Thursday, June 25, 2009

Tamsilan Untuk Wanita Solehah Dan Tolehah

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullah, semoga sahabat semua dalam rahmatNya selalu.Alhamdulillah syukur kepada Allah Ta'ala kerana masih memberikan nikmat oksigen dan nyawa untuk hidup di dunia ini.Tidak dilupakan selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah yang membawa Risalah untuk umat manusia seluruhnya dan rahmat sekelian alam.Amma ba'du...

InsyaAllah pada artikel kali ini, Cinta Agung tidak mahu memanjangkan bicara cuma berhasrat mengajak sahabat-sahabat untuk membaca dan meneliti 3 ayat Al-Quran di dalam Surah At-Tahrim.Pada tiga ayat terakhir di dalam surah ini, Allah Ta'ala mendatangkan satu tamsilam(perumpamaan) kepada wanita khususnya sebagaimana berikut:

"Allah memberikan contoh bagi orang-orang yang kafir, (iaitu) isteri Nuh dan isteri Luth.Kedua-duanya di bawah (penjagaan) dua orang hamba yang soleh diantara hamba-hamba Kami, lalu kedua-duanya berlaku khianat kepada suaminya.Maka suami kedua-duanya tidak dapat mempertahankan kedua-duanya daripada (seksa) Allah sedikitpun.Dikatakan kepada kedua-duanya:"Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk(10).Dan Allah memberikan contoh bagi orang-orang beriman (iaitu) isteri Firaun ketika dia berkata:"Ya Tuhanku, bangunkanlah rumah untukku di sisi Engkau di dalam Syurga dan lepaskanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan lepaskanlah aku daripada kaum yang zalim(11).Dan (lagi) Maryam bintu Imran yang menjaga kehormatannya.Kemudian Kami tiupkan ruh kepadanya (sehingga dia melahirkan Isa) dan dia membenarkan kalimat Tuhan dan Kitab-kitab-Nya dan dia termasuk orang-orang yang taat(12).
At-Tahrim 10-12

Nota Kaki Cinta Agung:
*Syurga seorang wanita adalah pada ketaatan kepada suaminya.Syurga seorang lelaki adalah pada ketaatan kepada ibu bapanya.
*Nabi pernah berkata kepada isterinya Khadijah R.A bahawa Allah telah mengahwinkan Baginda dengan beliau, Asiah(isteri Firaun), Maryam bintu Imran( ibu Nabi Isa a.s) dan Kalsum( kakak Nabi Musa a.s) di dalam Syurga.
Mereka adalah wanita-wanita istimewa di dalam Islam.

Saturday, June 20, 2009

Siapa Itu NABI, Siapa Itu RASUL?

Bismillahirrahman ar-Rahim...

Firman Allah Ta'ala:" Adalah manusia itu umat yang satu, maka Allah utuskan Nabi-nabi yang memberi berita gembira dan memberi ancaman..."

Agama merupakan suatu kepercayaan yang dianuti oleh manusia.Melalui petunjuk agama, kehidupan manusia akan lebih teratur kerana di dalam sistem beragama terdapat unsur-unsur menyuruh berbuat baik dan melarang daripada kemungkaran.Tetapi didalam banyak-banyak agama yang wujud, agama yang diterima oleh Allah hanyalah agama Islam.

Untuk menyampaikan agama Islam ini, Allah mengutuskan Rasul dan Nabi dikalangan manusia untuk melaksanakan tugas ini melalui perantaraan wahyu.Rasul yang wajib kita ketahui dan beriman adalah seramai 25 orang bahkan bilangan sebenar Nabi dan Rasul adalah ramai.Sifat yang wajib ada pada Nabi dan Rasul adalah BENAR, AMANAH, TABLIGH(menyampaikan) dan BIJAKSANA.

Tabligh:Sifat Wajib Para Nabi Dan Rasul
Mari kita tinjau sejenak pendefinasian Nabi dan Rasul di dalam sukatan pelajaran Agama Islam yang kita pelajari di sekolah.Nabi merupakan seorang lelaki yang diutuskan Allah dan diberikan kepadanya wahyu hanya untuk diri sendiri manakala Rasul pula adalah seorang lelaki yang diutuskan Allah dan diberikan kepadanya wahyu untuk dirinya dan disampaikan kepada orang lain.Lebih kurang begitu.Kalau kita perhatikan, di sana terdapat suatu kecacatan didalam pentakrifan kalimah Nabi iaitu "wahyu yang diterima hanya untuk dirinya sahaja" seolah-olah menafikan satu sifat wajib bagi seorang Nabi, iaitu TABLIGH(menyampaikan).

Di dalam kuliah tahun 4, U.Al-Azhar, Dr. Rabi' Yusuf Al-Jahmi seorang tenaga pengajar subjek Tafsir membahaskan isu ini.Beliau bertanya kepada kami:"..adakah wahyu yang diterima oleh seorang Nabi itu hanya untuk dirinya sahaja tanpa perlu disampaikan kepada manusia?".Beliau menambahkan lagi:"...tidak, tetapi pengutusan Nabi-nabi ini adalah untuk memperbaiki, mentajdid dan menguatkan lagi Syariat yang dibawa oleh para Rasul 'Alaihumussolatu Wassalam...".Ternyata maklumat ini memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada saya terhadap definasi Nabi.Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, setiap Rasul datang dengan membawa syariat berbeza-beza sebagai contoh di dalam syariat Nabi Musa a.s, cara untuk bertaubat adalah dengan membunuh diri tetapi di dalam syariat Nabi Muhammad S.A.W., cukup hanya melafazkan kalimah istighfar dan menyesal.

Kesimpulan
Jelas kepada kita bahawa semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul diutuskan untuk menyampaikan risalah Islam dan wahyu diterima bukan hanya untuk dirinya sahaja bahkan untuk disampaikan kepada umatnya.Sekiranya wahyu itu hanya untuk dirinya sahaja, maka ini menafikan sifat MENYAMPAIKAN yang wajib ada pada setiap Nabi dan Rasul 'alaihimussolatu Wassalam.Wallahu 'alam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Semua Rasul adalah Nabi tapi bukan semua Nabi itu adalah Rasul.
*Menulis sambil menunggu oral test(syafawi) untuk esok hari.
*Maaf jika ada salah silap dalam tulisan ini.Sekadar berkongsi ilmu...(^^)v

Wednesday, June 17, 2009

E-VOIZ merajuk...VOIP memujuk


Bismillahirrahman Ar-rahim... Assalamualaikum semua(^^), Erm, Alhamdulillah boleh lagi update blog ni.Akhir-akhir ni, makin banyak idea nak tulis kat blog ni.Tapi nak update selalu tak dapatlah sebab di rumah tak ada internet. Cerita: Dah hampir 3 minggu Cinta Agung tak telefon Malaysia.Mak dah berkali hantar SMS katanya, "bila nak telefon umah?"Kesian Mak...
Sepanjang berada di Mesir ni, saya hanya guna e-voiz untuk telefon Malaysia.Nak tahu apa itu E-voiz?E-voiz merupakan talian melalui internet tapi caranya kena beli nombor pin yang berharga LE 20 bersamaan USD 5.Sejak kebelakangan ni, e-voiz tak dapat nak guna.Sedih betul....Mungkin E-voiz merajuk sebab kemunculan VOIP sejak kebelakangan ini yang menarik minat ramai pengguna.VOIP macam E-voiz juga tapi harganya lebih mahal lagi kalau tidak silap LE 54.50.

Akhirnya, VOIP berjaya memujuk hati ini untuk menggunakannya walaupun dulu agak berat juga nak guna.Mahal sangat....Tapi kalau tak guna, tak dapatlah telefon Malaysia.Kesian e-voiz....Walau apapun, terima kasih E-voiz kerana banyak berjasa kepada pengguna-pengguna di sini.Wassalam



Nota Kaki Cinta Agung:
*LE(Genih) merupakan matawang Mesir

Sunday, June 14, 2009

Sampaikan Walau Satu Ayat

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullah kepada semua pembaca.Alhamdulillah, hari selesai satu subjek untuk exam fasa terakhir ni iaitu Al-Quran.Cuma sekarang menunggu seminggu lagi untuk Syafawi(Oral test).Semoga Allah memudahkan urusanku dan sahabat-sahabat semuanya.Hari ini, Cinta Agung ingin membawa sahabat-sahabat untuk mengisi diri dengan satu hadith.Tapi sebelum itu, marilah kita sedekahkan Al-fatihah kepada Syeikh Fathi Yakan, seorang pejuang dan pendakwah yang terkenal yang telah kembali ke rahmatullah.Moga rohnya ditempatkan bersama-sama para Nabi, Syuhada dan orang soleh.Amin....

Baik, hadith yang ingin saya kemukakan kali ini berbunyi;


Ballighuu 'anni walau ayat...
Bermaksud:
"Sampaikanlah oleh kamu daripadaku walaupun satu ayat..."
Berdasarkan hadith ini, para ulama mengatakan terdapat 3 perkara penting di dalamnya iaitu:
1-Taklifan iaitu satu bebanan yang berupa kewajiban kepada individu yang beragama Islam untuk menyampaikan risalah Nubuwwah.Lafaz 'amr(perintah) iaitu " Ballighuu "di dalam hadith tersebut membawa hukum wajib.Di dalam Usul Fiqh, lafaz perintah membawa kepada hukum wajib selagimana tiada qorinah@ tanda yang mengubah hukum wajib tersebut kepada hukum-hukum lain.
2-Tasyrifan iaitu kemuliaan kepada mereka yang memikul tugasan menyampaikan Islam kerana kerja-kerja menyampaikan Islam merupakan kerja para Nabi-Nabi Alaihimussolatu Wassalam.Hal ini dapat kita lihat melalui penggunaan lafaz " 'anni " bermaksud daripadaku menuju kepada batang tubuh Nabi S.A.W. yang mulia.
3-Takhfifan iaitu suatu keringanan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. untuk menyampaikan dakwah Islam setakat yang termampu.Nabi S.A.W. menggunakan lafaz " walau ayat "merujuk kepada keringanan ini.
Jadi kesimpulannya, tugas menyampaikan dakwah Islami merupakan tugas yang wajib dilaksanakn oleh umat Islam tidak mengira kerjaya yang diceburi.Sekiranya tidak mampu untuk melaksanakan sepenuhnya tugas itu, buatlah sekadar yang termampu.Satu kaedah ada menyebut:"Setiap apa yang tidak diketahui semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya".Wallahu 'alam.
Nota Kaki Cinta Agung:
*....(^^)v....selamat membaca!!!

Tuesday, June 9, 2009

Soal Hati 5:Menutup Mata Selamanya(-,-)


Bismillahirrahman ar-rahim...

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua.Kaifa haalukum?Moga sihat dan didalam naungan Allah hendaknya.Allah....ingatkan nak update blog Cinta Agung ni tapi tak dapat pulak.Bahan dah ada cuma program Microsoft Word pula tak ada kat Pc ini.Terkilan betul....Jadi entri kali ini sekadar luahan hati dan Cinta Agung bagi nama "Soal Hati 5:Menutup Mata Selamanya".

Berita Kematian

Tengah-tengah termenung, teringat pula beberapa mesej yang Cinta Agung dapat minggu ni.

Mesej 1: Hari Sabtu baru ni, satu mesej daripada Ibu.Katanya, suami kepada sepupu saya telah meninggal dunia akibat penyakit lelah.Seingat Cinta Agung, perkahwinan mereka baru 3 tahun lebih dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Mesej 2: Malamnya pula, us Wadi bagi tahu, Baba Husin Siraji yang berasal dari Thailand telah meninggal dunia di Makkah.

Mesej 3: Hari ini, dapat lagi satu mesej daripada seorang teman melalui Yahoo Messenger.Katanya Us Wan Salimi, graduan U. Al-Azhar Dumyat telah meninggal dunia semalam akibat pendarahan di kepala kesan kemalangan beberapa bulan yang lalu.

Kematian dan Kehidupan Sebagai Ujian

Allah telah berfirman: "Dan Kami akan mencuba kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan daripada harta benda, nyawa dan hasil tanaman.Dan berita gembira kepada orang-orang yang bersabar.Orang-orang yang apabila ditimpa ke atas mereka suatu musibah, mereka lantas berkata:Sesunggahnya daripada Allah kami datang dan kepadaNya kami kembali...."Al-Baqarah.

Semua ujian ini adalah untuk mengingatkan mereka sama ada yang sedar ataupun yang leka bahawa hidup ini hanya sementara.Kematian merupakan satu tazkirah daripada Allah Ta'ala supaya manusia membuat persiapan untuk menghadapinya.Dengan mengingati kematian, hati-hati ini akan lebih lunak untuk menerima kebaikan.Lupakah kita akan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: "Perbanyakkanlah oleh kamu daripada mengingati penghapus kepada kelazatan".Kata Abu Sufyan R.A : "Alangkah jauhnya perjalanan tapi amat sedikitnya bekalan" dan kata Sayyidina Ali R.A: "Manusia itu apabila mereka mati baru mereka sedar"...Sedar akan sedikitnya amalan tapi saat itu, penyesalan hanya sia-sia.
Jadi, Cinta Agung nasihati diri ini dan sahabat-sahabat supaya bertakwa kepada Allah dan mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian ini.Dan berdoalah kepada Allah supaya dimatikan kita dalam Husnulkhotimah.Amin...

Wallahu alam.


Nota Kaki Cinta Agung:

*Contoh artikel yang tidak ada persediaan, inilah jadinya.Untuk ayat Al-Quran tu, sahabat-sahabat boleh rujuk terjemahannya untuk dapatkan kepastian.Maaf salah silap(^^)

*Bekal pahala yang tidak putus:
1-Sedekah jariah
2-Ilmu yang bermanfaat
3-Anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapa mereka.







Thursday, June 4, 2009

Soal hati 4:Sangka Baik

Bismillahirrahman ar-rahim…

Assalamualaikum kawan-kawan, apa khabar?Moga dalam keadaan sihat dan dirahmati Allah Ta’ala hendaknya.Terima kasih kerana sudi lagi menjenguk blog Cinta Agung ini.Cinta Agung ingin berkongsi satu kata-kata buat muhasabah bersama.

“Aku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar dan cantik, ternyata Dia berikan kaktus yang berduri.Aku minta kupu-kupu, Dia berikanku ulat bulu.Aku sedih dan kecewa.Namun kemudian, kaktus yang diberi itu berbunga indah sekali dan ulat bulu itu menjadi kupu-kupu yang sangat cantik.Itulah cara Tuhan, indah pada masanya.Dia tidak memberi apa yang kita harapkan, tapi Dia memberi apa yang kita perlukan.Kadang-kadang kita sedih, terluka dan kecewa.Tapi ingat, jauh di atas segalanya Dia sedang mengaturkan apa yang terbaik untuk hidup kita. HUSNUL ZHON BILLAH(Bersangka baik dengan Allah), itulah yang terbaik buat kita”

Itulah Allah, sayangnya Dia kepada kita lebih daripada kasih dan sayang seorang ibu kepada anaknya.Dengan sifat kasihNya, kita hidup di dunia ini.Dengan sifat sayangNya, kita diberikan pahala apabila berbuat kebaikan.Dengan sifat GhoffarNya, dosa kita diampunkan.Dengan RahmatNya, diberikan kita Syurga.Itulah Allah, tuhanmu dan tuhan bapa-bapa kamu terdahulu.Tiada tuhan melainkan Dia.Wallahu alam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Terima kasih kepada Adik atas mesej ini.Semoga Allah merahmati dan memperbaiki keadaanmu di dunia dan akhirat.Amin.
*Tulisan kecik?Ye ke?Aduan anda diterima.Terima kasih atas kecaknaan anda.
*Muhasabah hari Jumaat.

Tuesday, June 2, 2009

Assalamualaikum...

Bismillahirrahman Ar-rahim....

Assalamualaikum semua?Sihat?Syukur pada Allah(^^).Jam kat komputer dah pukul 12.48 pagi tapi mata ni tak mahu juga nak pejam.Mula fikir-fikir idea untuk dikongsi bersama sahabat semua.
Hello!Hai!Ni contoh sapaan sesetengah orang kepada orang lain.Mungkin cara ini menunjukkan kepada kemesraan.Tapi dalam Islam, lafaz Assalamualaikum menjadi syiar kepada agama dan penganut itu sendiri.Apa tidaknya, lafaz salam itulah yang membezakan antara orang Islam atau orang kafir.Di Mesir contohnya, antara penduduk Mesir adalah terdiri daripada orang Kristian Ortodok.Muka lebih kurang je.Tak tahu nak bezakan antara orang Islam dan Kristian khususnya lelaki.Bagi lelaki, biasanya ada lambang salib di tangan mereka dan perempuan pula, tidak pakai tudung dan berpakai serba hitam(kebanyakannya orang-orang tua).Kadang-kadang tersasul juga bagi salam dekat mereka.Pernah sahabat tegur penulis masa bagi salam dekat orang Kristian dan katanya kalau nak tahu orang tu Islam ataupun tidak bila kita bagi salam mereka mengangkat tangan mereka.Itu sebagai contoh situasi di Mesir.Mungkin sahabat-sahabat pernah mengalami pengalaman yang sama.
Berbalik semula kepada topik SALAM ni, apa maksud Assalamualaikum?Maksudnya Salam sejahtera ke atas kamu...maknanya didalam salam ada doa.Doa kesejahteraan.Kalau doa ni kita dapat berulangkali, alangkah beruntungnya.Masuk rumah pun bagi salam...masuk kelas pun bagi salam.Dengan salam, kemesraan berputik.Daripada yang tidak kenal, jadi kenal..yang sudah kenal semakin erat perkenalan mereka.Berkat salam.

Nabi S.A.W Sebagai Contoh
Dalam apa-apa hal, samaada yang berkaitan urusan duniawi ataupun ukhrawi, Nabi Muhammad S.A.W. menjadi tempat rujukan umat Islam melalui sunnah Baginda.Begitu juga dalam bab salam ini.Pernah diceritakan oleh Sayyidina Ali R.A bahawa beliau cuba nak bagi salam kepada Rasulullah tapi Baginda terlebih dahulu memberi salam.Macam mana kita pula?Kadang-kadang kita malu nak beri salam.Jatuh standard kononnya.Tapi Hello...Hai...tak apa pula.Masa jawab telefon sebagai contoh, mana yang didahulukan Hello ke Salam?Sama-samalah muhasabah.

Hukum Beri Dan Jawab Salam Orang Bukan Islam
Sebagai berkongsi ilmu, apa hukumnya beri dan jawab salam orang bukan Islam?Ulama-ulama mengatakan HARAM hukumnya memberi dan menjawab salam orang bukan Islam kerana mereka tidak layak untuk mendapat doa daripada orang Islam.Kalaulah orang kafir bagi salam dekat kita, cukup hanya menjawab 'waalaikum' tanpa disertakan lafaz 'salam'.Wallahu alam.
1.27 pagi, sekejapnya masa berlalu.Rasanya setakat tu aje idea yang ada, Alhamdulillah.Moga bagi manfaat kepada kita semua.
Penulis tinggalkan sahabat-sahabat dengan satu hadith daripada Baginda S.A.W. :"Sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah orang yang terlebih dahulu memberi salam"-Riwayat Abu Daud.Wallahu alam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*.....Waalaikumussalam Warahmatullahi Barakatuh.Kalau jawab salam, jawablah dengan sebaik-baik jawaban.Wallahu alam...(^^)v