Sunday, January 24, 2010

Hukum Menulis Dan Membaca Al-Quran Dengan Huruf Rumi


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Semoga dalam rahmat Allah hendaknya. Sudah lama tidak menulis dalam blog ni atas sebab yang tertentu. InsyaAllah, kali ini saya akan kemukakan kepada saudara saudari pembaca sekalian berkaitan fatwa berkaitan hukum menulis dan membaca Al-Quran dengan huruf rumi. Semoga dapat manfaat bersama.

Apakah hukum menulis dan membaca al-Qur’an dengan huruf rumi ?

Sayugia diingat bahawa Allah Subhânahu wa Ta’âlâ menurunkan al-Qur’an itu dengan lisan bahasa Arab. Ini tersebut dalam banyak ayat, firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ: Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu, iaitu al- Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
(Surah Fushshilat: 3)

FirmanNya lagi:
Sesungguhnya kami menurunkan kitab itu sebagai al-Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab.
(Surah Yusuf: 2)

Dan agama telah memerintahkan supaya al-Qur’an itu dibaca menurut kaifiyyah lafaznya,
sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ : Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartîl (dengan bacaan yang terang jelas dan betul segala hurufnya menurut ilmu tajwid).
(Surah al-Muzzammil: 4)

Berkata ulama, bahawa Allah Subhânahu wa Ta’âlâ telah menzahirkan al- Qur’an itu dalam Lauh Mahfûzh dengan bahasa Arab, dan telah dibacakan oleh malaikat dengan bahasa Arab, dan diterima oleh Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam dengan bahasa Arab sementara umat Islam pula telah ijmâ‘ dan sekata yakni tiada khilaf (tiada bertelingkah) antara mereka bahawa wajib
ditulis dan dibaca al-Qur’an itu dengan lisan bahasa Arab.

Pendapat Mazhab-Mazhab
Telah sekata ulama mazhab-mazhab pada menegah dari membaca dan menulis al-Qur’an dengan bacaan dan tulisan yang lain dari bacaan dengan lisan Arab dan tulisan al-Qur’an. Di bawah ini ialah pendapat-pendapat mereka itu:

1. Berkata Syeikh al-Islam Abu al-Hasan al-Marghinani al-Hanafi yang bermazhab Hanafi: Ditegah membaca dan menulis al-Qur’an dengan bahasa dan tulisan Farsi dengan ijmâ‘ umat Islam, kerana membaca dan menulis dengan lisan dan tulisan lain dari lisan dan tulisan al-Qur’an itu boleh
membawa rosak makna dan lafaznya…

2. Al-Imam Ibnu Hajar asy-Syafi‘e dalam Syarh al-‘Ubab pula berkata: Bahawa menulis al-Qur’an al-‘Azhim dengan huruf Arab itu menyebabkan orang dapat menentang dan melawan lafaz al-Qur’an, yakni huruf yang bukan huruf Arab itu boleh membawa tiada i‘jaz (tiada dapat melawan penentangpenentang al-Qur’an), bahkan membawa pada pelat dan kacukan, serta rosak susunan nazham (aturan) al-Qur’an.

3. Menurut Mazhab al-Imam as- Syafi‘e: Tidak harus (haram membaca al- Qur'an dengan bacaan lisan yang lain dari lisan Arab di dalam sembahyang sama ada dia dapat membaca dengan bahasa Arab atau tidak dapat membaca dengan bahasa Arab. Begitu juga haram membaca al-Qur'an dengan lisan ‘ajam (lain dari lisan Arab) di luar sembahyang sepertimana kata al-Imam Ibnu
Hajar dalam fatwanya.

 4. Mazhab Hanbali pula menggariskan: Bahawa sembahyang jadi rosak dengan membaca al-Qur'an dengan lisan ‘ajam, sama ada orang itu lemah dari membaca dengan bahasa Arab atau tiada lemah. Mazhab ini memberi erti bahawa adalah ditegah sama sekali (haram) menulis dan membaca al-Qur'an dengan bahasa lain dari bahasa Arab.

5. Dan Mazhab Maliki: Adalah tidak harus sama sekali (haram) membaca al- Qur'an dan menulis al-Qur'an dengan lisan dan tulisan lain dari lisan dan tulisan Arab.

Demikian menurut al-'Allamah asy-Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf dalam kitabnya Manhaj al-Yaqin fi Bayan ‘an al-Waqfa al-Ahliyya min ad-Din. Asy-Syeikh Muhammad Hasanain ialah seorang ulama besar yang terkenal di al-Azhar, Mesir.

Pendapat ini merupakan sokongan kuat kepada pendapat al-Imam an-Nawawi seorang tokoh dan jaguh ulama Syafi‘eyyah dalam Syarh al-Muhadzdzab, katanya: Tiada harus membaca al-Qur’an dengan bahasa lain dari bahasa Arab sama ada dia boleh membaca Arab atau tiada boleh membaca Arab, sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang.

Menulis Hadits Dengan Huruf Rumi
Demikian juga menulis hadits dengan huruf rumi sama hukumnya dengan menulis al-Quran dengan rumi itu, kerana huruf-huruf rumi itu tiada lengkap dan boleh mengubah dan meminda bunyi lafaz Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam, dan membawa salah serta bertukar erti dan tujuannya. Sedangkan memperkatakan sesuatu yang tiada datang daripada Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam itu adalah suatu bohong dan dusta ke atas Baginda Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam, dan membuat bohong dan dusta ke atas Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam itu adalah menempah dosa dan azab api neraka, sebagaimana hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim:
Ertinya: Barangsiapa berbuat dusta ke atasku dengan senghaja, maka
hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka jahanam.

Berkata al-Imam al-Ubbiyyu : Misal berbuat dusta itu ialah menuturkan hadits-hadits Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam dengan salah dan lahan (salah baris, huruf dan perkataan).

Jadi berdasarkan al-Qur'an sendiri, hadits dan ijmâ‘ umat Islam seperti yang disebutkan di atas, maka nyatalah menulis al-Qur'an dengan tulisan lain dari lisan Arab, seperti menulis dengan rumi yang tiada mempunyai huruf-huruf: غ , ع , ظ , ط , ض , ص , ش , ذ , خ , ح , ث dan ق pada hal lisan Arab mempunyai semua huruf tersebut itu. Cubalah bayangkan jika surah aIFatihah sahaja di tulis dengan huruf rumi itu, sudah pasti, tidak boleh tidak, ayat al-Qur'an ini akan cedera dan berubah, dan mengubah huruf al-Quran pada bacaan dan lafaznya itu adalah haram berdasarkan perintah Allah Subhânahu wa Ta’âlâ : Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartîl (dengan bacaan yang terang jelas dan betul segala hurufnya menurut ilmu tajwid).
(Surah al-Muzzammil: 4)

Adapun menulis dan membaca al-Qur'an itu dengan lain dari tulisan dan bacaan lisan Arab, pasti pada suatu masa kelak akan melemahkan pengetahuan al- Qur'an, khasnya pengetahuan praktis di bidang penulisan dan pembacaannya sebagaimana yang diperintahkan oleh syara‘. Lama kelamaan orang mungkin tidak akan berminat lagi dan bahkan tidak mahu mengaji dan belajar jawi,
belajar tulisan dan bahasa al-Qur'an, cukup dengan bergantung semata-mata kepada tulisan dan bacaan yang lain dari lisan Arab, seperti tulisan rumi atau Iain- Iain, sebagaimana hal ini sudahpun berlaku di Turki pada masa Mustafa Kamal Atartuk, siapa yang bertanggungjawab menghapuskan pemerintahan beraja atau bersultan di Turki, dan sekaligus membawa malap cahaya Islam di
sana, iaitu suatu jenayah dan dosa yang amat besar. Barang dijauhkan kita oleh Allah Subhânahu wa Ta’âlâ dari pekerjaan-pekerjaan dan perbuatan-perbuatan yang merosakkan agama Islam dan umat Islam itu. Wallahu alam…

Nota Kaki Cinta Agung:
*Fatwa 1/1994- (MENULIS QUR’AN DENGAN HURUF RUMI)
Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.


1 comment:

hamba allah said...

Bagaimana kah seseorang itu harus pelajari al-quran sedang kn dia tidak tahu sedikit pun membaca dalam bahasa arab?