Friday, February 19, 2010

Cinta Tsauban Radhiyallahu ‘anhu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog Cinta Agung. Mudah-mudahan di dalam taufiq dan hidayah daripada Allah Ta’ala hendaknya. Di dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari R.A dan Muslim R.A, Nabi Muhammad S.A.W. pernah menyatakan tentang “ Halawatul Iman”, iaitu orang yang telah merasai bagaimana enak dan manisnya ni’mat iman itu sehingga dia tidak suka lagi menukar makanan dengan yang lain, atau hidupnya tenggelam di dalamnya.

Sabda Nabi S.A.W. bermaksud:
“ Ada tiga perkara, kalau orang telah dapat mencapainya akan mendapatlah dia bagaimana manisnya iman itu; 1) Bahawa Allah dan Rasul lebih dicintainya daripada apa jua pun yang lain. 2) Dan bahawa dia cinta kepada seseorang, tetapi cintanya itu tidak lain hanyalah kerana cintanya kepada Allah jua. 3) Dan bahawa dia tidak suka lagi kembali kafir setelah Allah mencabutkan dirinya daripadanya, sebagaimana bencinya akan dilemparkan ke dalam api yang menyala”

Seorang sahabat dan pembantu Nabi S.A.W. bernama Tsauban R.A. boleh dikatakan siang malam dia tidak menjauhi Nabi S.A.W. Seketika Rasulullah S.A.W. pulang ke rumah isteri Baginda, pada ketika itu pula Tsauban R.A. berpisah dengan Baginda. Pada suatu hari, Tsauban datang kepada Nabi S.A.W. dalam keadaan muram, terbayang diwajahnya kedukaan yang tengah menimpa hatinya:

“ Kenapa denganmu wahai Tsauban? Kelihatan wajahmu berubah, engkau muram sahaja”

Lalu Tsauban menjawab:

“ Wajahku berubah bukanlah kerana aku sakit ya Rasulullah! Cuma fikiranku jadi muram kerana memikirkan keadaan ini.  Jika aku berpisah agak sedikit lama dengan Baginda, sepilah hidupku rasanya. Baru rasa sepi itu hilang apabila aku telah bertemu dengan Baginda kembali. Maka teringatlah aku akan hari akhirat kelak. Cemas aku memikirkan. Apakah di akhirat itu aku masih akan bertemu dengan Baginda? Kerana jika Baginda masuk ke dalam syurga, nescaya tempat yang disediakan buat Baginda adalah tempat yang tinggi bersama nabi-nabi dan rasul-rasul. Dan jika aku diizinkan Tuhan masuk syurga, tentu tempatku jauh di bawah daripada tempat yang disediakan buat Baginda. Tentu di akhirat kita tidak akan bertemu lagi”

Demikianlah kisah cinta Tsauban R.A. kepada Rasulullah S.A.W. Sempena hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W., insyaAllah. Wallahu alam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Coming soon: 12 Rabi’ Awwal 1431 Hijrah (^^)

No comments: