuh sendiri.

MSO Melayu@ Mohd Sayuti Omar menulis dalam blog beliau:
“ Pada saya kemunculan Wikileaks adalah strategi musuh Islam. Ia bukan saja musuh negara ini tetapi Islam seluruhnya. Kalau dari sisi lain dengan pendedahan laman bebas itu ia memberi gambaran Amerika itu sendiri mengetahui luar dan dalam sesebuah negara dan juga individu di mana-mana saja. Dalam erti kata lain Wikileaks dan Amerika terus menjalani propaganda dan perang saraf mereka bagi melemahkan negara dan kuasa lain. Mereka nampak bergaduh tetapi hakikatnya mereka bersekongkol untuk mengugut dunia.”

Suruhan Bertabayyun Dalam Islam

Islam merupakan agama yang menyeru kepada keharmonian dan kedamaian. Islam juga menyeru umat untuk mendengar banyak pandangan kemudian membuat analisis dan kaji selidik terhadap setiap pandangan tersebut agar memperoleh natijah yang baik. Dalam isu Wikileaks ini, masyarakat Islam perlu mengambil sikap berhati-hati terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh laman tersebut dan bukan menerimanya secara meng’khinzir’ buta dan mentah-mentah.

Suruhan ini disebut di dalam Surah Al-Hujuraat, surah 49; ayat ke-6 yang bermaksud:

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.  

Sebab diturunkan ayat 6;

Ayat 6 surah al hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab nuzul atau turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mustaliq. Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mustaliq, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, lau menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mustaliq Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Uqbah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

Islam menyeru umat agar berhati-hati dalam menerima berita daripada orang fasik maka interaksi umat terhadap isu Wikileaks atau mana-mana media yang ditaja oleh orang kafir lebih-lebih lagi perlu diberi perhatian yang serius.

Pengertian FASIK

Fasik ialah orang yang keluar dari garis panduan Islam. Menurut syara’, fasik ialah orang yang mengerjakan dosa-dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil. 

Pengajaran

Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud, 
”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”

Kalau di zaman Rasulullah sudah ada orang-rang Islam yang membawa berita palsu dan tidak betul, maka di zaman kita ini lebih-lebih lagi, terutamanya melalui media massa yang ada sekarang ini seperti tv dan akhbar. Ditambah pula dengan teknologi internet yang sedang berkembang maju, dunia hanya di hujung jari, berita-berita cepat tersebar tanpa mempedulikan sama ada betul atau tidak. Yang penting ialah sensasi berita itu. Kebenaran menjadi perkara kedua dalam pertimbangan. Sebahagian rakyat bagaikan mendapat kedai kopi kedua di mana mereka bincangkan isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain dalam internet.

Lebih teruk lagi, ada individu tertentu seolah-olah menjadikan internet terutamanya blog-blog sebagai tempat menyelesaikan masalah dalaman gerakan Islam. Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah mereka tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Ini kerana hilangnya kemahiran yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui ayat di atas agar kita menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan masa kini.
Oleh demikian, umat Islam perlu kaji dan belajar daripada sejarah kerana sifat sejarah itu akan terus berulang seumpama satu cerita yang diulang dan terus diulang. Wallahu alam

Nota Kaki Cinta Agung:
*Rujukan: 
1-Al-Quran( Surah Al-Hujuraat; ayat 6) dan al-hadis.

2-Laman web:



No comments: