Saturday, January 30, 2010

Satu Kisah Kehidupan Saiyyidah Ahlul Jannah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum warahmatullah kepada semua pengunjung blog Cinta Agung. Moga dalam taufiq dan redho Allah hendaknya. InsyaAllah, pada entri kali ini, saya akan memuat satu kisah kehidupan Sayyidah Ahlul Jannah, Fatimah Binti Muhammad S.A.W., anak perempuan yang disayangi oleh Rasulullah dan isteri kepada Sayyidina Ali Bin Abi Tolib R.A. Kelebihan Sayyidah Fatimah Az-Zahra ada disebutkan di dalam beberapa hadis Rasulullah S.A.W. antaranya beliau merupakan penghulu wanita di dalam Syurga.

Kalau hendak disebutkan riwayat hidup Fatimah Az-Zahra R.A mungkin mengambil masa yang lama. Di sini, saya akan sediakan satu kisah buat renungan bersama mengenai ketabahan Penghulu Wanita Syurga ini dalam melalui kehidupan sehari-hari. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. dan ahli keluarga Baginda seluruhnya.

Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W. pergi menziarahi anak perempuan kesayangannya. Kelihatan Sayyidah Fatimah R.A. dalam keadaan letih dan lesu  kerana bebanan tugas sebagai seorang isteri. Beliau mengadu kepada Ayahandanya akan keperitan hidup yang dilalui dan meminta untuk disediakan pembantu untuk meringankan hidupnya.

Setelah mendengar keluhan anaknya, Baginda S.A.W. mengajarkan kepadanya satu amalan yang boleh meringankan bebanan hidupnya. Baginda menyuruh anaknya membaca satu zikir yang bermaksud:

“ Ya Hayyu, ya Qayyum, dengan rahmatMu aku meminta pertolongan. Perbaikilah bagiku akan urusanku seluruhnya dan jangan Engkau serahkan aku kepada nafsuku walau sekelip mata”

Begitulah satu amalan yang boleh diambil faedahnya untuk meringankan segala urusan kehidupan. InsyaAllah, setiap urusan itu walaupun sulit tetapi kalau kena caranya pasti akan menjadi ringan dan mudah. Antara cara menyelesaikan suatu kesulitan itu adalah dengan mengadu kepada Allah Ta’ala. Itulah sebaik-sebaik tempat pergantungan. Wallahu alam.

Nota Kaki Cinta Agung:

*Kisah di atas terdapat di dalam hadis Rasulullah tetapi saya mengambil mafhumnya secara ringkas sahaja. Kalau ada kesilapan dalam kisah di atas, harap diperbetulkan.

*Doa tersebut boleh diamalkan bila-bila masa terutamanya pada setiap kali solat fardu. Afwan!!!  

Wednesday, January 27, 2010

Soal Hati 13: Belajar Sambil Mengajar


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


" Sebaik-baik kamu adalah orang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain "
 

Assalamulaikum dan salam kesejahteraan kepada sidang pembaca dan pengunjung blog Cinta Agung. Alhamdulillah wa syukrulillah atas taufiq dan hidayah daripada Allah, semoga kita semua sentiasa didalam taufiq dan hidayahNya. Setiap kali selesai solat Subuh dan Maghrib, biasanya saya membaca ayat-ayat cinta daripada Allah Ta’ala. Saya cuba me‘wajib’kan diri untuk membaca 4 maqra’ setiap hari dan menghabiskan satu juzu’ dalam masa dua hari dengan izin Allah jua. Anda juga mungkin ada cara tersendiri untuk menghabiskan bacaan Al-Quran. Semoga usaha anda dan kita semua diredhai Allah hendaknya.

Seusai sembahyang Maghrib semalam, saya mengambil peluang untuk membaca beberapa untaian hadis daripada Sayyiduna Rasulullah S.A.W. kepada ahli keluarga. Hadis-hadis tersebut berkaitan dengan ayat-ayat yang saya baca di dalam surah Al-Imran. Antaranya, hadis berkenaan lafaz Penghulu Segala Taubat yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari R.A dan hadis, perkara yang menyebabkan ramai manusia masuk Syurga dan ramai masuk Neraka. Hadis itu berbunyi:

Nabi S.A.W. telah ditanya berkaitan perkara yang menyebabkan ramai manusia masuk Syurga. Lantas Baginda bersabda: “Ketaqwaan kepada Allah dan berakhlak mulia”. Dan Nabi S.A.W. telah ditanya berkaitan perkara yang menyebabkan ramai manusia masuk neraka. Lalu Baginda S.A.W. bersabda: “Mulut dan kemaluan”. Telah diriwayatkan oleh Iman Tirmizi dan beliau berkata Hadis Hasan Sohih.

Saya terangkan hadis itu secara ringkas supaya dapat difahami dengan jelas oleh mereka. Saya mengambil pendekatan ini untuk belajar sambil mengajar dan menjinak-jinakkan ahli keluarga dengan pengisian ilmu sekadar yang termampu. Pada awalnya, saya berasa agak janggal dan segan tetapi saya memberanikan diri untuk mencuba. Mudah-mudahan usaha ini tidak berhenti setakat itu sahaja.    

Perkongsian ini diharap menjadi renungan dan semangat untuk kita untuk meneruskan kesinambungan hidup dalam beragama dan menjadikan institusi keluarga sebagai medan dakwah yang pertama, insyaAllah. Apa yang baik itu datang daripada Allah manakala yang buruk itu datang daripada diri yang lemah ini. Wallahu ‘alam


Nota Kaki Cinta Agung:
*Mohd Khairul Hafiz Husin-Khamis, 1.43 Pagi   

Sunday, January 24, 2010

Hukum Menulis Dan Membaca Al-Quran Dengan Huruf Rumi


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Semoga dalam rahmat Allah hendaknya. Sudah lama tidak menulis dalam blog ni atas sebab yang tertentu. InsyaAllah, kali ini saya akan kemukakan kepada saudara saudari pembaca sekalian berkaitan fatwa berkaitan hukum menulis dan membaca Al-Quran dengan huruf rumi. Semoga dapat manfaat bersama.

Apakah hukum menulis dan membaca al-Qur’an dengan huruf rumi ?

Sayugia diingat bahawa Allah Subhânahu wa Ta’âlâ menurunkan al-Qur’an itu dengan lisan bahasa Arab. Ini tersebut dalam banyak ayat, firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ: Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu, iaitu al- Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
(Surah Fushshilat: 3)

FirmanNya lagi:
Sesungguhnya kami menurunkan kitab itu sebagai al-Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab.
(Surah Yusuf: 2)

Dan agama telah memerintahkan supaya al-Qur’an itu dibaca menurut kaifiyyah lafaznya,
sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ : Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartîl (dengan bacaan yang terang jelas dan betul segala hurufnya menurut ilmu tajwid).
(Surah al-Muzzammil: 4)

Berkata ulama, bahawa Allah Subhânahu wa Ta’âlâ telah menzahirkan al- Qur’an itu dalam Lauh Mahfûzh dengan bahasa Arab, dan telah dibacakan oleh malaikat dengan bahasa Arab, dan diterima oleh Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam dengan bahasa Arab sementara umat Islam pula telah ijmâ‘ dan sekata yakni tiada khilaf (tiada bertelingkah) antara mereka bahawa wajib
ditulis dan dibaca al-Qur’an itu dengan lisan bahasa Arab.

Pendapat Mazhab-Mazhab
Telah sekata ulama mazhab-mazhab pada menegah dari membaca dan menulis al-Qur’an dengan bacaan dan tulisan yang lain dari bacaan dengan lisan Arab dan tulisan al-Qur’an. Di bawah ini ialah pendapat-pendapat mereka itu:

1. Berkata Syeikh al-Islam Abu al-Hasan al-Marghinani al-Hanafi yang bermazhab Hanafi: Ditegah membaca dan menulis al-Qur’an dengan bahasa dan tulisan Farsi dengan ijmâ‘ umat Islam, kerana membaca dan menulis dengan lisan dan tulisan lain dari lisan dan tulisan al-Qur’an itu boleh
membawa rosak makna dan lafaznya…

2. Al-Imam Ibnu Hajar asy-Syafi‘e dalam Syarh al-‘Ubab pula berkata: Bahawa menulis al-Qur’an al-‘Azhim dengan huruf Arab itu menyebabkan orang dapat menentang dan melawan lafaz al-Qur’an, yakni huruf yang bukan huruf Arab itu boleh membawa tiada i‘jaz (tiada dapat melawan penentangpenentang al-Qur’an), bahkan membawa pada pelat dan kacukan, serta rosak susunan nazham (aturan) al-Qur’an.

3. Menurut Mazhab al-Imam as- Syafi‘e: Tidak harus (haram membaca al- Qur'an dengan bacaan lisan yang lain dari lisan Arab di dalam sembahyang sama ada dia dapat membaca dengan bahasa Arab atau tidak dapat membaca dengan bahasa Arab. Begitu juga haram membaca al-Qur'an dengan lisan ‘ajam (lain dari lisan Arab) di luar sembahyang sepertimana kata al-Imam Ibnu
Hajar dalam fatwanya.

 4. Mazhab Hanbali pula menggariskan: Bahawa sembahyang jadi rosak dengan membaca al-Qur'an dengan lisan ‘ajam, sama ada orang itu lemah dari membaca dengan bahasa Arab atau tiada lemah. Mazhab ini memberi erti bahawa adalah ditegah sama sekali (haram) menulis dan membaca al-Qur'an dengan bahasa lain dari bahasa Arab.

5. Dan Mazhab Maliki: Adalah tidak harus sama sekali (haram) membaca al- Qur'an dan menulis al-Qur'an dengan lisan dan tulisan lain dari lisan dan tulisan Arab.

Demikian menurut al-'Allamah asy-Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf dalam kitabnya Manhaj al-Yaqin fi Bayan ‘an al-Waqfa al-Ahliyya min ad-Din. Asy-Syeikh Muhammad Hasanain ialah seorang ulama besar yang terkenal di al-Azhar, Mesir.

Pendapat ini merupakan sokongan kuat kepada pendapat al-Imam an-Nawawi seorang tokoh dan jaguh ulama Syafi‘eyyah dalam Syarh al-Muhadzdzab, katanya: Tiada harus membaca al-Qur’an dengan bahasa lain dari bahasa Arab sama ada dia boleh membaca Arab atau tiada boleh membaca Arab, sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang.

Menulis Hadits Dengan Huruf Rumi
Demikian juga menulis hadits dengan huruf rumi sama hukumnya dengan menulis al-Quran dengan rumi itu, kerana huruf-huruf rumi itu tiada lengkap dan boleh mengubah dan meminda bunyi lafaz Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam, dan membawa salah serta bertukar erti dan tujuannya. Sedangkan memperkatakan sesuatu yang tiada datang daripada Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam itu adalah suatu bohong dan dusta ke atas Baginda Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam, dan membuat bohong dan dusta ke atas Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam itu adalah menempah dosa dan azab api neraka, sebagaimana hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim:
Ertinya: Barangsiapa berbuat dusta ke atasku dengan senghaja, maka
hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka jahanam.

Berkata al-Imam al-Ubbiyyu : Misal berbuat dusta itu ialah menuturkan hadits-hadits Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam dengan salah dan lahan (salah baris, huruf dan perkataan).

Jadi berdasarkan al-Qur'an sendiri, hadits dan ijmâ‘ umat Islam seperti yang disebutkan di atas, maka nyatalah menulis al-Qur'an dengan tulisan lain dari lisan Arab, seperti menulis dengan rumi yang tiada mempunyai huruf-huruf: غ , ع , ظ , ط , ض , ص , ش , ذ , خ , ح , ث dan ق pada hal lisan Arab mempunyai semua huruf tersebut itu. Cubalah bayangkan jika surah aIFatihah sahaja di tulis dengan huruf rumi itu, sudah pasti, tidak boleh tidak, ayat al-Qur'an ini akan cedera dan berubah, dan mengubah huruf al-Quran pada bacaan dan lafaznya itu adalah haram berdasarkan perintah Allah Subhânahu wa Ta’âlâ : Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartîl (dengan bacaan yang terang jelas dan betul segala hurufnya menurut ilmu tajwid).
(Surah al-Muzzammil: 4)

Adapun menulis dan membaca al-Qur'an itu dengan lain dari tulisan dan bacaan lisan Arab, pasti pada suatu masa kelak akan melemahkan pengetahuan al- Qur'an, khasnya pengetahuan praktis di bidang penulisan dan pembacaannya sebagaimana yang diperintahkan oleh syara‘. Lama kelamaan orang mungkin tidak akan berminat lagi dan bahkan tidak mahu mengaji dan belajar jawi,
belajar tulisan dan bahasa al-Qur'an, cukup dengan bergantung semata-mata kepada tulisan dan bacaan yang lain dari lisan Arab, seperti tulisan rumi atau Iain- Iain, sebagaimana hal ini sudahpun berlaku di Turki pada masa Mustafa Kamal Atartuk, siapa yang bertanggungjawab menghapuskan pemerintahan beraja atau bersultan di Turki, dan sekaligus membawa malap cahaya Islam di
sana, iaitu suatu jenayah dan dosa yang amat besar. Barang dijauhkan kita oleh Allah Subhânahu wa Ta’âlâ dari pekerjaan-pekerjaan dan perbuatan-perbuatan yang merosakkan agama Islam dan umat Islam itu. Wallahu alam…

Nota Kaki Cinta Agung:
*Fatwa 1/1994- (MENULIS QUR’AN DENGAN HURUF RUMI)
Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.


Friday, January 8, 2010

Sedikit Dan Berkualiti

Bismillahirrahman Ar-rahim...


Assalamualaikum warahmatullah. Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat bertemu dalam laman maya ini untuk saya berkongsi ilmu. Pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita baca dan renung satu hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud:

"Dari Aisyah Radiallahuanha telah berkata ia, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sebaik-baik amalan kepada Allah Subhanahu Wata'ala adalah perbuatan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit". (Hadis riwayat Al-Imam Muslim)."

Keterangan hadis:
1- Hadis di atas merujuk kepada kepentingan ISTIQAMAH di dalam beramal. Ramai yang boleh beramal tetapi berapa ramai yang boleh beristiqamah dalam beramal. Nabi Shallahu alaihi wassalam juga pernah bersabda: " Katakanlah: Aku telah beriman kemudian beristiqamahlah ".

2- Satu kata-kata yang baik untuk direnungkan:
  
" Beramal bukan untuk mencari KARAMAH tetapi untuk melahirkan ISTIQAMAH "

3- Islam mementingkan kebaikan kepada penganutnya dan tidak membebankan dengan perkara yang tidak mampu dilakukan oleh mereka. Satu kaedah fiqh menyebutkan " Addoror yuzal " bermaksud Kemudaratan itu dihilangkan. Di samping itu, Islam juga menitikberatkan soal kualiti dalam suatu pekerjaan supaya natijah yang keluar daripadanya adalah sesuatu yang baik. Allah suka kepada perkara yang baik.

Wallahu alam.


Nota Kaki Cinta Agung:
* Dalam beramal, biarlah sedikit asal diberkati Allah daripada banyak yang memudaratkan. Kalau banyak dan istiqamah lagi baik(^^).
* Semoga Allah menjadikan kita orang yang istiqamah dalam beramal...amin!
* Alhamdulillah dapat juga menulis walaupun bahan cukup2 je (sekodar). Maaf atas kesilapan!

Sunday, January 3, 2010

Dedikasi Buat "The Islamic Thinker"

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Ustaz Sufian a.k.a. "The Islamic Thinker"...^^(..jgn marah ye..)         













Tuan punye blog a.k.a  "Cinta Agung"







Assalamualaikum semua...baru-baru ini, seorang sahabat membuat permintaan supaya diuploadkan gambar semasa berada di Mesir. Sebagai menunaikan hajat beliau, saya akan mengupload sebahagian gambar. Harap saudara yang meminta berpuas hati dengan gambar ini...^^. Sekian.


Nota Kaki Cinta Agung:
* Sony Ericsson, Model: W610i sebagai kamera.
* Jurukamera: Cinta Agung & Ustaz Sufian. Lokasi: Di dalam kereta api Mumayyazah 2. Situasi: Perjalanan pulang dari Kaherah ke Damanhur.

Friday, January 1, 2010

Soal Hati 12: Isu Tahun Baru

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum dan salam tahun baru 2010 saya ucapkan kepada para pengunjung yang budiman. Moga kalian dirahmati oleh Allah Ta'ala hendaknya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah Ta'ala kerana masih memberi peluang kepada saya untuk meluahkan rasa melalui blog ini.

Tarikh 01/01/2010, beberapa isu dalam negara membuka tirai tahun baru antaranya;
  
Majalah Katolik Dibenar Guna Kalimah "Allah" 
Isu penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan katolik, "Herald" di mana pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan majalah tersebut menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya. Menurut hakim, sebelum ini Kementerian Dalam Negeri bertindak salah melarang majalah itu menggunakan perkataan terbabit. Hakim pembuat keputusan, Datuk Lau Bee Lan. Bagi saya, isu ini lebih elok dibicarakan di mahkamah Syariah tetapi mungkin atas sebab berkaitan dengan urusan perlembagaan negara, maka isu ini dibawa ke mahkamah sivil. Wallahu alam.


Saya sempat bertanyakan respon seorang sahabat sejurus mendapat berita tersebut berikut kenyataan yang diberi oleh beliau:
Abang: apapun ini isu cabang aqidah
Abang: maknanya terdedah dengan variasi pendapat
Abang: ia bukan usul
Abang: maka keputusannya bergantung kepada maslhat sejagat
Abang: kalau ada unsur penghinaan baru kita bertegas
Abang: kalau ada unsur keliru
Abang: baru kita bertegas
Abang: abg bagi contoh
Abang: ibnu taimiyyah mengharamkan bagi ucapan meri krismas
Abang: tapi qordowi sebaliknya
Abang: dengan alasan maslahat keadaan
Abang: kalau org yang kita nak bagi ucapan itu baik2 saja
Abang: atau mesra dgn kita


Ziarah Kasih 2010 
Dalam kesibukan orang ramai menyambut tahun baru semalam, terdapat golongan yang 'sibuk' dengan aktiviti menyedarkan masyarakat. Baca artikel ini, http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23956:ziarah-kasih-ibarat-doktor-temui-pesakit&catid=1:utama&Itemid=50. Setelah membacanya, hati ini sayu dan terharu dengan kesungguhan mereka yang ikhlas melakukan kerja dakwah ini. Semoga Allah memberikan ganjaran kepada mereka dan menjadikan aku seperti mereka.

Cekup...mengcekup...dicekup
Tahun baru ini juga membuka tirainya dengan operasi pencegahan maksiat. Buletin Utama menyiarkan beberapa pasangan telah dicekup dalam operasi tersebut. Tahun baru terus tercemar... 

Wallahu alam

Nota Kaki Cinta Agung:
* Membuka tirai tahun baru dengan sebuah buku " Siapa Itu Nabi-nabi " karangan Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin. Mood: Baru mula baca...^^
* Azam tahun baru: Membudayakan budaya IQRA dalam diri.