Saturday, December 19, 2009

Sejarah Masjidil Aqsa



Bismillahirrahman Ar-rahim…


Menurut hadis Nabi S.A.W. yang mempunyai riwayat yang kukuh  dan bersambung kepada Baginda Rasul S.A.W., Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ataupun boleh dibaca dengan ‘Baitul Muqaddas’ telah dibina sezaman dengan pembinaan Masjidil Haram di Mekah. Masjidil Haram dibina sebelum zaman Nabi Ibrahim Alaihissalam, bahkan asasnya telah wujud sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis menceritakan kisah Nabi Ismail Alaihissalam.

Di dalam hadis ini terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim Alaihissalam tidak membina Kaabah, tetapi hanya mengangkat atau membina semula Kaabah mengikut rekabentuk yang asal.

Pembinaan Masjidil Aqsa telah dilakukan pada zaman Nabi Adam Alaihissalam ataupun di zaman anak-anaknya. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan pendapat ulama. Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Sesungguhnya kami telah meriwayatkan bahawa orang yang pertama membina Kaabah adalah Adam Alaihissalam, kemudian anak-anaknya bertebaran di atas muka bumi . Maka tentu salah seorang anak baginda yang meletakkan asas pembinaan Masjidil Aqsa.”

Beliau menambah, “Sesungguhnya aku telah mendapati apa yang boleh menjadi penguat dan penyokong pendapat yang mengatakan bahawa sesungguhnya Adam Alaihissalam adalah orang yang pertama  mengasaskan kedua-dua masjid.”

Oleh itu, zaman pembinaan Masjidil Aqsa terjadi beribu-beribu tahun sebelum zaman Nabi Daud Alaihissalam dan Sulaiman Alaihissalam.

Manakala nama “al-Aqsa” yang bermaksud “paling jauh” adalah bersempena kedudukan masjid tersebut yang paling jauh di antara ketiga-tiga buah masjid terpenting dalam Islam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Nabi Adam Alaihissalam juga dikenali sebagai “Abul Basyar” yang bermaksud Bapa Manusia.
*Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (773 H/ 1372- 852 H/ 1449) merupakan pengarang kitab Fathul Bari, syarah kepada Sohih Bukhari.Beliau digelar sebagai Syeikhul Islam kerana kepakaran beliau dalam ilmu hadis.
*Rujukan: Buku Baitul Maqdis-Kesucian Yang  Dipertahankan oleh Haji Mohd Hanif Hj. Ismail. Semoga Allah merahmati dan memberikan kesihatan kepada beliau.



1 comment:

JHaZKiTaRo said...

salam maal hijrah dari pelajar Msia di kota Dublin, Eire.. blog hopping.. rajin2, datang laa lompat ke blog hamba..