Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
Assalamualaikum
warahmatullah dan salam sejahtera diucapkan kepada teman-teman pembaca dan
penjenguk blog Cinta Agung sekalian. Semoga dalam keadaan afiat
hendaknya.
Teman-teman sekalian,
Setiap yang dilakukan
selalunya menghasilkan natijahnya yang tersendiri sama ada natijah itu baik
atau sebaliknya. Implikasi daripada natijah tersebut akan ganjaran. Contoh
mudah begini, apabila seorang anak yang lulus peperiksaan, kebiasaannya ibu
bapa akan memberikan hadiah tanda penghargaan ibu bapa terhadap anak mereka.
Dalam agama, seorang yang membuat kebaikan akan diberi ganjaran yang disebut
sebagai PAHALA manakala yang membuat kejahatan juga akan diberi ganjaran yang
dinamai DOSA.
Untuk apa dicipta dosa sedangkan
kesannya amat buruk sehingga mampu menyeret manusia ke neraka? Zalimkah Tuhan
sampai begitu sekali? Nauzubillah min zalik dan Subhanallah. Ayuh, mari kita
renung kembali 99 nama Allah yang mulia. Tidakkah di sana terdapat nama
Allah العفو
و الغفور, Allah Yang Maha
Pengampun.
Allah mencipta dosa itu untuk
menunjukkan MAHA PENGAMPUNNYA DIA terhadap hambanya yang berdosa. Walaupun dosa
manusia memenuhi alam buana ini, sekiranya dia datang kepada Allah dalam
penyesalan nescaya Allah akan mengampunkan dan tidak mempedulikan dosa-dosanya
sebelum ini.
Dalam surah Az-Zumar ayat 53, Allah
berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad), wahai
hamba-hambaku yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat
Allah...". Maha baik Allah, bagaimana Allah menggunakan lafaz عبادي (Hamba-hambaku) tanda rahmat Tuhan kepada hambanya.
Nah, kebetulan sekarang kita berada
difasa kedua pada bulan mulia, bulan Ramadhan yang disebut oleh Nabi S.A.W
sebagai 'pertengahannya adalah MAGHFIRAH'. Semoga kita tidak terlepas untuk
merebut peluang yang datang setahun sekali ini. Mudah-mudahan Allah memandang
kita dengan pandangan rahmatNYA, amin.
Sebelum menutup kalam ringkas ini, suka
saya tinggalkan satu hadis Qudsi riwayat Imam Muslim R.A yang berbunyi:
JIKA
HAMBAKU MERANCANG MELAKUKAN SATU KEBAIKAN,
MAKA AKU
AKAN REKOD UNTUKNYA SATU PAHALA WALAUPUN DIA BELUM MELAKUKANNYA.
JIKA DIA
TELAH MELAKUKANNYA, MAKA AKU AKAN REKODKAN 10 KALI GANDA(PAHALA AMALAN
TERSEBUT).
SEKIRANYA
DIA BERNIAT UNTUK MELAKUKAN SATU KEJAHATAN,
MAKA AKU
TETAP MEMAAFKANNYA SELAGI DIA BELUM MELAKUKANNYA KEJAHATAN TERSEBUT.
JIKA DIA
TELAH MELAKUKANNYA, MAKA AKU REKODKAN SEBAGAIMANA PERBUATAN YANG DILAKUKANNYA.
PARA
MALAIKAT BERKATA: "WAHAI TUHAN, ITU SEORANG HAMBAMU YANG HENDAK MEMBUAT
KEBURUKAN."
ALLAH
BERFIRMAN(SEDANGKAN ALLAH LEBIH MENGETAHU):"LIHATLAH DIA. JIKA DIA
MELAKUKANNYA, MAKA CATATKAN KEJAHATAN ITU UNTUKNYA. JIKA DIA MENINGGALKANNYA,
MAKA REKODLAH UNTUKNYA SATU PAHALA. SESUNGGUHNYA DIA MENINGGALKAN KEJAHATN ITU
KERANA TAKUT KEPADAKU"
Allahu 'Alam Bissowab.
Isnin
13 Ramadhan 1434 H/ 21 Julai 2013
Pengkalan Chepa, Kota Bahru,
Kelantan.
Nota Kaki Cinta Agung:
* Hadis Qudsi bermaksud satu jenis hadis dimana perkataan Nabi Muhammad disandarkan
kepada Allah atau dengan kata lain Nabi Muhammad meriwayatkan perkataan
Allah. Lafaz daripada Nabi manakala maksud/kehendak hadis daripada Allah.
* Setiap kejadian Allah, pasti berhikmah untuk menguji himmah manusia.
No comments:
Post a Comment