Sunday, July 26, 2009

Matlamat Pensyariatan Dalam Islam

Islam merupakan agama syumul yang meliputi semua aspek kehidupan manusia.Al-quran, Sunnah, Qias dan Ijmak merupakan sumber yang disepakati di samping terdapat sumber-sumber yang diperselisih seperti Istishab, Istihsan, Maslahah Mursalah dan lain-lain lagi yang digunakan oleh para mujtahijin untuk mengeluarkan hukum bagi sesuatu permasalahan.Kata kunci “Mendatangkan kemudahan dan menghalang segala bentuk kemudaratan” menjadikan Islam sebuah agama yang Universal di mana ia merupakan matlamat dalam persyariatan setiap hukum-hakam di dalam Islam.


Definisi Matlamat Syariat

Matlamat Syariat(Maqosid Syarie) merupakan makna-makna dan tujuan yang diambil berat dalam Islam pada semua hukumnya ataupun dengan kata lain, matlamat akhir dalam Syariat dan rahsia-rahsia yang diletakkan oleh Allah Ta’ala pada setiap hukum-hakamnya.Mengetahui matlamat syariat merupakan perkara yang penting kepada semua manusia sama ada mereka itu mujtahid ataupun tidak.Bagi mujtahid, mengetahui matlamat syariat membantu mereka untuk mengeluarkan hukum dan memahami nas-nas dan bagi selain mujtahid membantu mereka mengetahui rahsia pensyariatan.


Syarat Matlamat Syariat

Di sana terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi pada matlamat syariat iaitu;

1-Matlamat syariat itu mestilah thabit iaitu kewujudan makna-makna pensyariatan dalam keadaan diyakini seperti pensyariatan perkahwinan dan pengharaman zina.

2-Matlamat syariat itu mestilah jelas di mana para fuqaha tidak berselisih dalam menentukan makna pensyariatan tersebut seperti memelihara nasab merupakan sebab kepada pensyariatan perkahwinan.

3-Ketetapan dalam matlamat syariat iaitu, bagi makna pensyariatan suatu sukatan ataupun had yang tidak diragui padanya yang mana tidak terlalu melampau dan tidak terlalu ringan.Sebagai contoh; memelihara akal merupakan sebab diharamkan arak dan wujudnya pensyariatan had disebabkan sifat mabuk.Sifat mabuk ini menyebabkan seseorang bertindak di luar kawalan orang yang berakal.

4-Matlamat syariat itu mestilah berterusan tidak berubah dengan berubahnya masa dan tempat seperti kemampuan untuk bagi nafkah pada mensyaratkan kufu dalam nikah.

Apabila keempat-empat syariat dipenuhi, maka kewujudan matlamat pensyariatan diyakini.


Pembahagian Matlamat Syariat

Matlamat Syariat berdasarkan kekuatan dan kesannya dibahagikan oleh para ulama kepada 3 jenis;

1-Ad-daruriyat(Keperluan)

2-Al-haajiyat(Kehendak)

3-At-tahsinat(Kesempurnaan)


1-Ad-daruriyat(Keperluan);

merupakan kemaslahatan(kebaikan) yang amat penting kepada manusia.Apabila hilangnya maslahat ini, akan hilang hidup di dunia dan berleluasanya kerosakan.Keperluan ini terbahagi kepada 5 perkara: Agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

a) Agama: Allah mewajibkan melaksanakan rukun Islam yang lima(Akidah dan Ibadah) dan untuk memeliharanya, disyariatkan jihad dan diberi hukuman kepada orang membatalkan, menghalang dan murtad daripada agama.

b) Jiwa: Allah mensyariatkan perkahwinan yang membawa kepada kekalnya manusia dengan kelahiran dan keturunan.Untuk memeliharanya, Allah mewajibkan mengambil keperluan asas seperti makanan, minuman dan pakaian dan mewajibkan hukuman ke atas pembunuh melalui pelaksanaan qisas, diyat, dan kaffarah.Dengan hukuman tersebut, pemeliharaan tehadap jiwa dan kehidupan wujud.

c) Keturunan dan Nasab: Disyariatkan perkahwinan untuk mengekalkan keturunan dan diharamkan penzinaan dan qazaf(pertuduhan zina ataupun menafikan nasab terhadap perempuan baik).Bagi kesalahan zina dan qazaf, Allah mewajibkan had untuk menjaga nasab supaya tidak bercampur nasab dan memastikan kekalnya keturunan manusia yang baik.

d) Akal: Perlu dijaga dan disuburkan dengan ilmu dan pengetahuan.Semua perkara yang merosakkan akal adalah diharamkan seperti meminum minuman yang memabukkan dan pengambilan dadah.Bagi pesalah yang melakukan kesalahan tersebut, diwajibkan hukuman yang setimpal.Semua itu untuk memelihara akal sebagai tempat pentaklifan.

e) Harta: Allah mewajibkan berusaha dan bekerja untuk memperoleh rezeki yang halal melalui proses mualamat antara manusia seperti jual beli, upah, hadiah, syarikat dan sebagainya.Untuk memeliharanya, diharamkan perbuatan mencuri dengan hukuman potong tangan terhadap pencuri dan diharamkan menipu, khianat amanah, riba, memakan harta orang lain secara batil dan diwajibkan jaminan atau ganti terhadap barangan yang rosak ataupun hilang.Sebab perlunya dipeliharanya harta ini kerana ia adalah cermin kehidupan dan keperluan terhadapnya yang bersangatan.


2-Al-haajiyat(Kehendak);

iaitu satu maslahat yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan hidup mereka dan mengangkat segala kesusahan.Apabila ianya tiada, maka tidak akan memudaratkan kehidupan manusia tidak seperti Daruriyyat tetapi hanya menyebabkan kesulitan dan kesukaran.Kesemua jenis-jenis pensyariatan dalam Islam mengangkat segala kesukaran sebagai keringanan dan kemudahan kepada manusia.Sebagai contoh dalam urusan ibadah; Islam mensyariatkan rukhsoh qasar dan jamak bagi solat serta dibolehkan berbuka puasa bagi orang yang bermusafir, menunaikan solat secara duduk bagi orang yang tidak mampu berdiri.Dalam urusan muamalat pula, diharuskan akad-akad yang boleh memenuhi hajat manusia seperti jual beli, upah, syarikat dan sebagai mana akad ini boleh diputuskan seperti penceraian dengan sebab tertentu.


3-Al-tahsinat(Kesempurnaan);

iaitu maslahat yang diambil sebagai pelengkap dan perhiasan kehidupan.Jika ianya tiada, tidak akan membawa apa-apa mudarat dan kesusahan dalam hidup cuma terdapat kekurangan pada pandangan manusia.Ia merupakan tahap yang ketiga dan terdapat dalam urusan ibadah, muamalat dan adat(kebiasaan).Contoh dalam ibadah, disyariat bersuci dan menutup aurat dalam solat, berwangi-wangi dan memakai pakaian yang elok untuk ke masjid atau perhimpunan.Dalam muamalat, dilarang berjual beli barangan najis dan yang memudaratkan seperti arak dan suruhan untuk berbuat baik kepada isteri.Dalam adat pula, perlu menjaga adab-adab makan dan minum, dilarang makan atau minum yang najis dan memudaratkan dan perlu memuliakan makan, minuman, pakaian dan lain-lain lagi.Wallahu alam


Nota Kaki Cinta Agung:

*Sedikit terjemahan daripada Kitab Kuliah Kaedah-kaedah Fiqh Tahun 4

*Jika ada sebarang kesalahan harap ditegur(^^)v

No comments: