Saturday, June 30, 2007

SALMAN AL-FARISI DAN BANGSA PARSI DARI PERSPEKTIF

PEMIKIRAN ISLAM: ANALISIS DARI ASPEK MODAL INSAN

Pendahuluan:

Artikel ini bertujuan membincangkan persoalan dan isu bangsa Salman al-Farisi yang berpaksikan Islam dan kedudukannya dari perspektif Pemikiran Islam dengan perhatian ditumpukan kepada Salman al-Farisi yang berjaya mencapai kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan dalam sejarah Islam kerana ciri-ciri keunggulan dan keunikannya yang tersendiri. Dalam dunia globalisasi dan tanpa sempadan, kelihatan bangsa Salman al-Farisi memperlihatkan dominasi pemikiran dan penghayatan keislaman yang agak luarbiasa bagi menghadapi cabaran semasa daripada kuasa-kuasa non-muslim. Kajian ini cuba melihat aspek-aspek keunikan bangsa Salman al-Farisi hingga membolehkan bangsa tersebut berada pada kedudukannya hari ini.

Kandungan:

Salman al-Farisi – Latar belakang secara ringkas:

· Latar belakang Salman al-Farisi:

Salman al-Farisi yang terkenal dalam sejarah dan Pemikiran Islam, dilahirkan dengan nama Parsinya, Mahbeh (Mayeh) atau Ruzbeh, merupakan anak seorang dihqan dari sebuah perkampungan Parsi dikenali Jaiy @ Jian atau Isfahan lama. Dilahirkan dalam keluarga beranutan Majusi, dan menjadi salah seorang pengikut Majusi [Majus, dalam al-Qur’an]. Beliau bertukar daripada Majusi kepada Kristian dan menetap di kota yang kini dikenali Isfahan [Ispahan] pada sebahagian besar zaman remajanya.

Bapanya seorang yang berpengaruh dan kaya-raya. Dikatakan kerana kecintaan yang keterlaluan kepadanya telah menyebabkan beliau dikunci dalam rumah kerana kebimbangan tersebut. Beliau ditugaskan berkhidmat kepada agama Majusi dengan menjaga api yang mereka sembah daripada terpadam. Oleh kerana bapanya mempunyai tanah pertanian yang luas, dan sibuk dengan pekerjaannya, Salman ditugaskan mengambilalih tugas tersebut. Menerusi tugas ini, beliau berkenalan dengan agama Kristian dan akhirnya menganutinya.

Salman al-Farisi telah melalui proses pencarian akan hakikat kebenaran beberapa kali sebelum akhirnya bertemu dengan Islam dan beriman dengan Din Nabi Muhammad (s.a.w). Sepanjang menjadi penganut Kristian, beliau mengembara ke Syria, Mosul, Nasibin dan ’Ammuriyah mengikuti tokoh-tokoh Paderi Kristian yang berada di tempat tersebut. Tokoh paderi Kristian di `Ammuriyah memberitahunya [sewaktu beliau berusia 12 tahun] supaya mengikuti nabi akhir zaman yang dijanjikan, “yang merupakan pengikut Din Nabi Ibrahim (a.s).“

Dari Syria, beliau terus ke Wadi al-Qura untuk menemui nabi yang dijanjikan. Namun dalam perjalanannya itu, beliau telah dikhianati oleh puak Badwi Kalbi yang menjadi penunjuk arahnya dan akhirnya dijual sebagai hamba kepada seorang Yahudi, yang kerap mengunjungi kota Yathrib. Pada ketika beliau sampai ke sana, proses hijrah Nabi Muhammad (s.a.w) bermula. Salman al-Farisi dengan berdasarkan beberapa petunjuk dan tanda yang terdapat pada diri Nabi Muhammad (s.a.w) seperti diceritakan, menganuti Islam dan kemudian dibebaskan hasil usaha Nabi Muhammad (s.a.w) daripada perhambaan.

Salman al-Farisi meninggal dunia pada tahun 33 @ 35/654 @ 656 dengan usia 88 tahun dalam zaman pemerintahan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan.Beliau dikatakan meninggalkan tiga orang anak perempuan, seorang di Isbahan dan dua orang lagi di Mesir. Beliau dimaqamkan di Mada’in (dahulunya, Ctesiphon) yang terletak di 'Iraq sekarang. Maqamnya diserang pada Februari 2006.

Salman al-Farisi dan hubungannya dengan Nabi Muhammad (s.a.w):

Salman al-Farisi dikatakan cukup mengenali ciri-ciri kenabian Muhammad (s.a.w) menerusi maklumat yang diterima daripada para rahib Kristian yang diikutinya sebelum menganuti Islam. Beliau telah dibebaskan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) daripada perhambaan menerusi penebusan diri daripada seorang Yahudi.

Beliau menjadi salah seorang sahabat besar Nabi Muhammad (s.a.w) yang paling terkemuka, zahid, mempunyai hubungan yang sangat akrab dan kedudukan yang sangat tinggi di sisi baginda (s.a.w), meriwayatkan 60 buah hadith Nabi (s.a.w), pernah disaudarakan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) dengan Abu al-Darda' al-Ansari dan dikatakan pernah mendapat peluang melihat dan mencium tanda [khatm al-nubuwwah] pada bahagian belakang Nabi Muhammad (s.a.w).

Salman al-Farisi dan hubungannya dengan ‘Ali bin Abi Talib (kw):

Salman al-Farisi mempunyai sahsiah dan peribadi yang cemerlang, gemilang dan terbilang di kalangan sahabat Rasulullah (s.a.w). Beliau berperibadi merendah diri, tegas dan adil; dikatakan tidak mempunyai rumah sendiri sebaliknya beristirehat di bawah pokok; menerusi pemerhatiannya yang tajam terhadap fenomena kehidupan manusia di sekitarnya membolehkan beliau mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa “beliau terkejut melihat orang ramai menghabiskan kehidupan mereka untuk keduniaan, tanpa mengingati kematian.“

Beliau juga merupakan salah seorang daripada empat sahabat utama 'Ali bin Abi Talib (kw) yang kemudian dikenali dalam sumber-sumber Islam sebagai Syiah ’Ali selain daripada al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, ‘Ammar bin Yasir dan Abu Dhar al-Ghiffari. Beliau menyokong dan mendokong Ahl al-Bayt sepanjang sejarah hidupnya dari mula hingga akhir hayatnya, menyokong dan sentiasa bersama-sama Nabi (s.a.w) dan Ali bin Abi Talib (k.w) sepanjang kehidupannya sehingga beliau (r.a) meninggal pada zaman Khalifah 'Uthman bin ’Affan (r.a), menyokong, mempertahankan dan memperkasakan konsep kebenaran, keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat muslim dan serentak dengan itu, menentang dan memerangi sebarang bentuk penindasan, kezaliman dan kemungkaran dalam masyarakat muslim.

Sejarah memperlihatkan bahawa beliau pernah memegang beberapa jawatan pemerintahan di beberapa buah kota semasa era Khulafa' al-Rasyidin, pernah memimpin tentera seramai 30 000 orang semasa menjadi gabenor kota Parsi.

Salman al-Farisi dari segi keunikan dan keunggulannya sepanjang sejarah:

Salman al-Farisi menganuti Islam pada tahun 1/623, sewaktu Islam mulai berkembang ke luar Jazirah al-Arab, merupakan mawla Rasulullah (s.a.w) dan terkenal di kalangan sahabat Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai Abu Abdullah. Beliau dikatakan salah seorang yang dikehendaki untuk dicintai oleh Allah (s.w.t) selain daripada ’Ali bin Abi Talib, Abu Dhar al-Ghiffari dan al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi, bahkan merupakan salah seorang yang diinginkan syurga selain daripada Ali, Miqdad dan Ammar. Dikatakan orang pertama menterjemahkan al-Qur'an ke dalam bahasa Parsi dan termasuk salah seorang yang dirujuk dan disebut oleh al-Qur’an sebagai “illa al-ladhina amanu..[yang beriman @ mu’min]“ dengan keimanan yang sangat kuat.

Salman al-Farisi disebutkan oleh Rasulullah (s.a.w) dalam beberapa buah hadith sebagai ”Salman minna Ahl al-Bayt.” Ini disebabkan peristiwa berkaitan dengan Perang al-Khandaq [al-Ahzab] membabitkan Salman al-Farisi yang dianggap seorang yang kuat telah menjadi rebutan dua puak yang menginginkan beliau menjadi sebahagian daripada golongan mereka, iaitu al-Muhajirin dan al-Ansar, sehingga akhirnya memerlukan Rasulullah (s.a.w) campurtangan dan mengeluarkan hadith tersebut dan menganggapkannya sebagai salah seorang Al al-Bayt [kaum kerabat Rasulullah (s.a.w)]. Ali bin Abi Talib (k.w) sendiri turut mengatakan bahawa “huwa minna Ahl al-Bayt“ [dia sebahagian daripada kami Ahl al-Bayt]. Justeru, Salman al-Farisi juga turut dikenali sebagai Salman al-Muhammadi.

Salman al-Farisi menjadi sumber kekuatan dan sumber inspirasi golongan muslim mu’min berbangsa Parsi dahulu, kini dan akan datang kerana keilmuan yang tinggi dan mendalam dan juga disebabkan beliau mempunyai kesempatan dan peluang berada bersama-sama dengan Rasulullah (s.a.w) dalam majlis baginda (s.a.w) pada sebelah malam, sehingga dirinya disebut dengan perkataan “bahr al-‘ilm” [lautan ilmu] dan “makhsus bi al-‘ilm al-awwal wa al-akhir [teristimewa dengan keilmuan golongan terdahulu dan terkemudian] dan disenaraikan sebagai ‘ulama’ kerana beliau daripada Ahl al-Bayt. Justeru, Salman berpengaruh besar dalam konteks Pemikiran Islam:

  • Dalam konteks mencari kebenaran agama yang hakiki, pada awalnya beragama Majusi, kemudian beragama Kristian dan akhirnya beragama Islam.
  • Dari segi keilmuan, mempunyai pengetahuan mendalam tentang agama menerusi proses pengkajian, pendalaman, perbahasan dan penghujahan.
  • Dari segi sains, beliau berkepakaran dalam bidang sains dan teknologi khususnya kejuruteraan menerusi ide penggalian parit di sekeliling kota Madinah sebagai suatu strategi peperangan dalam perang al-Khandak [al-Ahzab] yang belum pernah diketahui masyarakat muslim Madinah tetapi mendapat perakuan Rasulullah (s.a.w) yang bersifat bijaksana (al-fatanah).
  • Dari segi pemikiran dan keintelektualan, bercitra ingin mengetahui hakikat sesuatu kebenaran sehingga sampai ke suatu tahap yang tidak berbelah bahagi, sentiasa berfikiran positif dan berpandangan jauh.
  • Dari segi keberanian dan perjuangan, bersemangat tinggi dan berwawasan jauh dalam mempertahankan sesuatu keyakinan sehingga sanggup memperagakan dan mempertaruhkan jiwa, nyawa, harta, keluarga dan segala-galanya.
Bersambung.....

No comments: