Wednesday, July 29, 2009

Harapan...

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.Mari kita hayati seni kata nasyid ini:


Allahu ya Allah...

Allahu ya Allah...

Allahu ya Allah...


Berkorban apa saja

Agar Islam mulia

Tingkatkan Iman dan Taqwa

Nilai hamba disisi Allah


Di dunia ini tiada undang-undang mulia

Selain mengambil panduan Al-Quran, Sunnah Rasulullah

Ayuh mari bersama kita bersatu perjuangkannya

Agar kita berjaya dunia dan akhirat

Moga Allah yang Pengasih meredhai kita


Berkorban apa saja

Agar Islam mulia

Tingkatkan Iman dan Taqwa

Nilai hamba disisi Allah


Mari kita tegakkan tuntutan kalimah Allah

Itulah tugas kita sebagai khalifah di dunia

Berkorbanlah jiwa dan raga

Rela menempuh segala dugaan

Biarlah jasadmu terkorban atau hilang harta didunia

Asalkan syariat Allah dapat diperjuangkan

Moga berseri dunia dengan cahaya ISLAM


Allahu ya Allah...

Allahu ya Allah...

Allahu ya Allah...


Lagu:Berkorban Apa Saja

Nyanyian:Nazri Johani & The Zikr



Nota Kaki Cinta Agung:
*Semoga terhibur...
*Buat karaoke sorang diri, masa kesunyian(^-)




Tuesday, July 28, 2009

Apa Respon Anda....

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum w.b.t...Hari ini, apabila dibuka halaman kosmo.com.my, saya dapati satu berita dari tanah Palestin yang menyatakan peningkatan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat.Berikut adalah keratan akhbar yang saya petik daripada akhbar tersebut:


BEBERAPA penduduk haram Yahudi mengubah suai sebuah rumah di Baitulmaqdis Timur semalam.


BAITULMAQDIS - Jumlah penduduk haram Yahudi di Tebing Barat meningkat kepada 304,569 orang, lapor sebuah akhbar Israel semalam.

Akhbar Haaretz melaporkan, jumlah itu adalah 2.3 peratus lebih tinggi berbanding 289,600 orang pada 2008 dan ia merupakan angka tertinggi setakat ini.

Pendudukan haram itu sekali gus mencabar permintaan Amerika Syarikat (AS) yang mahu Israel menghentikan semua bentuk penempatan bagi memudahkan proses damai dengan Palestin.

Jurucakap tentera, Mejar Guy Inbar enggan memberikan sebarang komen berhubung perangkaan itu.

Sementara itu, Utusan Khas Presiden AS, Barack Obama iaitu George Mitchell kembali ke Israel semalam untuk menemui Presiden Israe, Shimon Peres dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu hari ini. - AP

Bagi saya, perkara ini tidak pelik kerana puak-puak Yahudi ini memang tidak tahu bahasa pendamaian.Apa yang mereka tahu adalah bahasa Jihad dan peperangan.Tapi malangnya, ada juga dikalangan orang Islam yang sanggup diperkudakan oleh Yahudi La'natullah ini.Semoga Allah menghancurkan golongan-golongan ini.Wallahu 'alam...

Nota Kaki Cinta Agung:

*......(@-@)

Alternatif....





Assalamulaikum w.b.t.....
Kepada sesiapa yang ingin sangat bergaduh, boleh menggunakan teknik sebagaimana yang terdapat pada gambarajah di atas.Mudah, dan selamat....
(@-@)v.
Wassalam.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Gunakan jalan penyelesaian yang terbaik...bawa2 la berbincang.Tak perlu bertumbuk!!!

Monday, July 27, 2009

Engkau berbohong!!!

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum w.b.t.Alhamdulillahi rabbil 'alamin, wassolatu wassalam 'ala rasulihil amn wa 'ala alihi wasohbihi ajmain.Amma ba'du...

Insya-Allah, pada kesempatan masa kali ini Cinta Agung ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat suatu kisah menarik yang berlaku antara Imam Abu Hanifah r.a dan Khalifah Abu Ja'far al-Mansur.Tetapi sebelum itu, mari kita sama-sama menyelusuri dan mengetahui serba sedikit riwayat hidup Imam kepada Mazhab Hanafi ini.

Riwayat Hidup
Imam Abu Hanifah al-Nu'man bin Thabit al-Taimi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan.Seorang mujtahid yang wara', bertaqwa, lemah-lembut, zuhud serta tinggi ilmunya.

Datuknya yang berasal dari Kabul, Afghanistan memeluk Islam pada zaman Saidina Umar.Saidina Ali Karamallahu Wajhah pernah mendoakan keberkatan keturunan Thabit, iaitu bapanya.Lantas dengan berkat doa Saidina Ali r.a, lahirlah Imam Abu Hanifah yang bakal digelar dengan gelaran Imam al-A'zam yang membawa maksud "Imam Yang Terunggul".

Imam Abu Hanifah merupakan seorang usahawan yang berjaya hasil warisan perniagaan tekstil turun temurun daripada datuknya.Beliau dikenali dengan sifat pemurahnya dan sanagt mementingkan penampilan diri dengan memakai pakaian yang mahal dan kemas.Antara guru Imam Abu Hanifah r.a:
-Saidina Anas bin Malik r.a
-Saidina Sahl bin Sa'ad al-Saidi r.a
-Saidina Abu Thufail Amir
-Imam Atha' bin Abi Rabbah

Imam Abu Hanifah r.a telah berjaya melahirkan ulama' antaranya:
-Imam Abu Yusuf al-Ansari r.a
-Imam Muhammad bin al-Hassan al-Syaibani
-Imam Hassan bin Ziad al-Lu'lu al-Kufi
-Imam Zufar al-Huzail al-Kufi

Mazhab Hanafi merupakan mazhab yang paling ramai pengikutnya diseluruh dunia dengan menggunakan cara pengistinbatan Madrasah al-Ra'yi dan bermula dari Kufah, Iraq.Imam Abu Hanifah r.a merupakan pengasas kepada satu cara pemikiran unggul yang tidak ada di dalam Madrasah Hadith, iaitu Fiqh Iftiraadhi.Pemikiran ini menggunakan kaedah qias yang menyelesaikan bayangan permasalahan yang hakikatnya belum wujud pada zaman tersebut.Sebagai contoh, Imam Abu Hanifah r.a pernah membahaskan hukum tidak sah tawaf menaiki burung.Beliau turut membahaskan jatuhnya hukum penzina lelaki walaupun dia membalut zakarnya dengan kain.Bagi contoh pertama, jika direalitikan pada zaman sekarang menepati hukum tawaf menaiki helikopter manakala bagi contoh kedua pula, menepati hukum penzina yang menggunakan kondom.

Imam Syafi'i r.a pernah berkata:
"Bagi manusia jika mengkehendaki ilmu fiqh, cukup dengan Imam Abu Hanifah sahaja"

Imam Abu Hanifah r.a wafat pada tahun 150 Hijrah.

Dialog Imam Abu Hanifah r.a dan Abu Ja'far al-Mansur
Suatu hari, Imam Abu Hanifah dilantik sebagai qadhi oleh Abu Ja'far al-Mansur iaitu pemerintah pada waktu itu.Beliau menolak jawatan tersebut aras dasar takut terlibat dengan kezaliman pemerintah.Sebagai hukuman, beliau disebat sebayak sepuluh kali sebatan setiap hari.Walaupun disebat setiap hari, beliau tidak pernah berganjak daripada pendiriannya.

Akhirnya, Imam Abu Hanifah membuat helah yang membuatkan Abu Ja'far tidak mampu memaksanya lagi.Apabila ditanya mengapa menolak jawatan tersebut, Imam Abu Hanifah menjawab:
"Aku tidak layak menjadi qadhi".Lantas Abu Ja'far membalas, "Engkau berbohong!".Lalu Imam Abu Hanifah menjawab, "Engkau sendiri mendakwa aku berbohong, bagaimana engkau ingin melantik seorang pembohong yang tidak layak untuk dijadikan qadhi?".

Dengan helah tersebut, Abu Ja'far mati akal lantas meracuni Abu Hanifah melalui minumannya.Syahidnya Imam Abu Hanifah r.a di dalam keadaan sujud.Daripada kisah ini, kita dapati Imam Abu Hanifah sangat peka dan bijak membaca strategi politik yang ingin memperkudakan beliau demi kelangsungan pemerintahan Abu Ja'far yang zalim.Wallahu 'alam,
Wassalam...(^^)

Nota Kaki Cinta Agung:
*Nabi S.A.W bersabda:"Dua golongan daripada manusia, jika baik kedua-duanya, maka baiklah manusia seluruhnya dan jika buruk kedua-duanya, maka buruklah manusia seluruhnya iaitu al-umara wal 'ulama'(pemerintah dan orang 'alim).



Sunday, July 26, 2009

Matlamat Pensyariatan Dalam Islam

Islam merupakan agama syumul yang meliputi semua aspek kehidupan manusia.Al-quran, Sunnah, Qias dan Ijmak merupakan sumber yang disepakati di samping terdapat sumber-sumber yang diperselisih seperti Istishab, Istihsan, Maslahah Mursalah dan lain-lain lagi yang digunakan oleh para mujtahijin untuk mengeluarkan hukum bagi sesuatu permasalahan.Kata kunci “Mendatangkan kemudahan dan menghalang segala bentuk kemudaratan” menjadikan Islam sebuah agama yang Universal di mana ia merupakan matlamat dalam persyariatan setiap hukum-hakam di dalam Islam.


Definisi Matlamat Syariat

Matlamat Syariat(Maqosid Syarie) merupakan makna-makna dan tujuan yang diambil berat dalam Islam pada semua hukumnya ataupun dengan kata lain, matlamat akhir dalam Syariat dan rahsia-rahsia yang diletakkan oleh Allah Ta’ala pada setiap hukum-hakamnya.Mengetahui matlamat syariat merupakan perkara yang penting kepada semua manusia sama ada mereka itu mujtahid ataupun tidak.Bagi mujtahid, mengetahui matlamat syariat membantu mereka untuk mengeluarkan hukum dan memahami nas-nas dan bagi selain mujtahid membantu mereka mengetahui rahsia pensyariatan.


Syarat Matlamat Syariat

Di sana terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi pada matlamat syariat iaitu;

1-Matlamat syariat itu mestilah thabit iaitu kewujudan makna-makna pensyariatan dalam keadaan diyakini seperti pensyariatan perkahwinan dan pengharaman zina.

2-Matlamat syariat itu mestilah jelas di mana para fuqaha tidak berselisih dalam menentukan makna pensyariatan tersebut seperti memelihara nasab merupakan sebab kepada pensyariatan perkahwinan.

3-Ketetapan dalam matlamat syariat iaitu, bagi makna pensyariatan suatu sukatan ataupun had yang tidak diragui padanya yang mana tidak terlalu melampau dan tidak terlalu ringan.Sebagai contoh; memelihara akal merupakan sebab diharamkan arak dan wujudnya pensyariatan had disebabkan sifat mabuk.Sifat mabuk ini menyebabkan seseorang bertindak di luar kawalan orang yang berakal.

4-Matlamat syariat itu mestilah berterusan tidak berubah dengan berubahnya masa dan tempat seperti kemampuan untuk bagi nafkah pada mensyaratkan kufu dalam nikah.

Apabila keempat-empat syariat dipenuhi, maka kewujudan matlamat pensyariatan diyakini.


