Monday, July 27, 2009

Engkau berbohong!!!

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum w.b.t.Alhamdulillahi rabbil 'alamin, wassolatu wassalam 'ala rasulihil amn wa 'ala alihi wasohbihi ajmain.Amma ba'du...

Insya-Allah, pada kesempatan masa kali ini Cinta Agung ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat suatu kisah menarik yang berlaku antara Imam Abu Hanifah r.a dan Khalifah Abu Ja'far al-Mansur.Tetapi sebelum itu, mari kita sama-sama menyelusuri dan mengetahui serba sedikit riwayat hidup Imam kepada Mazhab Hanafi ini.

Riwayat Hidup
Imam Abu Hanifah al-Nu'man bin Thabit al-Taimi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.Seorang mujtahid yang wara', bertaqwa, lemah-lembut, zuhud serta tinggi ilmunya.

Datuknya yang berasal dari Kabul, Afghanistan memeluk Islam pada zaman Saidina Umar.Saidina Ali Karamallahu Wajhah pernah mendoakan keberkatan keturunan Thabit, iaitu bapanya.Lantas dengan berkat doa Saidina Ali r.a, lahirlah Imam Abu Hanifah yang bakal digelar dengan gelaran Imam al-A'zam yang membawa maksud "Imam Yang Terunggul".

Imam Abu Hanifah merupakan seorang usahawan yang berjaya hasil warisan perniagaan tekstil turun temurun daripada datuknya.Beliau dikenali dengan sifat pemurahnya dan sanagt mementingkan penampilan diri dengan memakai pakaian yang mahal dan kemas.Antara guru Imam Abu Hanifah r.a:
-Saidina Anas bin Malik r.a
-Saidina Sahl bin Sa'ad al-Saidi r.a
-Saidina Abu Thufail Amir
-Imam Atha' bin Abi Rabbah

Imam Abu Hanifah r.a telah berjaya melahirkan ulama' antaranya:
-Imam Abu Yusuf al-Ansari r.a
-Imam Muhammad bin al-Hassan al-Syaibani
-Imam Hassan bin Ziad al-Lu'lu al-Kufi
-Imam Zufar al-Huzail al-Kufi

Mazhab Hanafi merupakan mazhab yang paling ramai pengikutnya diseluruh dunia dengan menggunakan cara pengistinbatan Madrasah al-Ra'yi dan bermula dari Kufah, Iraq.Imam Abu Hanifah r.a merupakan pengasas kepada satu cara pemikiran unggul yang tidak ada di dalam Madrasah Hadith, iaitu Fiqh Iftiraadhi.Pemikiran ini menggunakan kaedah qias yang menyelesaikan bayangan permasalahan yang hakikatnya belum wujud pada zaman tersebut.Sebagai contoh, Imam Abu Hanifah r.a pernah membahaskan hukum tidak sah tawaf menaiki burung.Beliau turut membahaskan jatuhnya hukum penzina lelaki walaupun dia membalut zakarnya dengan kain.Bagi contoh pertama, jika direalitikan pada zaman sekarang menepati hukum tawaf menaiki helikopter manakala bagi contoh kedua pula, menepati hukum penzina yang menggunakan kondom.

Imam Syafi'i r.a pernah berkata:
"Bagi manusia jika mengkehendaki ilmu fiqh, cukup dengan Imam Abu Hanifah sahaja"

Imam Abu Hanifah r.a wafat pada tahun 150 Hijrah.

Dialog Imam Abu Hanifah r.a dan Abu Ja'far al-Mansur
Suatu hari, Imam Abu Hanifah dilantik sebagai qadhi oleh Abu Ja'far al-Mansur iaitu pemerintah pada waktu itu.Beliau menolak jawatan tersebut aras dasar takut terlibat dengan kezaliman pemerintah.Sebagai hukuman, beliau disebat sebayak sepuluh kali sebatan setiap hari.Walaupun disebat setiap hari, beliau tidak pernah berganjak daripada pendiriannya.

Akhirnya, Imam Abu Hanifah membuat helah yang membuatkan Abu Ja'far tidak mampu memaksanya lagi.Apabila ditanya mengapa menolak jawatan tersebut, Imam Abu Hanifah menjawab:
"Aku tidak layak menjadi qadhi".Lantas Abu Ja'far membalas, "Engkau berbohong!".Lalu Imam Abu Hanifah menjawab, "Engkau sendiri mendakwa aku berbohong, bagaimana engkau ingin melantik seorang pembohong yang tidak layak untuk dijadikan qadhi?".

Dengan helah tersebut, Abu Ja'far mati akal lantas meracuni Abu Hanifah melalui minumannya.Syahidnya Imam Abu Hanifah r.a di dalam keadaan sujud.Daripada kisah ini, kita dapati Imam Abu Hanifah sangat peka dan bijak membaca strategi politik yang ingin memperkudakan beliau demi kelangsungan pemerintahan Abu Ja'far yang zalim.Wallahu 'alam,
Wassalam...(^^)

Nota Kaki Cinta Agung:
*Nabi S.A.W bersabda:"Dua golongan daripada manusia, jika baik kedua-duanya, maka baiklah manusia seluruhnya dan jika buruk kedua-duanya, maka buruklah manusia seluruhnya iaitu al-umara wal 'ulama'(pemerintah dan orang 'alim).