Pembahagian Matlamat Syariat

Matlamat Syariat berdasarkan kekuatan dan kesannya dibahagikan oleh para ulama kepada 3 jenis;

1-Ad-daruriyat(Keperluan)

2-Al-haajiyat(Kehendak)

3-At-tahsinat(Kesempurnaan)


1-Ad-daruriyat(Keperluan);

merupakan kemaslahatan(kebaikan) yang amat penting kepada manusia.Apabila hilangnya maslahat ini, akan hilang hidup di dunia dan berleluasanya kerosakan.Keperluan ini terbahagi kepada 5 perkara: Agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

a) Agama: Allah mewajibkan melaksanakan rukun Islam yang lima(Akidah dan Ibadah) dan untuk memeliharanya, disyariatkan jihad dan diberi hukuman kepada orang membatalkan, menghalang dan murtad daripada agama.

b) Jiwa: Allah mensyariatkan perkahwinan yang membawa kepada kekalnya manusia dengan kelahiran dan keturunan.Untuk memeliharanya, Allah mewajibkan mengambil keperluan asas seperti makanan, minuman dan pakaian dan mewajibkan hukuman ke atas pembunuh melalui pelaksanaan qisas, diyat, dan kaffarah.Dengan hukuman tersebut, pemeliharaan tehadap jiwa dan kehidupan wujud.

c) Keturunan dan Nasab: Disyariatkan perkahwinan untuk mengekalkan keturunan dan diharamkan penzinaan dan qazaf(pertuduhan zina ataupun menafikan nasab terhadap perempuan baik).Bagi kesalahan zina dan qazaf, Allah mewajibkan had untuk menjaga nasab supaya tidak bercampur nasab dan memastikan kekalnya keturunan manusia yang baik.

d) Akal: Perlu dijaga dan disuburkan dengan ilmu dan pengetahuan.Semua perkara yang merosakkan akal adalah diharamkan seperti meminum minuman yang memabukkan dan pengambilan dadah.Bagi pesalah yang melakukan kesalahan tersebut, diwajibkan hukuman yang setimpal.Semua itu untuk memelihara akal sebagai tempat pentaklifan.

e) Harta: Allah mewajibkan berusaha dan bekerja untuk memperoleh rezeki yang halal melalui proses mualamat antara manusia seperti jual beli, upah, hadiah, syarikat dan sebagainya.Untuk memeliharanya, diharamkan perbuatan mencuri dengan hukuman potong tangan terhadap pencuri dan diharamkan menipu, khianat amanah, riba, memakan harta orang lain secara batil dan diwajibkan jaminan atau ganti terhadap barangan yang rosak ataupun hilang.Sebab perlunya dipeliharanya harta ini kerana ia adalah cermin kehidupan dan keperluan terhadapnya yang bersangatan.


2-Al-haajiyat(Kehendak);

iaitu satu maslahat yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan hidup mereka dan mengangkat segala kesusahan.Apabila ianya tiada, maka tidak akan memudaratkan kehidupan manusia tidak seperti Daruriyyat tetapi hanya menyebabkan kesulitan dan kesukaran.Kesemua jenis-jenis pensyariatan dalam Islam mengangkat segala kesukaran sebagai keringanan dan kemudahan kepada manusia.Sebagai contoh dalam urusan ibadah; Islam mensyariatkan rukhsoh qasar dan jamak bagi solat serta dibolehkan berbuka puasa bagi orang yang bermusafir, menunaikan solat secara duduk bagi orang yang tidak mampu berdiri.Dalam urusan muamalat pula, diharuskan akad-akad yang boleh memenuhi hajat manusia seperti jual beli, upah, syarikat dan sebagai mana akad ini boleh diputuskan seperti penceraian dengan sebab tertentu.


3-Al-tahsinat(Kesempurnaan);

iaitu maslahat yang diambil sebagai pelengkap dan perhiasan kehidupan.Jika ianya tiada, tidak akan membawa apa-apa mudarat dan kesusahan dalam hidup cuma terdapat kekurangan pada pandangan manusia.Ia merupakan tahap yang ketiga dan terdapat dalam urusan ibadah, muamalat dan adat(kebiasaan).Contoh dalam ibadah, disyariat bersuci dan menutup aurat dalam solat, berwangi-wangi dan memakai pakaian yang elok untuk ke masjid atau perhimpunan.Dalam muamalat, dilarang berjual beli barangan najis dan yang memudaratkan seperti arak dan suruhan untuk berbuat baik kepada isteri.Dalam adat pula, perlu menjaga adab-adab makan dan minum, dilarang makan atau minum yang najis dan memudaratkan dan perlu memuliakan makan, minuman, pakaian dan lain-lain lagi.Wallahu alam


Nota Kaki Cinta Agung:

*Sedikit terjemahan daripada Kitab Kuliah Kaedah-kaedah Fiqh Tahun 4

*Jika ada sebarang kesalahan harap ditegur(^^)v

Friday, July 24, 2009

Soal Hati 7: Facebook, Friendster Dan....



Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum dan salam Jumaat diucapkan.Pada hari yang mulia ini, suka Cinta Agung mengajak sahabat-sahabat untuk perbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah S.A.W. bahkan sepatutnya selawat ke atas Baginda perlu terus mengalir dibibir kita yang mengaku cinta dan sayang kepada Baginda S.A.W.Amma bad'du...

Cari Kawan
Dengan kemudahan teknologi dan internet yang dimiliki ternyata membawa seribu satu manfaat kepada manusia baik dari segi perniagaan, penyebaran ilmu, dan bersosial.Pendek kata, "dunia dihujung jari kita".Dalam kepesatan wujudnya pelbagai laman web di internet, ternyata laman web berbentuk komuniti seperti Facebook, Hi5, dan Friendster menjadi kegilaan para pengguna internet.Laman-laman komuniti ini menjadi wadah untuk seseorang individu itu untuk mencari kawan sama ada kawan lama atau baru dan tidak keterlaluan jika saya katakan ia juga berfungsi untuk mencari jodoh.Wallahu alam, sejauh mana keberkesanannya.... kalau nak tahu cuba sendiri( tapi batas syariat mesti dijaga).

Baik Buruk Ditangan Anda
Tapi perlu diingat bahawa baik buruknya suatu kecanggihan dan kemudahan itu bergantung kepada cara ia digunakan.Kalau digunakan untuk kebaikan, baiklah ia dan begitulah sebaliknya.Kaedah Qawaid Fiqh ada menyatakan "al-umuuru bi maqosidiha' bermaksud setiap perkara itu bergantung pada tujuannya.Saya percaya semua orang faham akan hal ini.

Antara Pandangan Ulama' Dan Pandangan Peribadi

Tidak lama dahulu, timbul fatwa daripada ulama-ulama Indonesia dan beberapa buah negara yang mengharamkan penggunaan Facebook akibat berleluasanya maksiat seperti zina dikalangan ahli laman web tersebut.Mereka berkenalan melalui laman tersebut kemudian membuat temu janji untuk berjumpa dan kebanyakkan berlaku perkara yang tidak baik dikalangan mereka.
Pada pandangan peribadi, saya lebih suka bersikap wasotiyyah yakni sederhana.Tidak menolak atau tidak juga menerima sepenuhnya dan buta tuli.Tetapi saya agak kurang bersetuju sekiranya golongan wanita yang mempunyai akaun dalam laman seperti ini, mengupload gambar-gambar mereka kerana dibimbangi akan digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk buat perkara yang bukan-bukan.Sebaik-baiknya, gambar itu dibuang atau difailkan agar lebih bersifat peribadi kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati...

Kalam Akhir

Sebagai menutup kalam ini, marilah kita sama-sama lakukan apa yang terbaik untuk diri kita.Kebaikan itu tidak datang kecuali daripada Allah.Semoga Allah memberi kebaikan dalam segenap aspek kehidupan kita untuk menuju negeri abadi.Amin...Wallahu alam. Wassalam.


Nota Kaki Cinta Agung:
*Selamat membaca....

*Terima kasih di atas sokongan anda semua(^^)

Thursday, July 23, 2009

Info: Mandi Jangan Tak Mandi

KAJIAN terbaru berkaitan dengan mandi mendapati ia bukan saja bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh.. Penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan penderita diabetes yang menghabiskan masa selama setengah jam berendam dalam air suam dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 peratus.

Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas dapat memperbaiki kesihatan jantung terutamanya untuk lelaki.

Berikut beberapa manfaat mandi kepada individu yang mengamalkannya.

Mengeluarkan racun:
Mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius membuka ruang yang dapat membantu mengeluarkan toksin. Mandi air panas membantu menurunkan tingkat gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik. Waktu yang dianjurkan ialah selama 10 hingga 20 minit.

Mandi air sejuk sangat baik untuk meredakan ketegangan. Ia dapat menyempitkan darah dan meningkatkan tingkat gula darah. Suhu yang dianjurkan ialah sekitar 12 hingga 18 darjah Celsius.

Jangkitan kulit :
Penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal boleh diatasi dengan menambahkan soda penaik (sodium bicarbonate) ke dalam air mandian. Ia bertindak sebagai antiseptik. Isikan air ke bekas mandian dan tambahkan soda penaik dan aduk sehingga rata. Digalakkan untuk berendam selama 10 hingga 20 minit.


Selesema dan sakit kepala :
Merendam kaki dalam air panas membantu menyembuhkan selsema, sakit kepala dan menyegarkan kembali kaki yang lelah. Masukkan air panas secukupnya dalam bekas sehingga menenggelamkan pergelangan kaki kemudian tambahkan beberapa titis minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Selepas basuh dengan air sejuk.Lakukannya selama 10 hingga 20 minit.


Insomnia :
Merendamkan kaki dalam air dingin sangat baik kepada anda. Yang mempunyai masalah imsonia atau memiliki masalah tidur. Masukkan kaki sehingga ia merasa dingin. Perubatan ini berguna bagi kaki lelah,pendarahan hidung, selsema dan sembelit.

Nota Kaki Cinta Agung:
*Kredit untuk penulis artikel ini.
*Musim sejuk di Mesir, pelajar tidak digalakkan mandi atas faktor kesihatan bukan kerana tidak mahu mandi...huhuhu


Tuesday, July 21, 2009

Soal Hati 6:Cermin

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.Dalam slot Soal Hati kali ini, insyaAllah Cinta Agung ingin membawa sahabat untuk merenung satu kata-kata daripada Sultanul Aulia', Syeikh Abdul Qadir Jailani, semoga Allah mensucikan rohnya.Kata-katanya begini:

"Dear friend, your heart is apolished mirror.You must wipe it clean of the veil of dust which has gathered upon it, because it is destined to reflect the light of devine secrects"

Sama-sama kita renungkan.Wassalam(^^)

Nota Kaki Cinta Agung:
*Jagalah hati, jangan kau kotori...jagalah hati, lantera hidup ini.
*Fikir dan zikir, agen pencuci hati yang baik.
*Allah tidak melihat kepada rupa dan batang tubuh seseorang tetapi Dia hanya melihat kepada hati dan amal mereka.

Friday, July 17, 2009

Solat Awal Waktu

Bismillahirrahman Ar-rahim...
Assalamualaikum dan salam sejahtera Cinta Agung ucapkan kepada sahabat-sahabat.Kali ini, saya ingin berkongsi satu artikel yang agak menarik buat tatapan semua.Semoga Allah Ta'ala merahmati penulis artikel ini....

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tida k asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar t ida k berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya . :?

Nota Kaki Cinta Agung:
*Sumber artikel:isuhangat.blogspot.com
*Solat itu tiang agama.

Saturday, July 11, 2009

Tiga Watak Manusia: Di mana Kita?

Bismillahirrahman Ar-rahim...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog Cinta Agung.Akhir-akhir ini agak susah untuk posting di dalam blog ini kerana kesukaran untuk mendapat kemudahan internet di Kaherah.Susah macam mana?Susah sebab CC jauh sangat dari kompleks pelajar Terengganu.'Ala kulli hal, kali ini Cinta Agung ingin berkongsi satu ilmu yang mungkin boleh dibuat modal untuk ceramah atau apa saja.

Tiga Watak Berbeza
Selepas isyak malam tadi, satu tazkirah yang cukup bernas yang disampaikan oleh sahabat saya berkaitan satu hadith Nabi S.A.W. berkaitan bagaimana Nabi S.A.W. menggambarkan akan hal ehwal agama Islam sebagai satu simpulan yang mana simpulan ini akan terurai dan terbuka dari awal sampai akhir.Uraian yang pertama adalah berkaitan hukum hakam berkaitan pemerintahan Islam dan yang terakhir adalah solat.Perkara yang paling menarik minat saya dalam tazkirah berkenaan berkaitan watak-watak manusia di dunia ini.Di sana terdapat tiga watak manusia yang patut diketahui iaitu;
1-Manusia yang wujud tetapi kewujudan mereka tidak disedari manusia.Contoh, orang yang berilmu dan berkemahiran tetapi mereka tidak mampu untuk memberi sumbangan kepada masyarakat disekeliling.
2-Manusia yang wujud tetapi kewujudannya menyusahkan orang lain dan menyebabkan mereka tidak senang dengannya.Contoh, pencuri, penagih dan lain-lain.
3-Manusia yang wujud dan kewujudannya amat disenangi oleh orang disekeliling.

Di mana kita agaknya?Sama-samalah kita fikir....Wassalam(^^)v

Nota Kaki Cinta Agung:
*Nabi S.A.W. bersabda:"Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia lain"
*Hablum minallah wa Hablum minannas(hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia) perlu dijaga.

Wednesday, July 8, 2009

Sunnah Perjuangan

Sudah sunnah orang berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan istri

Biasanya para pejuang
Rumah mereka merata-rata
Rezkinya tidak menentu
Tidur baringnya tak berwaktu

Orang lain membuat harta
Tapi dia membuangnya
Orang lain kawan terbatas
Tapi pejuang kawan merata
Orang lain musuhnya kurang
Pejuang musuh tidak terbilang

Tidak kurang yang sayang padanya
Orang lain mati dilupa
Para pejuang tetap dikenang
Sejarahnya ditulis orang
Makam sentiasa diziarahi
Walau perjuangan tak berjaya

*Nada Murni*


Nota Kaki Cinta Agung:
*Bilik 302, Kompleks Pelajar Terengganu, Asyier, Kaherah.
*Jumpa lagi.......

Wednesday, July 1, 2009

Jawa Terengganu

Bismillahirrahman Ar-rahim....

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua.Apa khabar?Semoga sihat sokmo(selalu).Sedar tak sedar, pengajian Cinta Agung di bumi Mesir ini sudah hampir ke kemuncaknya.Pelbagai perasaan berbaur dihati ini.Rindu, sedih, suka.....Kali ini, saya ingin kongsi satu pengalaman bersama sahabat-sahabat.Selama berada di bumi Ambia' ini, saya dapat belajar beberapa patah perkataan Jawa iaitu;
1-Kabare=Apa kabar?
2-Waras=Sihat
3-Wes mangan=Dah makan
4-Wes=Dah

Itulah antara patah perkataan Jawa yang Cinta Agung dapat sepanjang berada di sini.Al-maklum, berkawan dengan orang Jawa(^^).Rasa seronok juga bila dapat loghat orang luar.Tapi bila dia orang bertemu sesama mereka, habis keluar semua Jawa.Pening....sebab tak faham.Saya pula bila cakap loghat Terengganu, mereka pula tak faham.Bukan semua la....Kelakar juga bila dikenang balik.Tapi itulah hebatnya Allah Ta'ala, Dia jadikan manusia daripada tanah yang sama dan daripada tanah itu pula lahir pelbagai jenis manusia.Melayu, Cina, India, dan dengan pelbagai jenis bahasa.Sekian....
Wassalam(^^)v

Nota Kaki Cinta Agung:
*Orang yang paling mulia di sisi Allah hanyalah mereka yang lebih keTAQWAANnya kepada Allah Ta'ala.
*Kepada orang Jawa, kalau salah tolong tunjukkan.
*Komputer no.13 di Gamik, Hayyu Asyier, Kaherah.